Demikian ditegaskan Presiden Ikram, Ustaz Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad mengenai prinsip penglibatan Ikram dalam politik dalam ucapan Presiden sempena Perhimpunan Ahli Teras Ikram (PAT) yang berlangsung di sini, hari ini.
Menjelaskan matlamat penglibatan ahli Ikram dalam politik, Ustaz Dr Parid menyatakan, “Kita melibatkan diri dalam politik negara dengan tujuan membangunkan umat dan masyarakat yang celik politik, memiliki kematangan dan keberanian bertindak secara politik yang tinggi sehingga mampu menggerakkan perubahan kepemimpinan politik negara, menggerakkan agenda politik yang akan menghantar pemimpin terbaik ke mercu kekuasaan, memimpin negara dengan penuh kewibawaan, mendukung satu sistem politik yang adil dan cemerlang.”
Politik Machiavelli telah menimbulkan fenomena yang selalu kita saksikan – pemimpin yang sentiasa berusaha untuk mengekalkan kuasa dengan apa cara sekalipun, menerusi berbagai-bagai tipu daya yang akan menjadikan rakyat sebagai mangsa. Kepentingan umat, rakyat serta negara diketepikan. Mereka bersedia menindas rakyat dan mencerobohi hak-hak rakyat sewenang-wenangnya dengan penuh keangkuhan. Mereka bersedia mengorbankan kepentingan rakyat dan prasarana negara demi mempertahankan kuasa tanpa rasa bersalah sedikit pun.
Menghadapi krisis dan situasi kepemimpinan seperti ini, Presiden Ikram membariskan, antara lain, sembilan objektif penglibatan ahli-ahli Ikram dalam politik. Objektif itu ialah membangunkan kecelikan politik rakyat; membangunkan budaya politik yang bersih dan sihat; mewujudkan perubahan lanskap politik negara; ke arah peralihan kuasa secara demokratik; pertukaran pemerintahan secara aman; mengangkat pemimpin terbaik menerajui kepimpinan negara; membentuk pemerintahan yang bertanggungjawab; membangunkan sistem politik yang adil; dan membangunkan daulah ar-risalah.
Demi merobah kepimpinan seperti ini, Presiden menyatakan, “Kita perlu mengangkat peribadi yang sesuai ke kedudukan yang sesuai dalam memimpin umat dan negara. Pilihlah wakil rakyat dan ahli majlis syura (peringkat negara) dari kalangan rakyat yang cerdas, berjiwa besar dan berakhlak mulia, golongan yang berupaya membuat keputusan dan polisi terbaik demi pengurusan perjalanan negara dan kehidupan rakyat, mereka yang mendepani cabaran besar serta merebut peluang yang terhampar pada tahun-tahun mendatang.”
Oleh yang demikian, di hadapan 930 orang ahli teras IKRAM, Presiden menyarankan agar ahli-ahli IKRAM mengundi dengan prinsip menurut urutan berikut; menyokong calon yang mendukung agenda Islam; memilih calon yang tidak mengancam perjuangan Islam di Malaysia; (jika) dalam kalangan calon-calon bukan Islam, (memilih) peribadi calon yang tidak memusuhi Islam; dan akhir sekali, mengundi peribadi calon bukan Islam yang bahayanya terhadap perjuangan ummah paling minimum.