Beliau melancarkan kempen tersebut secara nasional semasa berlangsungnya Perhimpunan Ahli Teras (PAT) Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Kali Kelima di Hotel Gold Course di sini.
Kempen ini bermula apabila melihat keadaan di mana perkataan “usrah” sudah tidak asing bagi masyarakat Malaysia. Penggunaannya telah tersebar luas di TV, radio dan internet. Malah banyak artis-artis yang berhijrah menjadi lebih baik, mengikuti usrah.
Keadaan ini menyebabkan banyak masyarakat muslim di Malaysia hendak turut serta menikmati dan menyertai usrah, tetapi tidak tahu pihak mana yang menyediakan atau menawarkan usrah.
Oleh kerana itu, pihak penganjur kempen JUS! Jom Usrah! merasakan perlu kita menawarkan secara terbuka sesiapa yang hendak turut serta dalam usrah dan seterusnya menyatuni orang-orang yang hendak merubah diri menjadi lebih baik melalui usrah.
Kempen JUS! Jom Usrah! adalah salah satu inisiatif Jawatankuasa Belia dan Remaja (JKBR) IKRAM sebagai satu kempen untuk mengajak semua lapisan masyarakat Malaysia menyertai dan merasai kemanisan serta kenikmatan aktiviti usrah.
Usrah dari sudut bahasa bermaksud “keluarga” atau secara aplikasinya ia seperti “support group” untuk kita bersama-sama tolong-menolong untuk menjadi muslim yang lebih baik. TIdak lupa juga, melalui usrah, ahli-ahlinya boleh saling berkenalan, membaca dan memahami al-Quran, berukhuwah, berkongsi pendapat, menimba ilmu dan beramal secara kolektif.
Oleh itu, ia boleh mewujudkan masyarakat yang memahami Islam secara lebih menyeluruh seterusnya berusaha untuk menjadi Muslim yang cemerlang dan berpegang teguh dengan Islam. Tidak lupa juga, ia boleh meningkatkan “modal insan” mereka yang menyertai usrah.
Pengarah Kempen JUS! Jom Usrah! Dr Afiq Mohd Nor berkata, sejak ditubuhkan pada penghujung November tahun lalu, laman FB JUS! telah mendapat lebih 17,000 ‘likes’ dan lebih 400 orang telah menyatakan minat untuk menyertai usrah.
Promosi kempen ini dilakukan secara “online” dan juga “offline”. “Offline” di sini bermaksud, promosi juga diadakan dengan menyebarluaskan risalah kempen JUS! di tempat-tempat umum seperti masjid, surau, taman rekreasi dan kompleks membeli belah.
Tambahnya, kira-kira 80% atau majoriti di kalangan mereka yang berminat menyertai usrah adalah di kalangan belia yang bekerja dan juga yang berkeluarga. Ada di kalangan mereka yang bekerja sebagai professional seperti guru, doktor dan arkitek. Ada juga yang bekerja sebagai mekanik, pekerja tadika dan pembantu farmasi.
Mereka yang berminat menyertai boleh melawati laman Facebook JUS! di alamat https://www.facebook.com/jus.jomusrah atau menyertakan nama, umur, tempat tinggal dan status belajar atau bekerja kepada JUS! Call Centre : 013 – 389 1595 atau e-mel JUS!: jomusrah.jus@gmail.com.
Tidak lupa juga, bagi mana-mana pihak yang hendak membantu menyebarluaskan Kempen JUS! Jom Usrah di taman perumahan, pejabat, surau atau masjid, boleh hubungi JUS! Call Centre atau e-mel untuk mendapatkan “softcopy” bahan-bahan sebaran seperti risalah dan poster kempen ini.
Tambahan lagi, bagi mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi AJK atau ahli team Kempen JUS! Jom Usrah atau ada apa-apa cadangan penambah-baikan, boleh juga hubungi Call Centre JUS! atau e-mel JUS!
Semoga dengan pelancaran kempen ini, seluruh muslimin dan muslimat Malaysia dapat merasai nikmat tarbiah dan sekali gus menjadikan Malaysia sebuah negara Islam contoh di mana hampir semua umat Islam Malaysia mengamalkan Islam secara menyeluruh.