Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang dikeluarkan pada bulan Jun 2013 menunjukkan sebanyak 35% wanita seluruh dunia yang diganasi secara fizikal dan seksual. Malah menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di kalangan wanita berumur 15-44 tahun, keganasan menyebabkan lebih banyak kematian dan kesengsaraan melebihi kanser, malaria, kemalangan jalanraya dan peperangan.
Tragedi kemanusiaan yang terjadi di Syria dan di Mesir telah mengakibatkan kesengsaraan yang bukan sedikit kepada seluruh rakyatnya, yang mana wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa utamanya. Di Mesir, sebanyak 173 kes keganasan seksual beramai-ramai dilaporkan untuk tempoh 30 Jun-9 Julai 2013 namun hanya satu tangkapan dilakukan.
Di Jordan, pelarian Syria memaksa anak-anak berusia 13 tahun untuk berkahwin kerana bimbang mereka akan dirogol. Wanita dan kanak-kanak yang merangkumi 75% pelarian Syria di kem pelarian Lubnan juga mengalami nasib yang serupa; hidup dalam ketakutan, bimbang dirogol dan tiada peluang untuk mencari sumber pendapatan hingga ada yang terpaksa melacur untuk meneruskan kehidupan.
Sewajarnyalah kita turut merasakan keperitan dan kesedihan yang mendalam apabila mereka tidak diperlakukan dengan selayaknya sebagaimana fitrah seorang manusia.
Kami melahirkan kebersamaan dan solidariti terhadap wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan di Mesir dan Syria.
Semoga timbul kesedaran dan keprihatinan di kalangan wanita Malaysia agar peduli terhadap isu keganasan wanita di dua negara itu.
Tidak terkecuali, pihak kerajaan Malaysia perlu menyatakan sikap tegas membantah keganasan terhadap wanita di Mesir dan Syria serta melaksanakan peranan yang rasional dan proaktif di peringkat antarabangsa seperti dalam negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), negara–negara ASEAN dan sebagainya untuk menghentikan konflik dan keganasan yang terjadi.
Ustazah Maznah Binti Daud
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
25 November 2013
Tel: 012-3169351