Beliau berucap merasmikan Perhimpunan Ahli Teras Wanita (PATWA) IKRAM 2015 bertempat di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM di sini semalam.
Tambah beliau, setiap daripada kita harus mampu memainkan peranan masing-masing.
“Tenaga generasi muda dan generasi ‘senior’ perlu digemblengkan untuk melaksanakan usaha-usaha pembaikan negara sehingga akhirnya kekuatan kita berkembang, mampu memimpin ummah dan membawa kepada Malaysia menuju negara rahmah,” jelasnya.
Menurutnya, situasi yang berlaku di antarabangsa dan negara tidak mampu kita atasi tanpa persiapan.
Justeru, beliau menyarankan ahli IKRAM untuk membangunkan kekuatan dan membuat persiapan mengislahkan diri, masyarakat dan pemimpin negara malah berusaha membangunkan umat di tempat kita sendiri untuk menjadikan negara kita sebagai tapak bagi usaha pembelaan ummah.
Sementara itu, Ketua Wanita IKRAM, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dalam ucapannya berkata, keahlian IKRAM yang sebahagian besarnya adalah orang muda merupakan petanda yang baik dan perkembangan positif gerak kerja dakwah yang memerlukan orang muda sebagai tiang pasak bagi kebangkitan sesuatu umat.
“Namun demikian, orang muda ini perlukan kepada bimbingan dan tunjuk ajar, sokongan dan dorongan dari yang senior untuk merealisasikan visi dan misi dakwah IKRAM.
“Di sinilah gandingan ‘hikmatusy-syuyukh wa hamasatusy-syabab’ perlu kita zahirkan,” ujarnya.
Mengenai gagasan Malaysia menuju negara rahmah, beliau mengingatkan tentang ciri-ciri negara yang dikehendaki iaitu, ingin melihat Malaysia yang di dalamnya:
- Islam mencorak perjalanan negara dan kehidupan rakyat
- Ulama’ berada di hadapan
- Kepimpinan menjadi contoh
- Parlimen dan Istana yang pro-syariah
- Perkhidmatan awam yang profesional, berkecuali dan berakhlak
- Pasukan keselamatan profesional dan pro-syariah
- Ekonomi berlandaskan syariah
- Pembangunan sains dan teknologi untuk manusia
Wanita IKRAM juga ingin melihat suara rakyat yang terpinggir didengari dan diberi pembelaan, ruang dan peluang yang sama dan adil diwujudkan bagi semua rakyat menzahirkan potensi masing-masing.
“Yang miskin diupayakan sehingga dapat keluar dari tahap kemiskinannya, yang kaya berkongsi harta menyumbang kepada yang memerlukan,” jelas Che Asmah.
Tambah beliau, Piagam Wanita Islam yang diperkenalkan oleh Wanita IKRAM telah dikongsi dengan pertubuhan wanita yang lain, bertujuan menjelaskan kedudukan wanita di dalam Islam bagi mengubah salah faham yang berlaku serta menyebarkan fikrah Islam berhubung kedudukan wanita itu sendiri.
“Piagam Wanita Islam ini menggariskan prinsip asas, peranan, tanggungjawab serta hak wanita dan lelaki di dalam semua aspek pembangunan diri, keluarga dan masyarakat,” jelasnya lagi.