Menurut Dr Al Hafiz Ibrahim, Pengerusi IKRAM Health Kelantan, sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa laporan berkaitan kejadian ibu dan bapa yang mengelar anak mereka sendiri sehingga mati akibat penyakit gangguan mental termasuk selepas bersalin.
“Kejadian malang di Kok Lanas, Kelantan ini berkemungkinan dicetuskan oleh penyakit gangguan mental yang perlu dipastikan oleh pakar perubatan psikiatri yang bertauliah,” kata beliau yang turut kesal dengan insiden yang mengorbankan bayi berusia dua bulan, Nur Areesa Sofia Jiry pada Sabtu, 4 Februari lalu.
Justeru jelasnya, IKRAM Health menyeru semua anggota masyarakat agar peka dan prihatin sekiranya ada anggota keluarga menunjukkan perubahan daripada segi fizikal, emosi dan mental selepas bersalin.
Selain itu, beliau menggesa agar segera membawa ahli keluarga mendapatkan bantuan perubatan yang diperlukan.
“Ia dapat mengurangkan komplikasi atau risiko berkaitan masalah gangguan mental selepas bersalin.”
Dalam pada itu tegasnya, sebarang stigma dan pandangan serong terhadap pesakit mental mestilah dielakkan dan digantikan dengan sikap rahmah dan belas kasihan terhadap mereka.
“Sokongan ahli keluarga dapat membantu mengurangkan risiko mendapat gangguan mental selepas bersalin dan juga membantu mempercepatkan proses rawatan pesakit,” terangnya lagi.
Beliau berharap kejadian malang seperti ini dapat dihindari dengan bersama-sama membangunkan masyarakat rahmah bermula dalam keluarga sendiri.
Dalam perkembangan berkaitan Dr Norhani Abd Rani, Ketua Wanita IKRAM Kelantan menekankan pentingnya untuk mendapatkan ilmu dan maklumat yang benar supaya rawatan yang tepat dapat diberikan.
“Khidmat rawatan perubatan bagi yang berisiko tinggi untuk menghidap penyakit mental dan sokongan ahli keluarga bagi mengurangkan kadar kemurungan yang timbul disebabkan perubahan hormon selepas bersalin serta perubahan kehidupan dengan bertambahnya ahli keluarga wajar diberikan,” jelas Dr Norhani.
Ummu Mariam, ahli Wanita IKRAM Kelantan pula berpandangan, kebanyakan pesakit itu tidak tahu yang dirinya sakit.
“Dalam masyarakat, kita membiarkan ibu mengurus sendiri diri dan anak, jadi perkara biasa hinggakan perkara sebegini tidak diambil peduli oleh masyarakat,” jelas beliau.