Beliau berkata demikian kepada 204 orang peserta program I’dad Du’at 2019 yang telah berlangsung pada 20-22 April lalu di Pendang Lake Resort, di sini anjuran Jawatankuasa Tarbiah IKRAM MUSLEH.
“Semua yang hadir ke program ini perlu berpegang kepada visi besar dan bukan sekadar memainkan peranan dalam keluarga, malah perlu berperanan dan menjadi contoh teladan dalam masyarakat demi membangun negara, ummah dan manusia sejagat.”
Selain itu menurutnya, betapa pentingnya budaya kolaborasi atau kerjasama dalam perkara-perkara kebaikan dan menzahirkan rasa puas hati terhadap program yang telah dijalankan.
“Saya juga berharap agar para peserta pulang dan menjadi peribadi du’at (para pendakwah) yang mantap dan thabat sekali gus bersedia menjadi pelopor kepada kebangkitan ummah,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Program I’dad Du’at 2019, Ustaz Soleh Senafi mengingatkan para peserta mengenai tugas dan tanggungjawab dai.
“Kita perlu sentiasa peka dengan mad’u (orang yang didakwah) yang berada di sekeliling khususnya ibu bapa, ahli keluarga, saudara mara, rakan taulan dan jiran tetangga.”
Para du’at juga jelasnya, perlu sentiasa mengoptimumkan peluang yang ada untuk menyantuni mereka yang dekat, agar terwujud lingkungan generasi muslim di sekeliling yang bukan sahaja memahami ilmu tetapi mampu mengamalkannya serta menyampaikannya kepada orang lain dengan cara yang betul.
“Seorang dai perlu sentiasa bersedia dari sudut fikrah dan material bagi memastikan kelangsungan usaha dakwah,” jelas Ustaz Soleh.
Beliau turut berharap agar program ini mampu menyuntik semangat dan memotivasikan para pelajar untuk menggerakkan usaha-usaha dakwah yang boleh dilaksanakan bagi memacu perubahan.
I’dad Du’at merupakan program tahunan IKRAM MUSLEH yang bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar yang terpilih tentang asas gerak kerja dakwah dan memberi panduan tentang perancangan gerak kerja dakwah yang boleh dan sesuai dilaksanakan.
Sumber: http://musleh.edu.my/