Kami berkongsi tentang pengalaman dakwah dan tarbiah kami, dan sedikit sebanyak menceritakan tentang peranan akhawat untuk terlibat dalam dakwah di medan. Sememangnya rata-rata para pelajar mengenali Dr Har sebagai tokoh masyarakat yang dikenali ramai. Oleh itu ke mana pun kami pergi maka para pelajar takkan berhenti-henti meminta untuk sesi autograf dan bergambar dengan beliau dan dengan sabarnya permohonan ini tidak dihampakan.
Di sinilah kami bertemu dengan ramai anak-anak ikhwah akhawat yang tampil memperkenalkan diri masing-masing. Berbunga-bunga di hati ini melihat anak-anak kita membesar menjadi pemudi srikandi yang semakin matang menjadi generasi penerus dakwah ini. Tabik spring kepada Ustaz Haris dan Kak Ros kerana dapat menyantuni anak-anak yang begitu ramai ini. Dalam masa yang begitu singkat bagi saya, Ustaz telah dapat mengumpulkan mereka dan insya-Allah, Kelab IKRAM Mesir dapat memberikan khidmat yang terbaik untuk mereka.
Keesokan harinya (Khamis 5 April) adalah hari yang juga menarik. Ustaz Haris dan Saudara Faisal telah bersiap-siap untuk membawa kami melawat ke destinasi pertama iaitu Ibu Pejabat Ikhwan Muslimin. Kehadiran kami di bangunan yang tersergam indah di pagi hening itu amat membangkitkan suasana terharu penuh bangga terhadap kejayaan Ikhwan Muslimin (IM). Kesempatan pada pagi tu kami gunakan untuk merakam detik-detik bersejarah menjejakkan kaki ke sana.
Destinasi kami seterusnya adalah Kubu Salahuddin Al-Ayyubi di Muqattam, Masjid dan Maqam Imam Syafie (gambar kanan), Masjid Amru Al-‘As, kubur Imam Hassan Al-Banna (IHAB – gambar bawah kiri). Sebelum ini, saya hanya menceritakan tentang kehebatan IHAB, kepahlawanan Salahuddin, pengorbanan dan kecekalan ibunda Imam Syafie, seorang ibu tunggal yang membesarkan anaknya dengan visi dan misi yang jelas.
Mereka berhijrah dari Gaza ke Mekah dan kemudian Madinah dalam misi yang akhirnya menjadikan Imam Syafie seorang mujtahidin ikutan sepanjang zaman. Hari ini, saya berdiri di depan petanda kewujudan mereka dan tentunya saat ini mesti diabadikan untuk dikongsi sebagai inspirasi kepada masyarakat kita nanti. Jika dilihat dalam gambar tersebut, makam IHAB kelihatan seperti baru ditambah baik binaannya. Sebelum ini hanya dinding biasa tanpa ada mozek atau pun marmar.
Teringat catatan dalam buku Persembahan Cinta Isteri Hassan al Banna (M Lili Nur Alia – page 73-74):
“Ketika datukku wafat, sepuluh tahun setelah meninggalnya ayah, aku melihat ayahku seperti dia disaat dikafani dahulu. Aku membuka wajahnya dan aku lihat tempat tumbuhnya janggut di sekitar dagunya masih tumbuh bulu-bulu halus. Dan raut muka ayah berseri , matanya tertutup seperti awal kulihat dahulu. Selanjutnya saya beberapa kali melihat kain kafan ayah di pemakaman, tidak berubah, Subhanallah…” – kenangan Hana , anak Imam Hassan Al Banna.
Tentunya secara sedar kita tahu kita bukan pemuja peribadi IHAB, namun keyakinan kita kepada jalan dakwah yang dirintis berpandukan ajaran Allah dan Rasul kita contohi sehingga kita juga bercita-cita untuk mati syahid sepertinya…
Di dalam kereta Faisal hari itulah juga saya menjadi saksi kepada keakraban hubungan seorang pendidik dan anak muridnya. Hubungan yang mendalam tidak boleh dilakon-lakonkan. Ketika itu adalah sekitar jam 11.00 – 1.00 tengahari bersamaan jam 3.00 – 5.00 petang waktu Malaysia. Rupa-rupanya ketika itu pelajar tahun akhir perubatan UKM, pelajar Dr Har yang seramai lebih 200 orang itu mendapat keputusan tahun akhir mereka. Hari itulah mereka dinobatkan sebagai doktor perubatan.
Dan saat itulah telefon bimbit Dr Har tidak henti-hentinya menerima SMS dari para pelajar yang berjaya mahu pun yang tidak. Daripada lebih 200 orang tu, hanya 14 yang tidak lulus. Saya perhatikan sendiri bagaimana para pelajar tak kira yang Melayu mahupun yang Cina dan India yang menghantar SMS untuk memberitahu kejayaan mereka dan mengucapkan rasa penghargaan dan terima kasih mereka atas pertolongan Dr Har membimbing mereka.
Saya menjadi saksi bagaimana air mata kegembiraan juga tidak putus-putus mengalir dari murabbiah ini. Jauh di lubuk hati saya berdetik, itulah sebabnya Dr Har amat dekat dengan hati anak-anak ini. Beliau memang seorang pendidik yang smart dan berdedikasi, beliau mengenali kesemua pelajarnya by name and in person.
Akhirnya kami sampai ke destinasi seterusnya iaitu lokasi Piramid Giza (gambar utama) dan Sphinx atau dikenali sebagai Al-Ahram. Bayaran nak masuk ke kawasan itu boleh tahan mahalnya; 60 geneh seorang, diskaun 30 geneh untuk pelajar. Kami memang sengaja tidak berlama-lama di situ.
Teringat pesanan seorang Ustaz, pergi ke tempat tinggalan Firaun atau pun Laut Mati di Jordan tempat kaum Luth diazab Allah ada tujuannya, bukan untuk mengagungkan kehebatan binaan Firaun ini, tapi untuk menanamkan rasa keinsafan besarnya kuasa Allah. Macam mana hebat sekalipun manusia dan makhluk, kalau tidak digunakan potensi itu untuk mengenal dan mengabdi serta menjadi khalifah kepada Allah, maka kehebatan itu akan hancur juga…
Kami tidak sempat ke Muzium untuk melihat sendiri jasad Firaun yang dikekalkan Allah beribu tahun untuk kita mengambil pelajaran. Cukuplah ayat ini sebagai renungan bersama “Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.” (Yunus: 92)
Perjalanan kami petang itu berakhir di Pasar Hussain untuk mencari ole-ole pulang. Di sinilah juga Dr Har kecopetan, dompetnya hilang. Memang licik betul siapa yang mengambilnya tu… Sebentar tadi (ketika catatan ini ditulis), saya baru mendengar khabar dari Dr Har yang dompetnya telah dijumpai seseorang dan dihantar ke pihak kedutaan Malaysia di Mesir. Alhamdulillah…
Masa yang berbaki terlalu singkat sebelum kami bergegas pulang ke rumah Ust Haris untuk sesi seterusnya bersama penggerak akhawat Kelab IKRAM Mesir. Kami berjumpa dengan 20 orang penggerak akhawat (gambar kiri) yang masing-masing mempunyai potensi yang begitu hebat. Semoga perkongsian malam itu dapat menjadi tambahan kepada usaha Ust Haris, Ustazah Ros dan semua muwajjihin dan pimpinan IKRAM lain dalam mendidik anak-anak kita melaksanakan dakwah dan tarbiah di bumi Allah ini, insya-Allah.
[Bersambung ke Bahagian 4 – akhir]