Wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), National Indian Rights Action Team (NIAT), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) berjaya memasuki bangunan kedutaan dan menyerahkan memorandum tersebut kepada Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, Mejar Jeneral S.R. Manawaduge.
IKRAM diwakili oleh Ustaz Noorsyazly Rameli, Eksekutif Luar Negara IKRAM dan beberapa orang aktivis IKRAM yang lain.
Memorandum tersebut disokong oleh 59 NGO termasuk NGO pelbagai bangsa dan agama antaranya Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH), Malaysia Hindu Youth Council, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), World Tamil Federation – Malaysian Chapter dan Panaikulam Association Malaysia.
Isi kandungan memorandum itu turut dibaca di hadapan wakil-wakil NGO yang hadir untuk memberikan pencerahan terhadap bantahan ke atas penghapusan etnik Muslim di Sri Lanka.
Gambar: Dua memorandum bantahan dan senarai NGO
Noorsyazly berkata, menerusi memorandum bantahan itu, semua gabungan NGO berharap agar wakil kedutaan Sri Lanka dapat menyampaikan memorandum tersebut kepada Presiden mereka dan mengharapkan satu jalan penyelesaian segera dapat diambil oleh kerajaan Sri Lanka bagi melindungi penduduk minoriti umat Islam di negara itu.
Seluruh NGO yang membantah krisis kekejaman penghapusan etnik Muslim di Sri Lanka mengharapkan tindakan drastik diambil oleh kerajaan mereka dan mendesak kerajaan Malaysia untuk memberikan bantuan, tidak kira apa jua bantuan untuk memastikan penduduk Islam di Sri Lanka terlindung nasibnya.