BR1M Bukan Penyelesaian Masalah Kos Kehidupan Yang Meningkat

Tambahan pula, beliau juga menyatakan bahawa pada masa akan datang jumlah bantuan ini akan dipertingkatkan lagi jika keadaan kewangan kerajaan bertambah kukuh.

Persoalannya ialah, adakah tindakan ini akan dapat membantu rakyat menangani masalah kenaikan kos kehidupan serta membuktikan bahawa kerajaan yang memerintah sekarang adalah sangat bertanggungjawab serta prihatin terhadap aspek kebajikan masyarakat?

Dari perspektif ajaran Islam, adalah tidak dinafikan bahawa membantu orang yang susah adalah satu perkara yang diajar oleh agama. Al-Quran menekankan perkara tersebut melalui beberapa ayat termasuk yang berikut:

“Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu pun dan berbuat baiklah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, tetangga yang terdekat dan yang jauh, teman sejawat, Ibnu Sabil dan hamba” (An Nisa’ , 4: 36)

“Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, pemberian yang demikian adalah baik bagi orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. ” (Ar-Rum, 30: 38)

“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman serta pertolongan (kepada orang-orang yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu sama lain … dan jika mereka meminta pertolongan dari kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, …” (Al Anfal, 8:72)

Terdapat juga banyak hadith yang mengajak kita bersedekah kepada golongan yang miskin. Di bawah adalah beberapa sabda Rasulullah SAW berkenaan amalan sedekah kepada golongan miskin:

“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (Su’ul Khatimah).”

 


“Yang paling disukai Allah ialah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain. Tingkahlaku yang paling disukai ialah yang menggembiarakan orang Islam yang lain atau meringankan bebannya atau melangsaikan hutangnya atau menyelamatkannya dari kelaparan.”

“Sedekah itu wajib atas setiap orang Islam. Seorang sahabat bertanya, `Jika ia tiada apa yang hendak diberi?’ Jawab Baginda, `Hendaklah ia bekerja dan bila dapat duit, sedekahkanlah sebahagiannya.’ Sahabat itu bertanya lagi, `Jika ia tidak boleh bekerja?’ Jawab Baginda, `Tolonglah orang miskin yang dalam kesusahan.’ ‘Kalau ini juga tidak dapat ia lakukan?’ tanya sahabat itu lagi. Baginda menjawab, ‘Beri nasihat untuk berbuat baik.’ Sahabat itu bertanya, ‘Jika itupun tidak dapat dilakukan?’ Jawab Baginda, ‘Janganlah ia melukakan hati orang lain – itulah sedekahnya.’ ”

“Perumpamaan orang-orang Mu’min dalam saling kasih mengasihani dan sayang menyanyangi, umpama sebujur tubuh yang apabila salah satu anggotanya sakit, seluruh anggota tubuh yang lain turut sama merasai kesakitan tersebut”

Namun, apa yang perlu kita sedar ialah bahawa semua saranan dan galakan dari ayat Al Quraan dan hadith di atas adalah ditujukan terutamanya kepada ahli masyarakat. Dalam erti kata yang lain, apa yang dikehendaki oleh agama ialah ahli masyarakat sendiri mempunyai sikap saling bantu membantu dan berkorban dengan memberi sumbangan dari pendapatan milik mereka sendiri kepada golongan miskin secara sukarela.

Perkara ini dihuraikan secara terperinci oleh pakar-pakar ekonomi Islam berdasarkan kajian mereka berkenaan aspek pengurusan kewangan sektor awam semasa pemerintahan Rasulullah SAW dan para sahabat.  Menurut mereka, di bawah pemerintahan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda, tugas memberi bantuan kepada golongan miskin bukannya dipikul oleh pemerintah semata-mata. Peranan utama pemerintah adalah memberi galakan kepada rakyat supaya saling bantu membantu antara satu sama lain secara sukarela.

Skim di mana rakyat dipaksa mengeluarkan wang untuk disalurkan kepada golongan miskin hanyalah dalam bentuk zakat. Ini adalah tujuan utama zakat iaitu untuk membantu golongan miskin dan fakir serta golongan terdesak lain yang termasuk dalam senarai asnaf yang layak menerima zakat. Walaupun selepas itu kerajaan Islam memperolehi sumber pendapatan lain seperti Al Kharaj, Al Ushr, Fai dan al Khums, namun, sumber pendapatan tersebut tidak menggantikan skim zakat sebagai mekanisme utama untuk membantu golongan miskin.

Namun, ini tidak bermakna kerajaan langsung tidak boleh memberi sumbangan kepada rakyat miskin. Dalam keadaan di mana kerajaan mempunyai sumber pendapatan yang tinggi dari sumber asli seperti minyak dan hasil mahsul yang lain, maka amatlah wajar sekali kerajaan menyalurkan wang itu kepada golongan miskin kerana dana tersebut pada hakikatnya sememangnya hak rakyat.

Tetapi, adakah itu keadaannya di negara kita sekarang? Adakah kerajaan mempunyai lebihan (surplus) apabila perbelanjaan kerajaan ditolak dari pendapatannya dari sumber asli dan lain-lain? Malangnya tidak.  Sikap kerajaan suka berbelanja lebih dari pendapatan serta berlakunya ketirisan, pembaziran dan pengurusan kewangan yang tidak berhemah telah menghasilkan keadaan di mana sudah 15 tahun berturut-turut kerajaan telah mengumumkan belanjawan defisit. Akibatnya jumlah hutang terkumpulnya sekarang berjumlah lebih dari RM550 billion di mana sebahagian besarnya adalah dari sumber yang berbentuk Riba.

Ini bermakna, kerajaan membayar bunga (interest) atas pinjamannya berjumlah hampir 17 billion ringgit setiap tahun. Malahan, disebabkan keadaan hutang kerajaan yang sentiasa meningkat inilah maka pada tahun lepas, Fitch Rating, iaitu sebuah organisasi penarafan bon antarabangsa telah menurunkan taraf bon kerajaan Malaysia, yang mengakibatkan kos pinjaman kerajaan juga meningkat. Susulan dari itu, kerajaan telah terpaksa membuat keputusan untuk melaksanakan sistem percukaian GST pada tahun 2015 untuk menambahkan pendapatan percukaian kerajaan yang dikutip dari rakyat.

Pendek kata, sebenarnya tabung kewangan kerajaan sudah lama dalam keadaan negatif dan oleh itu, duit yang disumbangkan melalui skim BR1M itu sebenarnya bukannya dari sumbangan peribadi pemimpin-pemimpin yang pemurah dan baik hati tetapi diperolehi dari penambahan kepada hutang kerajaan semata-mata. Perlu juga diambil perhatian bahawa semua hutang-hutang yang telah berjumlah lebih dari RM550 billion itu, termasuk bunga yang dikenakan, akan pada akhirnya ditanggung oleh rakyat. Dalam erti kata yang lain, lambat laun kerajaan akan terpaksa meminta rakyat menyumbang dengan lebih gigih kepada usaha membayar balik beban hutangnya  yang besar itu dengan menggunakan berbagai-bagai kaedah kutipan termasuk cukai pendapatan, cukai syarikat, cukai import dan cukai GST.

Di samping itu, kita juga perlu sedar bahawa sebenarnya punca utama kepada keadaan di mana ramai rakyat hidup dalam keadaan yang sengsara akibat daripada kos kehidupan yang sentiasa meningkat adalah kerana sistem kewangan Riba yang diamalkan di negara kita dan di serata dunia. Sistem ini yang berasaskan industri perbankan telah menciptakan wang dengan banyak melalui proses penciptaan kredit (hutang). Akibatnya, bukan sahaja tahap harga dalam sistem ekonomi sentiasa meningkat bahkan juga menambahkan beban hutang kepada rakyat.

Di Malaysia sebagai contoh, beban hutang isi rumah telah pun melebihi RM750 billion pada tahun 2012.  Oleh itu, selagi sistem kewangan berasaskan Riba dibenarkan berkembang, maka masalah kesengsaraan ekonomi akibat kenaikan kos kehidupan dan beban hutang tidak akan selesai. Buktinya ialah keadaan yang sama sedang berlaku di negara lain yang beramal dengan sistem Riba termasuk di Jepun, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat walaupun kerajaan mereka secara umumnya adalah tidak korup.

Sebagai rumusan, walaupun skim BR1M mungkin berjaya mewujudkan persepsi dari kalangan yang terdesak bahawa kerajaan adalah dipimpin oleh ahli politik yang pemurah dan baik hati, namun hakikat sebenarnya ialah ianya tidak akan berupaya menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dalam jangka panjang. Bahkan dalam jangka panjang, persepsi tersebut besar kemungkinan akan diganti dengan perasaan marah apabila rakyat sedar bahawa beban hutang yang ditanggung oleh mereka semakin meningkat dan keadaan kehidupan mereka yang melarat masih tidak berubah dan kos kehidupan sentiasa meningkat.

Besar kemungkinan juga rakyat yang semakin kecewa akan memilih kerajaan baru untuk memerintah mereka. Malangnya pada masa itu nanti, jika beban hutang kerajaan terlampau tinggi dan sistem ekonomi dan kewangan negara masih tidak berubah, besar kemungkinan juga kerajaan baru yang bakal dilantik tidak akan berjaya menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi dalam masa yang singkat dan lambat laun akan digulingkan juga.


Tulisan:

Prof Dr Mohd Nazari Ismail

Unit Penyelidikan IKRAM

Sumber: BR1M Bukan Penyelesaian Masalah Kos Kehidupan Yang Meningkat

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia