Zakat Fitrah: Panduan Antara Beras Tempatan dan Import

Apabila masuk sahaja bulan Ramadan, umat Islam di seluruh dunia menunaikan kewajipan khas yang disebut zakat fitrah.

Berbeza dengan zakat-zakat yang lain, zakat fitrah diwajibkan sebagai satu bentuk penyucian kepada orang yang berpuasa, di samping bertujuan membantu golongan fakir miskin menyambut Aidilfitri dengan lebih gembira. Rasulullah SAW bersabda:

Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai penyucian bagi orang yang berpuasa daripada perkara sia-sia dan perkataan keji, dan sebagai bantuan kepada golongan miskin.”  (Riwayat Abu Dawud)

Di Malaysia, makanan ruji yang menjadi ukuran zakat fitrah ialah beras. Namun, kebelakangan ini, timbul kekeliruan dalam masyarakat apabila penggunaan beras tempatan mula bercampur dengan beras import dalam kehidupan seharian. 

Persoalannya, bagaimana pandangan Islam dalam hal ini?

Apa itu zakat fitrah dan hikmahnya?

Zakat fitrah merupakan zakat yang wajib dikeluarkan oleh setiap Muslim sewaktu bulan Ramadan dan sebelum tibanya Aidilfitri. Ia merupakan satu amalan ibadah unik kerana tujuannya bukan sahaja penyucian harta tetapi juga penyucian jiwa bagi yang berpuasa sepanjang bulan Ramadan.

Antara hikmah pensyariatan zakat fitrah ialah:  

  1. Membersihkan diri orang yang berpuasa daripada kekurangan ketika melaksanakan ibadah puasa.  
  2. Membantu golongan yang memerlukan agar dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan keselesaan.  
  3. Memupuk rasa solidariti dan tanggungjawab sosial dalam kalangan umat Islam.

Prinsip syariah dalam pemilihan beras untuk zakat fitrah

Dalam membincangkan hal zakat fitrah, prinsip utama yang digariskan syarak ialah merujuk kepada jenis makanan asasi sesebuah tempat atau negara. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:

Maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah satu sha’ (gantang Baghdad) kurma atau satu sha’ gandum bagi setiap orang yang merdeka, laki-laki atau wanita yang kecil dan besar daripada kaum Muslimin. Dan Nabi memerintahkan untuk ditunaikan sebelum keluar orang-orang menuju solat.”

Ulama menjelaskan bahawa maksud hadis ini bukanlah terbatas kepada gandum atau kurma semata-mata, tetapi merujuk kepada makanan ruji sesebuah masyarakat.

Di Malaysia, makanan asasi tersebut ialah beras. Namun, timbul persoalan apabila masyarakat moden kini tidak lagi hanya bergantung kepada satu jenis beras, sebaliknya menggunakan campuran antara beras tempatan dengan beras import.

Dalam hal ini, terdapat tiga prinsip utama dalam pemilihan jenis beras sebagai ukuran zakat fitrah menurut perspektif syariah:

  1. Mengikut jenis beras yang biasa dimakan oleh pembayar zakat

Ia merupakan prinsip paling asas dan paling dianjurkan oleh majoriti ulama. Zakat fitrah sebaiknya dikeluarkan berdasarkan kualiti beras yang lazim dimakan dalam kehidupan harian keluarga seseorang.

– Misalnya, jika seseorang kebiasaannya makan beras import yang lebih mahal, maka lebih baik dia membayar mengikut kadar beras tersebut sebagai satu bentuk keadilan sosial.

  1. Boleh menggunakan kadar beras yang paling dominan digunakan  

– Jika sesebuah keluarga menggunakan kedua-dua jenis beras (import dan tempatan), maka seseorang boleh memilih untuk mengeluarkan zakat berdasarkan beras yang lebih dominan penggunaannya dalam rumah mereka.

– Cara ini lebih praktikal dan mencerminkan realiti sebenar gaya hidup sesebuah keluarga.

  1. Mengambil kira kemampuan pembayar zakat  

– Islam adalah agama yang meraikan kepelbagaian kemampuan umatnya. Justeru, bagi individu yang kurang mampu, diharuskan menggunakan kadar zakat fitrah minimum yang ditetapkan oleh institusi zakat, berdasarkan harga beras tempatan.

– Sebaliknya, bagi individu yang berkemampuan, digalakkan membayar kadar yang lebih tinggi bagi memastikan manfaat yang lebih besar diperoleh oleh penerima zakat.

Pendekatan ini bertepatan dengan prinsip Islam yang sederhana tetapi tetap menjaga hak dan kebajikan masyarakat secara menyeluruh.

Kadar zakat fitrah semasa mengikut negeri di Malaysia (2025)

Jadual berikut menunjukkan kadar zakat fitrah terkini mengikut negeri bagi memudahkan masyarakat membuat rujukan yang tepat ketika menunaikan kewajipan ini:

Negeri Kadar Zakat Fitrah (RM)
Perlis 9.00
Kedah                  7.00/ 14.00                         
Pulau Pinang           7.00 / 10.00 / 15.00                 
Perak 10.00 / 16.00 / 27.00                
Selangor 7.00 / 15.00 / 22.00                 
Wilayah Persekutuan    7.00 / 15.00 / 22.00                 
Negeri Sembilan        7.50 / 12.00 / 22.00                 
Melaka 7.00 / 15.00 / 22.00                 
Johor   7.00 / 12.00 / 20.00                 
Pahang                 7.00 / 14.00 / 21.00                 
Terengganu 10.00 / 21.00                        
Kelantan 8.00 / 14.00 / 21.00                 
Sabah                  7.50                                 
Sarawak   7.50                                 

 

*Kadar ini ditentukan mengikut jenis dan kualiti beras yang biasa dimakan oleh penduduk di negeri masing-masing.

Solusi dan panduan praktikal untuk masyarakat

Untuk memudahkan masyarakat awam, yang berikut adalah beberapa langkah ringkas yang boleh diamalkan ketika menentukan jenis beras dalam menunaikan zakat fitrah:

  1. Mengikut kadar institusi zakat setempat 

Sentiasa rujuk kadar yang dikeluarkan oleh institusi zakat negeri masing-masing untuk mendapatkan kepastian jumlah yang perlu dikeluarkan.

  1. Bersikap sederhana tetapi adil 

Islam menggalakkan umatnya memilih kadar yang bersesuaian dengan kemampuan tetapi pada masa yang sama memastikan kadar itu mampu memberi manfaat yang terbaik kepada penerima.

  1. Memilih pembayaran dalam bentuk beras atau tunai. 

Jika memilih beras, pastikan beras tersebut dalam keadaan baik, bersih dan boleh dimakan. Jika membayar secara tunai, gunakan kadar zakat fitrah yang bersesuaian dengan kemampuan.

Kesimpulan

Zakat fitrah adalah ibadah yang mendidik umat Islam untuk mengambil berat kesejahteraan masyarakat di sekeliling mereka.

Dengan memahami prinsip-prinsip syariah dalam memilih jenis beras serta mengambil pendekatan yang sederhana tetapi tepat, kita dapat menunaikan kewajipan ini dengan lebih yakin dan bermakna.

Semoga Ramadan tahun ini menjadi peluang untuk kita terus membaiki diri, menyuburkan semangat ukhuwah dan menyebarkan kesejahteraan kepada masyarakat melalui ibadah zakat fitrah yang dilaksanakan dengan ilmu dan penuh kesedaran.

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Koordinator MBA, MIBF & Program Eksekutif
Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia