Bertemakan “Journey to Jannah”, iftar perdana ini turut dihadiri hampir 900 peserta dan 50 orang non-Muslim termasuk bekas Presiden Badan Peguam Malaysia, Dato Ambiga Sreenevasan, Ahli Parlimen Batu, YB Tian Chua dan President Indian Athma Sakhti Association, Vasantha Kumar.
Orang ramai mula memenuhi dewan seawal jam 5.00 petang dan majlis dimulai dengan forum bertajuk “Islam Agama Rahmah” yang menampilkan Dr Zaharuddin Abd Rahman, Ustaz Fitri Abdullah dan Dr Nur Athiroh Masyaa’il manakala saudara Zun Arif Hakim Abdul Rahman sebagai moderator.
Perasmian, forum dan persembahan Faizal Tahir
Isu yang dikupas adalah mengenai salah tanggapan terhadap Islam seperti pergaulan dengan keluarga yang belum Islam, masuk Islam masuk Melayu, isu pertukaran nama bapa kepada Abdullah dan juga isu semasa seperti Islamic State (IS).
Kemunculan Faizal Tahir yang ditunggu-tunggu merancakkan lagi iftar perdana dengan mendendangkan dua buah lagu secara akustik iaitu Assalamualaikum dan sebuah lagu raya.
Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Haji Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah melahirkan rasa syukur atas kejayaan berlangsungnya majlis iftar perdana ini serta mengucapkan jutaan terima kasih pada mereka yang telah memberikan kerjasama menjayakan dan menyumbang dana bagi saudara baru.
Menurut Hidayah Centre, jumlah sumbangan dan jualan meja mencecah RM270,000 dan sebanyak RM25,000 telah disumbangkan kepada saudara baru dan mereka yang belum Islam yang diraikan pada majlis tersebut.
Suasana sekitar MIPHC ke-11
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Hj Zainal Abidin Jaffar yang merasmikan majlis dan turut mengislamkan Annaletchumy Sundram, seorang wanita India yang sudah lama berhasrat untuk bersama dengan kebenaran Islam.
Turut hadir Presiden IKRAM Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, Setiausaha Agung Hj Nahar Md Nor, Naib Presiden Hj Zaid Kamaruddin dan Ketua Wanita IKRAM Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.
Sementara itu Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre peringkat negeri telah diadakan di Johor pada 27 Jun, Kedah dan Kelantan pada 3 Julai serta Melaka, Pahang, Perak, Perlis dan Pulau Pinang pada 4 Julai dan juga Sabah dan Selangor pada 5 Julai lalu.