Wacana MM2.2: Catatan 12 Januari 2012
31. Pada Wacana MM2.1, saya telah membincangkan tentang ragam masyarakat dalam konteks agama, sosial dan kaum. Dalam bahasa hari ini, ilmu yang diperlukan ialah ilmu menangani kepelbagaian. Namun kali ini saya ingin terus terjah cabaran-cabaran dalam engagement atau mendampingi masyarakat.
32. Dalam beberapa hari ini, banyak peristiwa yang berlaku yang berkaitan dengan cabaran yang akan saya sentuh. Pada masa yang sama, banyak perbincangan juga berlaku dalam net berhubung dengan tarbiah, masyarakat dan engagement. Ini boleh dianggap sebagai suatu wacana yang sihat. Wacana tidak bermakna sebuah program sahaja. Wacana juga bermaksud perbincangan.
33. Justeru, apakah cabaran-cabaran yang dihadapi bila berdamping dengan masyarakat? Sebelum pergi lebih jauh, saya ingin mencerakinkan maksud saya tentang berdamping ini. Di sini kita cuma akan tumpu kepada dampingan bersifat jamaah atau organisasi. Dampingan secara individu seperti dakwah fardi memerlukan wacana berbeza.
34. Pada masa yang sama, kita jelas telah memilih untuk bergiat di medan masyarakat madani dan berusaha untuk mendapat keyakinan rakyat. Lalu perubahan akan berlaku berasaskan kehendak rakyat dan dalam keadaan bergelumang dengan masyarakat!
35. Baiklah, antara cabaran-cabaran engagement ialah seperti berikut:
- Berhadapan dengan kepelbagaian ragam individu dan organisasi – berbilang agama dan kaum, perbezaan kefahaman perubahan, berbeza sosio-ekonomi dll.
- Terpaksa keluar daripada zon selesa kita – mesyuarat di premis orang (mungkin kurang kemudahan solat), ahli mesyuarat yang hisap rokok, berpakaian menjolok dan lain-lain.
- Fikrah dan agenda sendiri tercabar – contohnya isu Kalimah Allah, ketuanan Melayu, HIMPUN
- Gerakerja dan pendekatan yang berbeza – contohnya seperti dalam MAIM (dulu), GMI, MAPPIS, FORUM (P.Pinang), ACCIN, Gabungan BERSIH 2.0, MAFREL, SMM, Persatuan Penduduk dll.
- Tanggapan negatif atau pra-sangka buruk pihak lain terhadap hubungan atau engagement yang dibuat. Kadang-kadang tanggapan ini datang daripada ahli organisasi sendiri.
36. Untuk memberi gambaran yang lebih jelas terhadap cabaran-cabaran ini, cuba kita teliti senario berikut:
1. Senario 1: Sahabat A diminta oleh pimpinan sebuah organisasi untuk mewakili organisasi tersebut dalam sebuah mesyuarat berhubung hak dan nasib pekerja estet. Mesyuarat dipanggil oleh sebuah badan baru yang akan ditubuhkan untuk membela nasib pekerja estet. Mesyuarat diadakan di sebuah ladang estet jauh di pinggiran kota. Kebanyakan yang hadir mesyuarat terdiri daripada orang India dan Cina. Mesyuarat dijadualkan bermula jam 7.00 malam (waktu Maghrib jam 7.20 malam). Mesyuarat dimaklumkan pekerja estet telah dianiaya dengan gaji yang rendah dalam keadaan kos kehidupan yang meningkat. Fakta-fakta jelas dikemukakan. Ini selari dengan matlamat organisasi Sahabat A iaitu membela nasib masyarakat, khususnya yang daif dan teraniaya. Tetapi Sahabat A sangat tidak selesa berada dalam kumpulan tersebut. Dialah satu-satunya orang Islam dan Melayu!
