Kempen tersebut bertujuan untuk menyatukan ibu bapa di Malaysia bagi menangani kadar jenayah siber yang membahayakan kanak-kanak.
Ia termasuk jenayah yang semakin berkembang di peringkat global seperti kenalan sosial dalam talian, buli siber, isi kandungan yang tidak sesuai dan penipuan dalam talian yang semakin berkembang.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Perniagaan Celcom Axiata Berhad, Azwan Khan, kempen ini merupakan satu inisiatif untuk memupuk kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk menyediakan ‘ruang permainan’ digital yang selamat bagi anak-anak mereka.
“Demografi penggunaan peranti pintar pada hari ini menunjukkan sebahagian besar kanak-kanak menggunakannya dan mereka lebih mudah untuk menjadi mangsa dalam talian,” katanya.
“Ramai ibu bapa menyediakan anak-anak mereka dengan peranti pintar untuk memastikan mereka mudah dihubungi pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.”
“Walau bagaimanapun, peranti pintar di tangan mereka akan mendedahkan mereka ke dunia sebenar walaupun mereka hanya berada di rumah.”
Untuk menyampaikan mesej kesedaran ini, Celcom bergabung bersama Brainy Bunch International Islamic Montessori, Protect and Save the Children. Ia turut disokong oleh Google dan UNICEF sebagai pakar teknologi.
Hasilnya, Celcom menawarkan para pengguna khususnya ibu bapa perkhidmatan penapisan Internet asas dalam rangkaian melalui aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai KidSafe.
Bagi pihak Malaysian Against Pornography (MAP), Datin Paduka Che Asmah berkata kerjasama ini bakal membantu mereka menyebarkan kesedaran tentang ketagihan pornografi dengan lebih meluas ke seluruh Malaysia kerana jaringan pelanggan yang dimiliki syarikat tersebut.
Tambahnya, kerjasama ini juga akan membantu MAP mempromosi aktiviti-aktiviti seperti Love Myself Run yang akan diadakan pada 22 Oktober ini.
Dalam masa yang sama, syarikat telekomunikasi tersebut akan menyediakan 25 perpustakaan sekolah di seluruh negara dengan sambungan Internet tanpa wayar percuma selama setahun sekiranya jumlah tanda pagar ‘#parentunite’ dan ‘#kidsafe’ mencapai 100,000 setiap satu bersama-sama sasaran 500,000 tontonan untuk video KidSafe di Youtube sebelum 31 Disember 2017.
Maklumat lanjut mengenai KidSafe boleh layari www.celcom.com.my/personal/services/kidsafe