Beliau mengajak sekalian yang hadir memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Taala yang mengurniakan masa dan kesihatan.
“Bersamalah kita bersyukur kerana Allah memberi peluang kepada kita turut serta hadir pada hari ini bagi menyempurnakan tanggungjawab yang kita lakukan dalam tempoh empat tahun sekali ini.” ujarnya.
Beliau berharap agar semua ahli yang hadir dapat memilih yang terbaik untuk terus menerajui barisan Dewan Perwakilan Nasional (DPN).
“Kita hendaklah memilih mereka yang memiliki keupayaan yang disebutkan oleh ulama, sebagai seorang da’ie, yang boleh merungkai persoalan-persoalan ummat, yang boleh menganalisis isu dengan tepat serta membawa solusi terhadap perkara yang diketangahkan,” tambah beliau lagi.
Dr Parid turut mengingatkan bahawa kepimpinan itu adalah satu amanah kerana pada hari kiamat nanti ia akan menjadi satu kehinaan atau kenistaan jika disalahgunakan.
“Jadi sesiapa yang diamanahkan itu perlulah menjalankannya dengan sesempurna mungkin sebagaimana yang selayaknya yang disarankan Allah dan RasulNya.”
Justeru menurutnya, mereka yang patut dipilih perlu memiliki ciri-ciri yang antaranya bertanggungjawab dan mampu memimpin, amanah serta memiliki keupayaan mendepani isu semasa.
“Saya menyeru agar sekalian kita sentiasa meluruskan niat dan memperbanyakkan doa selain mengambil peluang memperkukuhkan ukhuwah dalam pertemuan ini,” saran Dr Parid.
Beliau berkata demikian dalam PAT bagi memilih Dewan Perwakilan Nasional (DPN) yang diadakan empat tahun sekali, memiliki tiga kategori pengundian iaitu 21 orang wakil umum, 10 orang wakil wanita dan 10 orang wakil ulama.