الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ ، وَالَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِمَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنْزِلَ مِنْ قَبْلِكَ وَبِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ ، أُولَئِكَ عَلَى هُدًى مِنْ رَبِّهِمْ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Orang yang yakin akan percaya adanya hari kebangkitan, hisab, syurga dan neraka di akhirat. Oleh kerana itu, semua yang ada di dunia akan menjadi mudah dan murah bagi mereka yang yakin adanya hari pembalasan.
2. Yakin rezeki pemberian Allah
Orang yang bersifat yakin akan yakin sepenuhnya bahawa rezeki itu daripada Allah, bukan pada tangan mana-mana manusia, siapa sekalipun mereka, termasuklah para Nabi alaihimussalam. Inilah yang dirakamkan Allah dalam ayat 20, 21, 22 dan 23 surah al-Dzariyat:
وَفِي الْأَرْضِ آيَاتٌ لِلْمُوقِنِينَ ، وَفِي أَنْفُسِكُمْ أَفَلَا تُبْصِرُونَ ، وَفِي السَّمَاءِ رِزْقُكُمْ وَمَا تُوعَدُونَ ، فَوَرَبِّ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ إِنَّهُ لَحَقٌّ مِثْلَ مَا أَنَّكُمْ تَنْطِقُونَ
Keyakinan ini telah memangkinkan mereka untuk sentiasa menginfaq dan menyedekahkan harta mereka tanpa sebarang kebimbangan akan jadi miskin. Mereka lakukannya dengan yakin bahawa rezeki hanya daripada Allah.
3. Tidak menyeleweng daripada kebenaran
Ahlu al-yaqin melihat kebenaran itu dengan jelas, seperti jelasnya matahari pada waktu siang. Oleh itu, mereka tidak bersifat munafik, tidak riyak dan tidak ujub atau kagum dengan kemampuan sendiri.
Keadaan ini telah dirakamkan Allah dalam ayat 118 surah al-Baqarah yang menjelaskan golongan yang tidak mengetahui akan sentiasa meminta bukti dan sering ragu-ragu dan Allah telah menjelaskan bukti-bukti itu kepada mereka yang yakin:
وَقَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ لَوْلَا يُكَلِّمُنَا اللَّهُ أَوْ تَأْتِينَا آيَةٌ كَذَلِكَ قَالَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ مِثْلَ قَوْلِهِمْ تَشَابَهَتْ قُلُوبُهُمْ قَدْ بَيَّنَّا الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
4. Melaksanakan hukum Allah dalam semua aspek kehidupan
Mereka tidak tunduk kepada runtunan hawa nafsu, tidak berhakimkan kepada golongan zalim, lantang menyatakan kebenaran dan membongkar kebatilan. Tidak bimbang terhadap akibat daripada sikap ini.
Hal ini dengan jelas dinyatakan dalam ayat 50 surah al-Maa’idah yang mempersoalkan mereka yang memilih hukum jahiliah sedangkan hukum Allah paling baik:
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
Dinyatakan juga dalam sabda Baginda SAW bahawa jihad paling afdal ialah menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim.
أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ.
5. Beriman dengan al-Quran
Ahlu al-yaqin bergerak dalam kehidupan mereka dengan al-Quran, berakhlak dengan akhlak al- Quran, berhenti di takat sempadan yang dibenarkan al-Quran. Sifat ini telah dirakamkan ayat 24 surah al-Sajdah yang menjelaskan bahawa Allah telah memilih para imam yang melaksanakan perintah Allah, sabar melaksanakannya dan yakin terhadap ayat-ayat Allah:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
6. Yakin mudarat dan manfaat hanya daripada Allah
Mereka yakin dan berpegang dengan ayat 107 surah Yunus yang menjelaskan bahawa sekiranya Allah mahu menimpakan kemudaratan ke atas mereka, tiada siapa yang mampu menghalangnya. Begitu juga sekiranya Allah mahu memberikan mereka manfaat, tiada siapa yang mampu menghalangnya.
وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ وَإِنْ يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ يُصِيبُ بِهِ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Mereka berpegang sungguh-sungguh dengan pesanan Rasulullah SAW kepada Ibn Abbas:
إذا سَأَلْتَ ، فَاسْأَلِ اللَّهَ ، وإذا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِالله ، وَاعْلَمْ أَنَّ الأمة لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بشيء ، لَمْ يَنْفَعُوكَ إلا بشيء قَد ْكَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ ، وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بشيء ، لَمْ يَضُرُّوكَ إلا بشيء قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ ، رُفِعَتِ الاقْلأَمُ ، وَجَفَّتِ الصُّحُفُ.
“…jika engkau meminta, mintalah kepada Allah, jika engkau mohon bantuan, mohonlah kepada Alah. Ketahuilah, sekiranya seluruh umat ini sepakat untuk memberikan manfaat kepadamu mereka tidak akan mampu memanfaatkanmu sedikitpun, Allah telah menuliskannya untukmu. Dan jika mereka sepakat untuk memudaratkanmu, mereka tidak akan mampu memudaratkanmu sedikit pun. Allah telah menuliskannya ke atasmu. Qalam telah diangkat dan kertas juga telah kering.”
7. Bersedia untuk mati
Seperti dinyatakan sebelum ini, ahlu al-yaqin percaya adanya hari pembalasan; syurga dan neraka. Oleh itu, mereka bersedia untuk mati dengan melakukan amal soleh dalam keadaan penuh yakin yang mereka akan menemui Allah rabbul jalil. Inilah yang diperjelaskan ayat 1, 2, dan 3 surah al-Naml:
طس تِلْكَ آيَاتُ الْقُرْآنِ وَكِتَابٍ مُبِينٍ ،هُدًى وَبُشْرَى لِلْمُؤْمِنِينَ ، الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ بِالْآخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ .
8. Bersangka baik terhadap Allah dan tidak putus asa, sama ada dalam urusan dunia atau akhirat
Mereka hanya perlu berusaha mencari sebab untuk mendapatkan maslahat dunia dan bertaubat memohon ampun daripada dosa-dosa yang mereka lakukan, sengaja atau tidak.
Mereka yakin janji Allah yang dinyatakan dalam ayat 53 surah az-Zumar yang melarang mereka berputus asa memohon ampun daripada Allah kerana Allah amat pengampun lagi amat penyayang:
قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Menguji Keyakinan
Ada beberapa perkara yang boleh dijadikan kayu ukur untuk mengetahui apakah seseorang itu mempunyai keyakinan yang sempurna terhadap Allah. Antara lain ialah:
1. Saat perlu bertaubat
Individu yang hatinya dipenuhi yakin tidak akan ragu-ragu untuk bertaubat daripada kesalahan dan dosa yang dilakukan. Dia akan kembali kepada Allah. Dia tahu akan ada satu masa dia akan bertemu dengan Allah untuk dihisab atas dosanya, kecil atau besar. Oleh itu, dia bersegera melakukan taubat. Sedangkan mereka yang lemah keyakinan hatinya perlu digerakkan dengan pelbagai cara untuk bertaubat.
2. Saat ditimpa musibah
Ramai orang boleh bercakap dalam semua aspek mengenai sabar; Allah sukakan mereka yang sabar, ganjaran besar bagi mereka yang sabar dan lainnya, namun apabila dia ditimpa musibah dia menjadi keluh-kesah, menggelabah, malah kadangkala sampai ke tahap mempertikaikan kenapa Allah menimpakannya musibah itu, apa dosanya.
Ahlu al-yaqin akan tenang dan mengembalikan urusannya kepada Allah seperti yang dijelaskan dalam ayat 155 dan 156 surah al-Baqarah yang menyampaikan khabar gembira kepada mereka yang sabar pada saat ditimpa musibah dan berserah kepada Allah.
وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ، الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
3. Saat memerlukan sesuatu
Apabila individu terdesak meminta bantuan kebendaan daripada orang lain disebabkan kemiskinannya, pada saat itu keyakinannya terhadap pertolongan Allah teruji. Sekiranya dia merasakan dia bergantung penuh kepada pertolongan manusia untuk membantunya, keyakinannya belum lagi mantap dan sempurna.
Namun sebaliknya, jika dia bergantung sepenuhnya kepada Allah dan tidak mensyirikkan Allah, tidak bergantung kepada manusia, keyakinannya telah kuat dan mantap. Itulah keyakinan yang sempurna.
4. Saat kaya dan tidak memerlukan pertolongan orang lain
Ramai orang berjaya diuji keyakinannya dengan musibah dan bala, tetapi tidak ramai yang berjaya mengharungi ujian kaya-raya, banyak harta dan godaan dunia. Dia bongkak dan angkuh. Beranggapan apa yang ada padanya adalah hasil titik peluh dan kebijaksanaannya sendiri. Dia lupa apa yang ada padanya adalah pemberian Allah. Dengan itu, dia telah kufur terhadap nikmat Allah.
Kesimpulan
Ada beberapa perkara yang dapat disimpulkan daripada penulisan di atas. Antara lain:
1. Yakin adalah hasil ilmu yang menepati hakikat sesuatu yang diyakini. Ia membawa ketenangan dalam diri, menghakis sifat ragu dan syak.
2. Yakin bukan teori. Ia lantunan dalam tindakan seseorang. Ia menunjangi tindakan seseorang, sama ada berkaitan urusan dunia atau akhirat. Keyakinanlah yang mendorong individu melakukan sesuatu dengan segala kesungguhannya.
3. Yakin membentuk banyak sifat positif dalam diri seseorang. Sifat-sifat ini membuatkannya sentiasa bersiap siaga menghadapi sesuatu. Dia bersiap siaga menghadapi urusan dunianya. Dia bersiap siaga menghadapi saat kematian dan alam selepas mati.
4. Ada banyak perkara yang boleh dijadikan penanda aras apakah seseorang itu telah sempurna keyakinannya kepada Allah.
Penulisan oleh Ustazah Dr Anisah Abd Ghani, Penulis Wanita IKRAM (PenaWan)