Wakaf: Konsep dan Manfaat Besarnya Kepada Masyarakat

Kita sudah berada di penghujung bulan Syaaban dan semakin hampir dengan bulan yang dinantikan oleh orang-orang beriman, iaitu bulan Ramadan. Ia bulan yang disebut-sebut sebagai bulan “kemewahan” bagi orang-orang susah dan bulan kedermawanan kepada orang-orang Islam secara amnya.

Rasulullah SAW dikenali dengan sosok personaliti yang sangat dermawan dan pantas dalam memberikan sumbangan kepada sesiapa sahaja yang meminta kepada baginda, tindakan yang boleh diumpamakan sebagai angin yang menghembus laju. 

Memberi sedekah dan infaq sering disarankan dalam masyarakat terutama di masjid-masjid atau di surau-surau. Kini, masyarakat mula dibiasakan dengan pelawaan untuk membuat kebajikan melalui wakaf. Terdapat pelbagai kaedah dan pendekatan yang diambil oleh organisasi berkaitan untuk membuat promosi berwakaf bagi tujuan mempelbagaikan sumber jariah umat Islam.

Walau bagaimanapun, masih terdapat kekeliruan dalam masyarakat sama ada dalam kalangan pentadbir organisasi yang menguruskan wakaf mahupun masyarakat yang menjadi penyumbang kepada aktiviti perwakafan tentang bentuk dan ciri-ciri wakaf dalam Islam. 

Konsep wakaf dalam Islam 

Wakaf bukanlah konsep baharu dalam Islam. Malah, ia telah menjadi instrumen ekonomi Islam yang berkesan sejak zaman Rasulullah SAW. Panduan berwakaf dalam Islam disandarkan kepada beberapa sumber utama dalam Islam seperti al-Quran iaitu daripada surah Ali Imran ayat 92 yang bermaksud:

”Kamu tidak sekali-kali akan mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.”

Ayat di atas telah memberikan satu dorongan besar kepada sahabat-sahabat Rasulullah SAW untuk berlumba-lumba membuat kebajikan dengan mendermakan tanah dan kebun pertanian yang mereka sayangi untuk meraih keredaan Allah SWT.

Prinsip kebahagiaan memiliki harta di dunia menurut pandangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW adalah apabila mereka mengembalikan semula kepada Allah SWT melalui manfaat yang diterima oleh ramai pihak dan secara individu diterima oleh pewakaf sewaktu mereka telah meninggal dunia.

Hal ini dapat dilihat bagaimana Rasulullah SAW memberikan nasihat dan panduan terhadap Saidina Umar r.a. untuk menguruskan hartanya seperti dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud:

Daripada Ibnu Umar r.a. katanya, bahawa Umar r.a. memperoleh sebidang tanah di Khaibar, kemudian beliau menghadap Rasulullah untuk memohon petunjuk. Umar berkata: “Ya Rasulullah, saya mendapatkan sebidang tanah di Khaibar. Saya belum pernah mendapat harta sebaik itu, maka apakah engkau perintahkan kepadaku?” Rasulullah menjawab: “Apabila kamu suka, kamu tahan (pokoknya) tanah itu dan kamu sedekahkan (hasilnya).” Kemudian Umar menyedekahkannya kepada orang-orang fakir, kaum kerabat, budak belian, sabilillah, ibnu sabil dan tetamu. Dan tidak mengapa atau tidak dilarang bagi yang menguasai tanah wakaf itu (pengurusnya) memakan hasilnya dengan cara yang baik (sepantasnya) atau makan dengan tidak bermaksud mengumpul harta.

Nasihat Rasulullah SAW tersebut seiring dengan galakan Rasulullah SAW dalam hadis yang lain yang telah disimpulkan oleh para ulama Islam sebagai aktiviti berwakaf. Hadisnya yang bermaksud:

“Apabila anak Adam telah meninggal dunia, maka putuslah semua amalnya kecuali tiga: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan kedua-dua ibu bapanya.”

Berdasarkan hadis tersebut, dapat difahami bahawa amalan berwakaf dituntut kerana mekanisme wakaf menonjolkan impak pahala yang berterusan disebabkan perbuatan sedekah membuka manfaat yang luas kepada semua lapisan masyarakat. Aktiviti berwakaf jelas menonjolkan satu teori ekonomi yang penting dalam pembinaan masyarakat yang bertamadun.

Pembinaan ekonomi dengan mengekalkan pelaburan jangka masa panjang dapat direalisasikan melalui pelaburan harta wakaf dan pemerolehan harta yang diagih secara saksama.

Saidina Umar r.a. telah menunjukkan contoh lain iaitu, beliau telah mewakafkan sebidang tanah di Palestin semasa hidupnya lebih daripada 1,000 tahun dahulu. Tanah tersebut masih kekal dinikmati sehingga pada hari ini oleh masyarakat di Palestin. 

Contoh lain yang terbaik untuk dikemukakan adalah melalui kisah wakaf telaga Uthman. Pada zaman Rasulullah SAW, penduduk Madinah menghadapi masalah air kerana satu-satunya telaga yang ada ketika itu dimiliki oleh seorang Yahudi yang menjual air dengan harga tinggi.

Rasulullah SAW menggalakkan para sahabat membeli telaga tersebut dan mewakafkannya untuk kegunaan orang ramai. Saidina Uthman bin Affan r.a. tampil membeli telaga itu dan mewakafkannya, menjadikan airnya percuma untuk seluruh penduduk Madinah. Sehingga hari ini, wakaf ini dikenang sebagai salah satu bentuk wakaf paling berkesan dalam sejarah Islam.

Seperti yang kita lihat dalam kisah-kisah di atas, wakaf bukan sekadar membantu golongan yang memerlukan tetapi juga memberi kesan ekonomi dan sosial yang besar. Begitu juga halnya dalam konteks moden, wakaf boleh digunakan untuk:

  • Membina sekolah dan universiti bagi memastikan pendidikan berkualiti kepada semua.
  • Menyediakan rumah mampu milik untuk golongan kurang berkemampuan.
  • Membantu institusi kesihatan menyediakan rawatan percuma kepada masyarakat.

Dalam bulan Ramadan, peranan wakaf menjadi lebih bermakna kerana ramai yang ingin melakukan amal jariah dan mengharapkan pahala berpanjangan.

Perbezaan wakaf, zakat dan sedekah

Walau bagaimanapun, perbincangan kali ini turut menyentuh perbezaan antara instrumen wakaf, zakat dan sedekah yang menjadi instrumen penting dalam mengangkat sosial masyarakat Islam secara keseluruhannya. Kekeliruan tentang praktis ketiga-tiga instrumen tersebut diringkaskan dalam jadual di bawah:

Jenis Definisi Ciri Utama
Wakaf Penyerahan harta untuk kegunaan umum secara kekal Manfaatnya berterusan dan tidak boleh dijual atau diwarisi
Sedekah Sumbangan sukarela yang boleh diberikan dalam apa jua bentuk Tidak terikat dengan syarat tertentu, boleh diberikan kepada sesiapa sahaja
Zakat Kewajiban ke atas harta tertentu apabila mencapai nisab dan haul Diberikan kepada lapan golongan asnaf seperti fakir, miskin dan mualaf

Dalam konteks Ramadan, zakat fitrah wajib dikeluarkan oleh setiap individu Muslim yang berkemampuan untuk membantu golongan miskin agar mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih baik. Sedekah pula lebih fleksibel, boleh diberikan pada bila-bila masa untuk apa sahaja tujuan kebajikan.

Namun, wakaf mempunyai keunikan tersendiri kerana manfaatnya yang berkekalan. Jika seseorang mewakafkan sebahagian hartanya untuk membina sekolah, masjid atau hospital, manfaatnya akan terus dirasai oleh ramai orang walaupun pewakaf itu telah meninggal dunia. Hal ini sejajar dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Apabila seseorang meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah (wakaf), ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh.” (Hadis Riwayat Muslim)

Buya Hamka telah meninggalkan pesan yang mengesan kepada kita semua selaku umat Islam untuk dijadikan panduan. Kata beliau:

“Harta yang kamu makan akan menjadi kotoran. Harta yang kamu simpan akan menjadi warisan. Tetapi harta yang kamu wakafkan akan kekal abadi di akhirat.”

Dr. Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan, Koordinator MIBF & Program Eksekutif
Arshad AyubGraduate Business School
UiTM, Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia