Khairul (gambar kanan) dilantik ke jawatan tertinggi tersebut dalam Perhimpunan KARISMA Nasional 2010 (PKN ‘10) di Dewan Serbaguna Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC) dekat sini yang bermula dari 8.30 pagi hingga 6.30 petang semalam. Beliau merupakan ‘orang lama’ KARISMA dan pernah diamanahkan sebagai Setiausaha Agung KARISMA sebelum dipilih sebagai Timbalan Presiden pada 2010.
Kira-kira 400 hadirin yang terdiri daripada perwakilan KARISMA seluruh negara, pemerhati, tetamu khas dan wakil media memenuhi dewan persidangan. Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Haji Zaid Kamaruddin diundang khas bagi merasmikan perhimpunan berkenaan.
Turut dijemput adalah Pengerusi Jawatankuasa JIM-IPT, Dr Haji Ahmad Zainuddin Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pemuda IKRAM, Haji Fadzil Saleh; Presiden Persatuan Saintis Muslim Malaysia (PERINTIS), Prof Dr Zainuddin Abdul Manan serta wakil-wakil dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Haluan Siswa Malaysia, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Pemuda Sosialis.
Bertemakan “Menggarap Perubahan Memperkukuh Kesatuan”, perhimpunan kali ini didahului dengan ucapan perasmian dan ucapan dasar presiden pada sebelah pagi, slot bersama KARISMA Selangor dan PERINTIS serta pembentangan laporan tahunan dan kewangan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi perbahasan yang berlarutan hingga ke petang, pembubaran jawatankuasa KARISMA Nasional sesi 2010 dan pengumuman jawatankuasa KARISMA sesi 2011.
Barisan ahli jawatankuasa KARISMA 2011 |
Khairul dalam ucapan penangguhan Presiden KARISMA menyeru semua ahli supaya befikiran positif, optimis dan berlapang dada dalam menjayakan transisi KARISMA kepada pertubuhan mahasiswa baru di bawah IKRAM. Beliau turut berpesan supaya memastikan gerakan tarbiah dan dakwah (aktivisme) berjalan seiringan dan seimbang.
“KARISMA juga perlu lebih dinamik dalam memperkemas dan menguasai relung-relung dakwah yang belum berjaya ditembusi seperti media, penulisan dan kebajikan masyarakat kampus. Berilah sokongan kepada kami, barisan jawatankuasa baru ini untuk menggerakkan KARISMA ke arah pencapaian yang lebih cemerlang,” kata beliau.
Selain Khairul, barisan kepemimpinan KARISMA 2011 terdiri daripada Nur Idayu Abd Rahman (Ketua Siswi), Izzudin Khairulannuar, Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti, Mohd Iqbal Hakim Mohd Adnan, Alamin Mohamed Sultan, Mohd Hazli Noor, Samihah Mohd Nor, Fadhilah Mat Nor, Izahana Haron, Asiyah Hasanah Aizuddin dan Maryam Muhammad.
PKN ‘10 terpaksa diadakan pada awal Januari 2011 bagi menyelaraskan beberapa agenda transisi supaya rumusannya dapat dipersembahkan dalam ucapan dasar presiden. Perhimpunan kali ini dihoskan oleh KARISMA Hulu Langat dengan jayanya di bawah kendalian Nik Mohd Azim Nik Ab Malik selaku pengarah program.
Pendaftaran bermula seawal jam 8.30 pagi |
Peserta tekun mendengar ucapan. | Presiden JIM merasmikan PKN ’10 | |||
Presiden KARISMA sesi 2010 bersama para tetamu. |
Tanggungjawab fitrah tidak menghalang si ibu untuk menghadiri PKN ’10. | Pengerusi JK Pemuda IKRAM, Haji Fadzil Saleh meneliti ucapan dasar. |
|||
Peserta bersemangat mendengar ucapan perbahasan. | Antara tetamu wanita yang hadir. | Presiden PERINTIS, Prof Dr Zainuddin Abdul Manan. | |||