2. Senario 2: Sahabat B mempengerusikan mesyuarat gabungan baru mewujudkan Malaysia yang sejahtera. Mesyuarat dihadiri oleh 10 NGO lain yang berbilang agama, kaum, kefahaman politik dan budaya. Dalam salah satu agenda, disebutkan sebuah program kebudayaan akan diadakan untuk merapatkan hubungan kaum. Salah sebuah NGO bersedia menguruskan program tersebut. NGO tersebut terkenal sebagai NGO yang membela hak wanita dan mempertahankan hak kebebasan beragama. Mereka mencadangkan supaya diadakan satu sketsa dalam program kebudayaan tersebut dengan menonjolkan imej Malaysia yang prihatin hak wanita dan hak kebebasan beragama. Semua ahli mesyuarat yang lain bersetuju. Tapi Sahabat B sebagai Pengerusi tidak bersetuju.
3. Senario 3: Sahabat C pula mempengerusikan mesyuarat sebuah organisasi tentang pilihan raya. Agenda disediakan dan perbincangan bermula dengan baik. Masing-masing mengemukakan cadangan tetapi tiada yang bersedia melaksanakannya dengan pelbagai alasan. Banyak tindakan yang tertangguh tetapi Sahabat C tiada pilihan kerana tidak mendapat sokongan penuh daripada organisasinya walaupun matlamat organisasi pilihan raya tersebut selari dengan organisasinya. Sesetengah tindakan berjalan tetapi lambat dan tidak berkualiti. Sesetengahnya terpaksa dilakukan sendiri oleh Sahabat C untuk memastikan objektif organisasi tersebut tercapai. Bolehkah Sahabat C bertahan??
37. Ini sekadar senario, tidak ada kena mengena secara langsung dengan mana-mana. Mungkin ada lagi senario yang boleh dikongsi yang ramai di kalangan kita lalui. Saya percaya masing-masing ada keunikan dan cerita menariknya yang tersendiri. Dalam setiap senario tersebut ada cabaran-cabarannya. Sekarang, soalnya bagaimanakah kita hadapinya dengan berkesan?
Wacana MM2.3: Catatan 13 Januari 2012
38. Teringat saya kepada satu pepatah Inggeris, “All things are difficult before they go easy”. Terjemahannya ialah “Semua perkara adalah sukar sebelum ia menjadi senang”. Kalau bahasa hari ini maksudnya ialah bukan senang untuk dapat senang! Alah bisa tegal biasa! Ini peribahasa slogan sekolah saya dulu. Kami di sekolah amat berpegang teguh kepadanya terutama yang terlibat dengan sukan.
39. Kenapa sukan? Kerana semasa dulu-dulu, selain akademik, sukan merupakan cara mengharumkan nama sekolah terutama untuk sekolah yang tidak berasrama penuh seperti sekolah saya. Pada mulanya, sekolah saya antara yang ke bawah dalam prestasi akademik mahupun sukan. Tetapi dengan adanya kempen ‘Alah bisa tegal biasa’, prestasi sekolah terutama sukan melonjak naik.
40. Apa sebabnya? Bukan kerana bajet besar atau peralatan canggih tetapi kerana komitmen dan tauladan yang ditunjukkan oleh guru-guru dan pelajar untuk berkorban, berani meredah dan tidak berputus asa. Pasukan hoki sekolah umpamanya… baju jersi pun tiada (pakai baju-T putih seluar hitam sahaja) dan kayu hoki beli dan ‘tuning’ sendiri. Tetapi latihan hampir setiap petang termasuk hari Sabtu! Mula-mula memang kena belasah dengan sekolah lain. Akhirnya mengharumkan nama sekolah apabila menjadi juara bawah 16 dan bawah 18 tahun, mengalahkan pasukan yang lebih ‘glamer’ dan serba lengkap. Malah ramai yang terpilih sebagai wakil Negeri.
