Women’s Boat to Gaza: Patutkah Muslimah turut serta?

WBG dianggotai oleh 13 aktivis wanita bersemangat waja dari pelbagai negara di dunia termasuk seorang muslimah wakil dari Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan yang amat dikasihi.

Namun di sana terdengar juga desas-desus suara sumbang mempersoalkan kewajaran inisiatif WBG sama ada daripada sudut kemanusiaan mahupun dari sudut hukum syarak.

Masih ada yang menganggap bahawa Palestin adalah masalah orang Arab. Biar mereka selesaikan. Mengapa kita menyibuk? Di tempat kita pun masih ramai orang susah yang perlu dibantu. Luahan seperti ini tidak lahir kecuali daripada mereka yang buta sejarah serta jahil tentang agama.

Adakah mereka lupa bahawa Palestin adalah tanah haram ketiga selepas Mekah dan Madinah? Bumi anbia yang diberkati, tempat letaknya Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama kita, destinasi israk dan permulaan mikraj Rasulullah SAW.

Justeru, Palestin bukan isu Arab. Membebaskan Palestin adalah tuntutan akidah. Kewajipan seluruh umat Islam tidak kira di mana mereka berada.

Ada yang berpandangan penyertaan muslimah dalam misi WBG tidak syar’ie kerana melanggar hukum larangan musafir tanpa mahram serta bercanggah dengan sunnah Nabi SAW di mana jihad hanya dituntut ke atas kaum lelaki, bukan wanita.

Saya akan cuba ulas pandangan ini daripada beberapa sudut.

Pertama daripada sudut sunnah. Nabi SAW tidak pernah menghalang wanita turut serta ke medan jihad. Baginda SAW sendiri membawa bersama isteri-isteri baginda ke medan jihad secara bergilir dengan melakukan undian di antara mereka. Peranan sahabiat di medan perang seperti Ummu Sulaim RA, Nusaibah RA dan lain-lain sangat jelas sebagaimana termaktub di dalam kitab-kitab sirah.

Kisah Ummu Haram binti Malhan RA menjadi petunjuk jelas pandangan Rasulullah SAW tentang penyertaan wanita di medan perang.

Daripada Anas bin Malik daripada Ummu Haram beliau berkata, Rasulullah SAW berada di rumahku, lalu baginda tertidur. Setelah terjaga, baginda bersabda: “Ditampakkan kepadaku sekelompok manusia daripada umatku, mereka berlayar di laut hijau ini seperti para raja di atas singgasana.” Ummu Haram lalu berkata, Aku berkata, “Wahai Rasulullah, doakanlah agar aku menjadi sebahagian daripada mereka.” Beliau pun bersabda:

“Sesungguhnya kamu termasuk dalam kalangan mereka.” Kemudian Beliau tertidur kembali dan bangun dengan tertawa, maka aku bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yg menyebabkan tuan tertawa?”

Beliau menjawab: “Ditampakkan kepadaku sekelompok manusia daripada ummatku, mereka berlayar di laut hijau ini seperti raja-raja di atas singgasana.” Ummu Haram berkata, Kemudian aku berkata, “Wahai Rasulullah, doakanlah agar aku menjadi sebahagian daripada mereka.” Beliau pun bersabda: “Kamu adalah termasuk yang pertama-tama….” [HR. Ahmad No.25790].

Mafhumnya, sekiranya jihad tidak dituntut dan tidak digalakkan ke atas wanita, pastinya Rasulullah SAW akan membantah permintaan Ummu Haram RA sebanyak dua kali agar mendoakannya menjadi orang yang menyertai angkatan perang itu dan menerangkan bahawa pelayaran itu hanya khusus untuk kaum lelaki sahaja serta menjelaskan bahawa dia hanya boleh pergi kalau ada suami atau mahram bersama.

Hakikatnya, Rasulullah SAW bukan sahaja tidak membantah, sebaliknya mendoakan agar Ummu Haram RA termasuk orang yang pertama. Dan doa Nabi SAW terlaksana apabila Ummu Haram benar-benar pergi sehingga syahid dalam perjalanan itu.

Kedua, apakah tidak ada kaum lelaki yang patut pergi sehingga membiarkan kaum wanita pergi merempuh bahaya yang telah dijangka? Semenjak zionis mengenakan sekatan ke atas Gaza, berbagai-bagai percubaan dilakukan untuk memecahkan kepungan yang merupakan penjara terbesar di dunia. Direkodkan bahawa enam kali telah berjaya dan dua belas kali ditahan.

Peristiwa Mavi Marmara yang turut disertai oleh 12 orang lelaki rakyat Malaysia pada tahun 2010 pastinya masih segar dalam ingatan kita. Dan ini merupakan percubaan yang julung-julung kalinya dianggotai oleh semua wanita mewakili 10 buah negara dianjurkan oleh Freedom Flotilla Coalition.

Ketiga, kalau dilihat dari sudut moral dan maslahah dakwah, ketika Dr Fauziah Mohd Hasan (DFH) ditawarkan menyertai WBG yang kebanyakan aktivisnya adalah non-Muslim, manakah yang lebih wajar? Menerima atau menolak atas alasan agama, padahal yang hendak ditolong itu umat Islam?

Saya teringat kata-kata Rasulullah SAW yang menyebut bahawa sekiranya baginda diajak untuk menandatangani perjanjian seperti perjanjian al-fudhul, baginda akan menyertainya. Ertinya, baginda tidak akan menolak sebarang usaha menegakkan keadilan dan membela golongan yang tertindas walaupun usaha itu datang daripada bukan Islam. Apa lagi yang hendak dibela adalah saudara kita, bumi kita, Palestin.

Keempat, larangan musafir tanpa suami atau mahram. Terdapat beberapa hadis yang berkaitan dengannya. Antaranya: ”Janganlah seseorang wanita itu musafir kecuali bersamanya mahram”. Lalu seorang lelaki berkata: ”Ya Rasulullah! Saya hendak keluar (berjihad) bersama angkatan tentera sekian dan sekian, sedangkan isteri saya hendak menunaikan haji?” Baginda menjawab: ”Keluarlah bersama dengannya (isterimu)”. [Muttafaq ’Alaih dari Ibn ’Abbas]

Nas di atas serta lain-lain yang seerti dengannya menunjukkan larangan ke atas wanita musafir tanpa suami atau mahram.

Namun ulama’ tidak sekata dalam memahami hadis-hadis tersebut. Sebahagian mereka mengambil maknanya yang zahir. Manakala sebahagian lain melihat kepada sebab dan hikmah larangan itu.

Mereka yang mengambil maknanya yang zahir seperti yang disebutkan di dalam kitab Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah berpendapat wajib ada suami atau mahram. Al- Hanafiyyah juga berpendapat wajib ada suami atau mahram kecuali jika jarak tempat tinggal wanita itu kurang daripada tiga marhalah. [’Atiyyah Saqar, juzuk 2, m.s.134]

Mereka yang melihat kepada sebab atau illah larangan, antaranya Imam asy-Syafi’e sebagaimana disebut oleh an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim, tidak mensyaratkan suami atau mahram. Yang penting perjalanan itu selamat. Maka harus bagi wanita menunaikan haji sekiranya ditemani beberapa orang wanita yang thiqat kerana dalam hal ini boleh dikira selamat.

Begitu juga Imam Malik dan satu riwayat daripada Imam Ahmad, tidak mensyaratkan ada suami atau mahram untuk menunaikan haji fardu.

Pandangan yang diutarakan di atas adalah berkaitan dengan haji wajib. Berkenaan haji sunat dan musafir lain yang tidak wajib, pandangan mereka juga berbeza.

An-Nawawi berkata: “Adapun haji sunat, safar ziarah, tijarah (perniagaan) dan lain-lain yang tidak wajib, maka setengah mereka berkata harus keluar bersama kumpulan wanita yang thiqat seperti haji wajib. Jumhur berkata tidak harus kecuali bersama suami atau mahram dan inilah yang sahih”. [Al-Majmuk, juzuk 7, m.s.62]

Dalil jumhur adalah nas-nas yang telah dikemukakan di atas.

