Lebih 60 orang pelajar sekolah rendah dan menengah Sri Al-Amin menyertai klinik setengah hari ini yang bermula pada jam 8.00 pagi. Antara jurulatih yang hadir adalah bekas pemain kebangsaan, Md Shah Norbit dan Asmawi Bakiri serta Farhad Masraf dan Jeffri Jalil.
Dato Khaidir dalam ucapan penutupnya memuji pihak sekolah yang proaktif dalam menganjurkan klinik seperti ini dan mengesyorkan tempoh latihan yang lebih lama, contoh seminggu, supaya pengajaran dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Foto dari kiri: Dato’ Khaidir Buyong, para pemain serta para jurulatih bersama pihak sekolah
Beliau yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia berpesan agar ibu bapa yang mengesan bakat anak-anak mereka dalam sukan bola sepak terus memastikan anak-anak tersebut menceburi bidang ini secara serius dan bersungguh-sungguh untuk memartabatkan mutu bola sepak negara.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Sri Al-Amin Bangi Hj Redzuan Jaafar, Yang Dipertua PIBG Ir Dr Mohd Fadzil Mohd Siam dan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka.
Menurut Hj Redzuan, pihak pengurusan sekolah telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada pembangunan satu jenis sukan secara bersungguh-sungguh dan profesional. Bola sepak dipilih kerana ia satu permainan yang popular serta dapat memupuk kerja berpasukan kerana dimainkan dalam kumpulan yang ramai. Klinik ini juga diharap dapat merapatkan hubungan pihak sekolah dengan masyarakat luar.