41. Dalam menghadapi cabaran berdamping dengan masyarakat, pepatah di atas harus menjadi panduan. Lebih baik lagi jika kita mentadabbur [menghayati] ayat Al-Quran Surah Al-Insyirah khususnya ayat 5 dan 6 yang menjelaskan bahawa setiap kesulitan itu diiringi dengan kesenangan atau kemudahan. Malah keseluruhan surah tersebut sebenarnya ialah wahyu penawar Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. InsyaAllah juga buat kita, umatnya.
42. Semalam, saya mendapat jemputan untuk menghadiri satu taklimat berhubung dengan usaha pemuliharaan Jalan Sultan, Kuala Lumpur (KL) daripada kesan projek mega MRT KL (Mass Rapid Transit). Taklimat diadakan di Dewan Perhimpunan Cina KL dan Selangor (KLSCAH) di tengah bandar KL. Turut hadir bersama ialah Pengerusi Bersama Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) merangkap Presiden JIM dan Setiausaha Agung IKRAM, Hj Zaid Kamaruddin. Juga turut hadir ialah AJK Masyarakat Madani IKRAM terdiri daripada Prof Madya Dr Melasutra Md Dali (isteri saya) dan Mohd Hafiz Abd Hamid @ Bai.
43. Taklimat dijadual bermula jam 8.00 malam. Memahami keadaan tidak menentu trafik Kuala Lumpur dan waktu Maghrib, kami (saya dan isteri) merancang perjalanan kami supaya solat Maghrib di surau Wisma Pahlawan, bangunan berdekatan KLSCAH. Alhamdulillah kami tiba tepat masa masuknya waktu Maghrib dan dapat mengerjakan solat secara berjamaah (berdua kerana ini surau pejabat). Kami masuk ke Auditorium KLSCAH sekitar jam 7.50 malam. Auditorium yang boleh memuatkan anggaran seramai 200 orang itu mula dipenuhi dengan wakil-wakil NGO, media dan penduduk yang terkesan dengan projek MRT berkenaan.
44. Majoriti yang hadir terdiri daripada kaum Cina dan ada sebilangan kecil India dan Melayu. Mungkin kerana fokusnya kepada Jalan Sultan yang dihuni oleh ramai peniaga Cina maka hadirin ramai daripada kalangan mereka. Saya dan isteri berbual-bual dengan salah seorang lelaki Cina yang hadir sementara menunggu taklimat bermula. Katanya dia dari Taman Tun Dr Ismail (TTDI). “Where are you from?” dia bertanya. “Ooh..we are from Damansara, Bandar Sri Damansara”, jawab Dr Mela. “Aiie! Damansara also affected aaa?” tanya lelaki itu lagi dengan nada dan wajah yang hairan. “Err no, but we are here as NGO reps to hear the briefing”, jawab Dr Mela ringkas.
45. Rupa-rupanya lelaki berkenaan ingatkan yang hadir itu semuanya ‘mangsa’ projek MRT . Bandar Sri Damansara, samada bagus atau tidak, tidak termasuk dalam lingkaran MRT. “What type of NGO?” tanya lelaki itu lagi. Pada ketika ini, Dr Mela memandang saya dan seolah-olah memberi isyarat SOS. Saya bisikkan kat dia, “Beritahulah kita IKRAM, NGO Islam dan mengapa kita datang”. Mungkin kerana kurang jelas dan seorang perempuan yang jawab, lelaki Cina tadi lantas meneka sendiri…”Aaa… you represent this Muslim Woman NGO… err… but cannot rememberlah, what is it aaa?”
46. Saya pun menyampuk menjelaskan, “Actually we’re a national NGO having branches in all states. We involved ourselves in enjoining what is good and forbidding what is evil. We believe in working with civil society. We are involved with welfare initiatives and programs for the betterment of youth, women, education, economy, environment etc”. Mendengar jawapan ini, lelaki Cina tadi mengangguk-angguk sambil mengatakan, “I’ve seen you in papers before….”. Perbualan kami terhenti di situ kerana taklimat bermula. Namun, tindakan akhir saya ialah menghulurkan kad nama saya… IKRAM.
Wacana MM2.4: Catatan 13 Januari 2012
47. Isu projek mega atau raksasa MRT merupakan satu isu masyarakat madani yang melibatkan masyarakat berbilang kaum dan orang biasa. Sejak awal lagi projek itu diumumkan pada Jun 2010 dan diluluskan oleh Kerajaan pada Disember 2010, isu yang dibangkitkan berhubungnya ialah daya majunya dan kos besar yang terpaksa dibelanjakan untuk pembangunannya iaitu sehingga melebihi RM50 bilion. Ada yang berani mengatakan jika projek tersebut tidak diuruskan dengan berhemah dan berhati-hati, negara bakal menanggung hutang terbesar dalam sejarah!
48. Menurut taklimat semalam, sebenarnya ramai yang tidak menentang pembangunan. Namun ada beberapa aspek yang dipersoalkan dan kelihatan diambil mudah. Pertama, beberapa laluan yang boleh dielakkan dan dengan itu mengurangkan peruntuhan rumah kedai bersifat ‘warisan KL’ atau ‘KL heritage’ serta pengambilan tanah. Contohnya jajaran MRT yang melalui Jalan Sultan membelok dengan agak tajam dan melalui laluan banyak rumah kedai semata-mata untuk memastikan jajaran MRT melalui Bangunan Wawasan Merdeka (bakal menjadi bangunan tertinggi dengan 102 tingkat). Sedangkan, alternatifnya, laluan yang lebih selesa ialah melalui Jalan Tun Tan Cheng Lock dan menemui Plaza Rakyat (yang terbengkalai). Ini juga memberi peluang untuk Plaza Rakyat dibangunkan semula setelah terbiar sekian lama (lebih daripada 12 tahun!).
49. Kedua, penilaian kesan alam sekitar dan sosial (environmental and social impact assessment) kelihatannya juga tidak dilakukan dengan cermat. Penduduk TTDI umpamanya, membuat semakan pencemaran bunyi sekiranya MRT melalui kawasan mereka. Menurut mereka, sekarang pun tahap desibel bunyian melebihi piawaian tertentu khususnya apabila trafik sibuk pada hari Isnin dan Jumaat. Apatah lagi sekiranya MRT menempuhi kawasan mereka. Sesetengahnya pula mendakwa jarak antara rumah mereka dengan rancangan jajaran MRT terlalu rapat dan tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan.
50. Setelah taklimat, ramai yang bangkit meluahkan perasaan dan mengemukakan cadangan. “Ini seolah-olah seperti ‘gabungan in the making’ atau ‘gabungan dalam pembentukan’ ”, bisik hati kecil saya. Mereka mengadu telah berjumpa dengan ramai pak Menteri, Syarikat Kontraktor Utama (MRT Corp), SPAD, berbagai Kementerian, Datuk Bandar dan lain-lain tetapi hasilnya sangat tidak memuaskan. Malah semalam ada yang mencadangkan supaya pada 1 Februari 2012, Hari Wilayah nanti dinaikkan bendera hitam tanda protes seluruh warga KL!
51. Saya mencadangkan supaya diwujudkan gabungan bersama penduduk di semua kawasan yang terkesan dan laksanakan usaha sebagai satu suara yang lebih kuat. Masalah di Jalan Sultan mungkin tidak sama dengan masalah di TTDI atau di Cheras tetapi saya cadangkan mereka bersatu atas isu yang sama atau ‘common issues’ iaitu isu ketelusan, isu tiadanya maklumat dan rundingan awam yang mencukupi dan isu pemuliharaan serta pencemaran. Lagi pun mereka berdepan dengan pihak berkepentingan atau ‘stakeholders’ yang sama. Dalam skala yang lebih besar, isu nasional ialah isu perbelanjaan yang amat besar dan tadbir urus yang dikhuatiri. Saya juga mencadangkan supaya mereka mendapatkan nasihat peguam khususnya berhubung tanah dan penilaian kesan kepada sosial dan alam sekitar.