Para ilmuan masa kini seperti al-Ustaz Dr. Hasan Ahmad al-Kabir, Dekan Kulliyyah Bahasa Arab Universiti al-Azhar Zaqaziq, Syaikh Ali Jum’ah, Mufti al-Dayyar al-Misriyyah, Atiyyah Saqar cenderung kepada pendapat yang mengatakan harus.

Dalil mereka yang mengatakan harus adalah:

1. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada ’Aadi bin Hatim bahawa Rasulullah SAW menceritakan kepadanya mengenai perkembangan Islam pada masa akan datang dan tertegaknya panji-panji Islam di seluruh pelusuk bumi. Antara maksud ungkapan baginda dalam hadis tersebut: ”… hampir-hampir seorang wanita dari al-Hirah di Iraq keluar menuju Baitullah tanpa suami bersama dengannya dan dia tidak takut melainkan Allah…” Hadis ini bukan sekadar suatu perkhabaran mengenai keluasan penyebaran Islam, sebaliknya ia menunjukkan keharusan wanita musafir tanpa suami. [Fatawa al-Mu’asarah, m.s.431]

2. Umar RA telah mengizinkan isteri-isteri Rasulullah SAW pergi menunaikan haji bersama Uthman bin Affan RA dan Abdul Rahman bin Auf RA sedangkan mereka berdua bukan mahram kepada kesemua isteri-isteri Rasulullah SAW. Keizinan itu tidak pula dibantah oleh Uthman dan Abdul Rahman juga para sahabat yang lain. Ini boleh dikira sebagai ijmak dalam kalangan mereka.

3. Hikmah di sebalik pensyaratan wanita ditemani suami atau mahram ialah memastikan keselamatannya dalam perjalanan dan memudahkannya melaksanakan segala urusan tanpa gangguan dan pergaulan yang tiada batasan. Kini semua masalah itu boleh diatasi dengan pelbagai kemudahan yang disediakan, sama ada dari segi pengangkutan, penempatan serta keperluan-keperluan asas dan sampingan di sepanjang perjalanan serta masa melaksanakan ibadah.

4. Hadis-hadis yang melarang wanita musafir tanpa suami atau mahram ditakwilkan untuk zaman nubuwwah di mana kaum musyrikin menguasai Jazirah dan sentiasa mengintai peluang untuk melakukan sebarang tindakan yang mengancam keselamatan umat Islam. Pada zaman sekarang, harus wanita musafir bersama teman yang amanah dan boleh dipercayai dengan izin suaminya sekiranya perjalanan itu aman serta keadaan negeri yang dituju itu aman. Keharusan ini tidak tertentu bagi haji sahaja, malah harus juga untuk tujuan belajar atau lain-lain tujuan yang tidak dilarang oleh syarak. [Syeikh Ali Jum’ah, m.s.267]

Pandangan di atas juga bersesuaian dengan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 19 Rabiul Awwal 1422 bersamaan 11 Jun 2001. Fatwa tersebut berbunyi: ”Diharuskan musafir bagi wanita untuk tujuan menunaikan haji sunat atau umrah sunat tanpa suami atau mahram dengan syarat-syarat yang ketat dan disiplin-disiplin tertentu”. Jawatankuasa telah menyenaraikan 17 syarat yang mesti dipatuhi.

Kesimpulan, setelah diteliti pandangan para ulamak dahulu dan kini, didapati mereka mempunyai sudut pandangan yang berbeza sama ada wajib atau tidak wanita diiringi suami atau mahram atau boleh diganti dengan teman yang boleh dipercayai ketika musafir, sama ada musafir wajib atau bukan wajib.

Perbezaan sudut pandangan ini berlaku hatta dalam kalangan ulamak mazhab yang sama. Malah ada dalam kalangan mereka seperti Ibn Hazm, Ibn Taimiyyah dan lain-lain tidak mewajibkan diiringi teman langsung sekiranya perjalanan itu aman.

Di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, pengarangnya berkata, harus bagi perempuan Islam mengerjakan haji atau umrah bersama perempuan-perempuan thiqat (yang dipercayai). Bahkan mengikut qaul yang sahih, harus walaupun dengan seorang perempuan thiqah. Pada satu pandangan yang lain, harus ia mengerjakan haji atau umrah fardu walaupun seorang diri sahaja sekiranya aman dirinya daripada fitnah. [Mughni al-Muhtaj, j.2, m.s.465]

Imam asy-Syafie sendiri tidak berpegang kepada zahir nas seperti yang diriwayatkan oleh an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim (jilid 9, m.s.104): tidak disyaratkan mahram, bahkan disyaratkan keamanan dirinya.

Lantaran itu, kita dapati beberapa orang dalam kalangan ulamak zaman kini mentarjihkan wajib haji ke atas wanita dan harus bagi mereka musafir jika keselamatan dan kemudahan terjamin dengan apa cara sekalipun, sama ada dengan cara ditemani suami, mahram, kawan yang amanah, pengendalian pihak berwajib atau lain-lain. Isteri-isteri Rasulullah SAW telah menunaikan haji dengan keizinan Khalifah Umar bin al-Khattab RA. Umar telah mengutus Uthman bin Affan RA dan Abdul Rahman Auf RA sebagai pengiring mereka. Haji yang ditunaikan oleh Ummahat al-Mukminin radhiyallahu anhunna itu adalah haji sunat kerana mereka telah pun menunaikan haji wajib bersama Rasulullah SAW. [’Atiyyah Saqar, j.2, m.s.134-135]

Kelima, kewajipan jihad fi sabilillah. Dalam kitab Mughni al-Muhtaj dinyatakan:

“Jihad pada zaman Rasulullah SAW adalah fardu kifayah. Ada juga yang berkata fardu ain. Selepas zamannya, orang kafir berada dalam dua keadaan. Jika mereka berada di dalam negara mereka, tidak menyerang atau mengancam, maka jihad adalah fardu kifayah. Dalam keadaan ini, tidak wajib jihad ke atas kanak-kanak, orang gila, wanita, orang sakit, orang cacat, kudung, lumpuh, tidak mempunyai keupayaan untuk berperang dan yang berhutang kecuali dengan izin tuan hutang… 

Keadaan kedua, mereka memasuki (menjajahi) negeri kita, maka wajib atas semua warga menolak dengan apa cara yang boleh. Jika seseorang mampu mempersiapkan untuk perang, wajib ke atasnya sedaya mungkin, termasuklah golongan faqir, anak tanpa izin ibu bapa, orang berhutang tanpa izin tuan hutang, hamba tanpa izin tuan dan isteri tanpa izin suami…

Dinyatakan juga bahawa jika golongan merdeka mampu melawan musuh, maka golongan hamba wajib mendapat keizinan tuan. Jika tidak, maka setiap orang yang diserang wajib mempertahankan diri walaupun dia tahu dia akan dibunuh. Orang yang tinggal kurang daripada jarak qasar solat daripada negeri yang diserang wajib membantu sama seperti orang yang tinggal di dalam negeri itu…

Orang yang tinggal melebihi jarak qasar, wajib bantu sekadar mencukupi. Jika tidak mencukupi, wajib lawan seperti penduduknya dan yang berhampiran dengannya. Jika musuh menawan seorang Muslim, maka yang asah (paling sahih) wajib bangkit untuk membebaskannya….” [Mughni al-Muhtaj, jz 4, m.s. 208-220]

Palestin, bukankah tanah air kita? Orang kafir sudah masuk berapa lama? Berapa ramai telah ditawan, malah dibunuh denga kejam? Tidakkah menjadi kewajipan ke atas kita semua membebaskannya dengan apa yang terdaya?

Keenam, dari segi bahaya sebenarnya satu-satunya ancaman yang mungkin ditempuh (selain bencana alam yang tidak boleh dielak) adalah ancaman zionis sahaja. Hal ini sama sahaja sama ada yang pergi itu lelaki atau perempuan. Kalau bahaya itulah yang perkirakan dan dijadikan penghalang, maka sampai bilakah kita akan biarkan zionis terus bermaharajalela?

Allah jua Yang Maha Mengetahui. Moga-moga tulisan ini tidak tergelincir dari landasan syarak.

Ustazah Maznah Daud
Ahli Dewan Perwakilan Nasional (DPN)
Merangkap Naib Ketua Wanita IkRAM Pusat
7 Oktober 2016

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia