Misi R2A4 yang menyampaikan bantuan berjumlah RM734,290 di sana merupakan misi keempat sejak tahun 2010 yang disusun hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat Palestin dan Syria.
Misi R2A4 diketuai oleh Ar Syed Muhammad Radhi Syed Sakkaf, Ahli Lembaga Pemegang Amanah (BoT) MyCARE diiringi lima orang anggota misi iaitu Ustaz Mohamed Fairooz Mohamed Fathillah (Ahli BoT MyCARE), Muhammad Hussaini Khairudin (Pengurus Projek Aqsa Syarif), Dr Abdul Halim Sibghatullah (IKRAM Health), Mohd Kamal Fitri Mohd Ghazali (MyCARE Selangor) dan Zoolfadli Hamzah (MyCARE Pahang).
Misi R2A4 pada kali ini telah menyampaikan bantuan berupa bantuan Ramadan untuk 10 kem pelarian Palestin dan Syria berupa sahur, iftar dan pek makanan bernilai RM 410,000 dan bantuan Ramadan untuk keluarga pelarian Syria di Kem Beeka berupa iftar bernilai RM100,000 hasil sumbangan melalui Rayuan Ramadhan IKRAM.
Selain itu, turut disampaikan bantuan untuk membiayai kos menaik taraf Pusat Kesihatan Al-Burj di kem Burj El Shemali, Tyre bernilai RM 203,800 hasil sumbangan melalui kerjasama Aqsa Syarif dan pasaraya Econsave Cash & Carry dan bantuan pengurusan kem dan kos perubatan 4 orang pesakit kronik di Kem Beeka bernilai RM11,800 sumbangan IKRAM Health.
Selain itu, anggota misi turut menyerahkan bantuan bernilai RM10,000 untuk pembelian empat komputer riba dan sebuah mesin pencetak untuk Pusat Aktiviti Anak Yatim di Kem Burj El Barajna, Beirut dan menyerahkan bantuan bernilai RM5,385 kepada 21 orang fakir miskin serta bantuan bernilai RM3,800 untuk pembiayaan aktiviti kanak-kanak di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Khas Al-Hanin, Tripoli.
Kesemua bantuan Ramadan ini telah diuruskan dengan kerjasama rakan NGO tempatan iaitu Human Charity for Relief and Development (HCRD), al-Ghauss, Wakef of Al-Raafa Association, As-Syifa,Takaful for Child Welfare, Al-Amal, Islamic Rabitah Lebanon dan Kiblatal Ula.
Selain itu, Misi R2A4 turut mengenal pasti projek-projek baru di Lubnan yang berpotensi untuk dibangunkan demi kebajikan para pelarian Palestin dan Syria yang berlindung di sana dan demi kesinambungan perjuangan mempertahankan hak asasi pelarian-pelarian di Lubnan ini untuk kembali ke tanah air mereka satu hari nanti.
Keadaan pelarian Palestin dan Syria di kem-kem pelarian di Lubnan adalah antara yang paling daif dan serba kekurangan selain kem-kem yang terdapat di Gaza. Kem-kem ini mengalami masalah kepadatan penduduk, terkebelakang dalam aspek pendidikan, ekonomi, perkhidmatan kesihatan dan perlindungan keselamatan.
Malah, kem pelarian di Lubnan pernah menyaksikan peristiwa berdarah seperti peristiwa pembunuhan beramai-ramai lebih 3,000 pelarian Palestin di Kem Sabra dan Shatila pada tahun 1982. Kem-kem ini sangat memerlukan bantuan dari luar untuk terus bertahan dan mengelakkan keadaan bertukar menjadi satu lagi krisis kemanusiaan seperti mana di Gaza dan di Kem Yarmouk, Syria.
CATATAN RINGKAS MISI R2A4
Khamis 9 Julai 2015 – 22 Ramadan 1436H
Anggota misi telah bergerak dari KLIA pada jam 3.00 pagi waktu Malaysia dan tiba di Beirut pada jam 12.00 tengahari waktu Lubnan (5.00 petang waktu Malaysia). Anggota misi disambut oleh Ali Khalaf daripada NGO Human Charity Relief & Development (HCRD).
Jumaat 10 Julai 2015 – 23 Ramadan 1436H
Anggota misi mengunjungi kedutaan Malaysia di Lubnan, disambut ceria oleh Duta Malaysia di Lubnan Tuan Bala Chandran Tharman. Pihak misi menerangkan sedikit maklumat berkaitan MyCARE dan tujuan kedatangan ahli misi ke Lubnan manakala pihak kedutaan melalui Tuan Bala Chandran Tharman sendiri menerangkan keadaan semasa di Lubnan.
Seterusnya anggota misi mula bergerak melawat dan memberi bantuan hasil sumbangan dari rakyat Malaysia kepada pelarian Palestin di kem pelarian Lubnan antaranya Kem Burj El Barajna dan Kem Shatila.
Perjumpaan dengan Duta Malaysia di Lubnan, lawatan ke kem dan Al-Quds TV
Pelarian di sini amat memerlukan bantuan akibat kesusahan yang dialami, juga dengan faktor kesihatan, usia dan persekitaran kem yang daif. Kem Shatila yang hanya berkeluasan 0.5 kilometer persegi dengan kepadatan penduduk seramai 30,000 orang terpaksa menempuh hari-hari dalam keadaan sesak dan terhimpit ditambah pula dengan kekurangan kemudahan asas yang diperlukan.
Anggota misi turut melawat Pusat Penyiaran Al-Quds TV dan disambut dan diraikan oleh Pengurus Besarnya, Haytham Mouneeb. Pihak Al-Quds TV berbesar hati untuk turut bersama dalam misi ini di kawasan kem pelarian di Beeka, Tyre dan Tripoli untuk membuat rakaman mengenai misi bantuan yang dibawa oleh MyCARE.
Sabtu 11 Julai 2015 – 24 Ramadan 1436H
Anggota misi melawat pelarian Palestin di perkampungan Qassimiyah dan Kem Shabrihah serta mengagihkan sumbangan berupa pek makanan kering yang bernilai USD45 bagi setiap pek di samping melawat dua keluarga yang daif di Kem Shabrihah dan memberi sumbangan Ramadan beserta wang tunai.
Di Kem Burj El Shemali, anggota misi dibawa melawat keluarga yang memerlukan perhatian yang mana ketua keluarga menghidap sakit jantung dengan memerlukan kos perubatan bulanan sebanyak USD200 manakala anak perempuan beliau mengidap penyakit leukemia dengan memerlukan kos rawatan bulanan USD100.
Anggota misi berbuka puasa bersama pelarian di kem Al-Bass serta menyantuni dan meraikan anak-anak yatim dengan turut berbuka puasa bersama mereka.
Ahad 12 Julai 2015 – 25 Ramadan 1436H
Anggota misi ke Baalbek, melawat Kem Mukhayyam Al-Jalil dan menyampaikan bekalan makanan kepada satu keluarga yang dhaif dan meluangkan masa bemesra dengan kanak-kanak yang ada di kem ini dan ada diantaranya adalah anak-anak yatim.
Seterusnya anggota misi melawat ke Kem 16 di Beeka, menghantar bekalan berupa pek makanan kering kepada pelarian di sana diikuti dengan Kem Ewak Centre, mengagihkan bekalan berupa pek makanan kepada 100 keluarga pelarian dan menyerahkan pakaian untuk sambutan hari raya kepada 20 kanak-kanak di kem ini.
Anggota misi juga sama-sama berbuka puasa bersama 600 orang pelarian di kem ini, hasil daripada sumbangan Rayuan Ramadhan IKRAM.
Kem-kem pelarian di Baalbek dan Beeka dihuni oleh pelarian yang berasal dari Palestin tetapi menetap di Syria dan juga pelarian yang berasal dari Syria yang terpaksa melarikan diri akibat daripada peperangan yang berlaku di Syria.
Isnin 13 Julai 2015 – 26 Ramadan 1436H
Anggota misi ke Tripoli, Lubnan, melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Al-Hanim Centre, sebuah pusat aktiviti dan perkembangan kanak-kanak istimewa di kawasan kem El Badawi di mana kanak-kanak tersebut diajar membuat kerja kraftangan untuk berdikari.
Mereka seterusnya ke El Inaya Medical Centre, melawat hospital yang menampung pesakit seramai 1,700 hingga 2,000 orang dalam masa sebulan di mana kebanyakan pesakit di sini adalah pelarian yang berada di kem El Bidawi.
Lawatan ke Al-Hanim Centre, El Inaya Medical Centre dan iftar
Anggota misi juga melawat kem pelarian El Bidawi dan memberi sumbangan kepada dua keluarga yang susah dan memberi sumbangan pek makanan kering dan wang tunai bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga ini di samping berbuka puasa bersama 300 orang di Masjid Abdul Rahman di kem ini.
Semoga melalui Misi R2A4 ini, Allah SWT menerima amal dan sumbangan kita dan pelarian yang telah dibantu dapat meraikan Ramadan pada tahun ini dalam suasana rahmah seperti mana kita di Malaysia, insya-Allah.
FOTO:
1. Hari 1 -1 | Hari 1-2 | Hari 1-3
2. Hari 2
3. Hari 3
4. Hari 4
Kenyataan Media 1: http://on.fb.me/1CTPD7V
Kenyataan Media 2: http://on.fb.me/1HHLR02