Pendekatan Nabi dan Sahabat dalam menangani wabak

Panduan baginda menangani wabak taun

 

Daripada  Amr bin Saad bin Abi Waqas, daripada ayahnya bahawa beliau pernah mendengar ayahnya bertanya kepada Usamah bin Zaid, “Apakah hadis yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah SAW berkaitan dengan wabak taun (kolera)?”

 

Usamah menjawab, “Rasulullah SAW pernah bersabda: Wabak taun adalah kotoran yang dikirimkan Allah SWT kepada sebahagian Bani Israil dan juga orang-orang sebelum kalian. Jika kalian mendengar ada wabak taun di suatu negeri, janganlah kalian memasuki negeri tersebut. Namun, apabila wabak taun itu tersebar di negeri kalian, janganlah kalian keluar dari negeri kalian menghindari dari penyakit itu.” (Hadis Riwayat Bukhari-Muslim)

 

Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya yang berjudul al-Thibb al-Nabawi, secara bahasa, taun adalah sejenis wabak penyakit.

 

Dalam atsar Aisyah, dinyatakan bahawa beliau pernah berkata kepada Rasulullah SAW: “Adapun ta’n (tusukan dengan benda tajam) kami sudah mengetahuinya. Lalu, apakah yang dimaksudkan dengan taun?” Nabi SAW menjawab: “Benjolan yang muncul seperti yang dialami oleh unta, tumbuh di bahagian belakang ketiak dan seumpamanya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

 

Ketika Nabi SAW melarang umatnya untuk masuk ke daerah yang dijangkiti wabak taun ini dan melarang mereka keluar dari kawasan terjadinya penyakit tersebut, baginda telah menggabungkan penjelasan. Iaitu, jika masuk ke daerah yang terkena wabak sama saja dengan menyerahkan diri kepada penyakit tersebut.

 

“Sungguh itu (masuk dan keluar tempat wabak dengan bebas) bertentangan dengan ajaran syariat dan disiplin logik,” kata Ibnu Qayyim.

 

Larangan pergerakan

 

Menurut Ibnu Qayyim, tindakan Nabi SAW melarang umatnya memasuki ke daerah wabak adalah satu bentuk pencegahan yang memang dianjurkan oleh Allah SWT iaitu mencegah diri kita agar tidak terkena dengan wabak yang menular itu.

 

Sementara itu, melarang keluar daripada lokasi wabak juga mengandungi hikmahnya yang tersendiri iaitu:

 

1. Menggalakkan manusia agar percaya kepada Allah, bertawakal kepada-Nya, serta tabah dan reda menghadapi segala ketentuan-Nya.

 

2. Jika telah dijangkiti, seseorang itu perlu dirawat dan dikuarantin dengan cara yang betul agar dirinya tidak menjadi penyebar kepada penyakit yang tersebut.

 

Manakala  larangan Nabi SAW kepada umatnya untuk tidak masuk ke negeri atau kawasan terjadinya wabak mempunyai beberapa hikmah, antaranya:

 

1. Menjauhkan diri daripada pelbagai keadaan yang membahayakan.

 

2. Mendapatkan keselamatan yang merupakan keperluan kehidupan dunia dan akhirat.

 

3. Agar tidak menghirup udara yang dicemari sehingga boleh terjangkiti wabak tersebut.

 

4. Agar mereka tidak dekat dengan orang sakit hingga boleh menyebabkan mereka sakit sebagaimana yang dideritai mereka yang telah dijangkiti wabak tersebut.

 

5. Menjaga diri dan ahli keluarga juga sesiapa pun daripada terkena wabak penyakit tersebut.

 

Ibnu Qayyim turut mengisahkan pada zaman Rasulullah SAW, jikalau ada sebuah negeri dijangkiti penyakit taun, baginda memerintahkan untuk mengkuarantinkan pesakit tersebut di tempat yang khusus serta jauh daripada rumah penduduk.

 

Taun sebagaimana disabdakan Rasulullah SAW adalah wabak penyakit yang menular hingga boleh membunuh mereka yang dijangkitinya. Jika umat Islam bersabar menghadapi situasi ini, mereka dijanjikan syurga dan pahala yang besar.

 

Selain itu, pada zaman Rasululullah SAW pernah terjadi wabak kusta yang menular dan mematikan sebelum ditemui ubatnya. Ketika itu, baginda memerintahkan untuk tidak mendekati atau menziarahi orang yang mengalami kusta tersebut.

 

‏ لاَ تُدِيمُوا النَّظَرَ إِلَى الْمَجْذُومِينَ

 

“Janganlah kamu terus menerus melihat orang yang menghidap penyakit kusta.” (Hadis Riwayat Bukhari)

 

Nabi Muhammad SAW juga memperingatkan umatnya untuk tidak mendekati negeri yang sedang merebaknya wabak. Dan sebaliknya jika berada di dalam tempat yang terkena wabak tersebut, dilarang untuk keluar daripada tempat tersebut.

 

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا

 

“Jika kamu mendengar wabak di suatu wilayah (negeri), maka janganlah kalian memasukinya. Akan tetapi, jika terjadi wabak di tempat kamu berada, maka jangan tinggalkan tempat itu.” (Hadis Riwayat Bukhari)

 

Indahnya Islam ini, setiap sesuatu yang Allah datangkan mempunyai solusinya yang tersendiri. Sebagaimana dalam situasi yang berlaku hari ini, sirah lampau memberikan peringatan dan cara menanganinya kepada kita semua.

 

Syam dianda taun, Umar RA kembali ke Madinah

 

Menurut riwayat Bukhari dan Muslim dalam satu hadis yang panjang, Khalifah Umar al-Khattab RA bersama para sahabatnya berhenti di daerah perbatasan sebelum memasuki Syam kerana mendengar khabar wabak taun yang melanda negeri tersebut.

 

Setelah meminta pandangan gabenor Syam, Abu Ubaidah bin al-Jarrah dan para sahabat, akhirnya Umar membuat keputusan untuk pulang ke Madinah.

 

Abu Ubaidah yang menginginkan mereka masuk ke Syam lantas bertanya kepada Umar, “Mengapa engkau perlu lari daripada takdir Allah SWT?” Maka, Umar pun menjawab, “Sesungguhnya dengan kita pulang, kita hanya berpindah dari satu takdir kepada takdir yang lain.”

 

Abdurrahman bin Auf bersetuju dengan pandangan Umar lalu mengucapkan hadis Rasulullah SAW: “Jika kalian mendengar wabak melanda suatu negeri, maka janganlah kalian memasukinya. Dan jika kalian berada di sesuatu kawasan itu, janganlah kalian keluar untuk lari daripadanya.”

 

Akhirnya mereka pun pulang ke Madinah, mengikut saranan Umar RA manakala Abu Ubaidah mengambil keputusan hidup bersama rakyatnya dan mati bersama rakyatnya.

 

Hingga suatu waktu, Umar RA pun menangis ketika mendengar khabar Abu Ubaidah, Muadz bin Jabal, Suhail bin Amr dan sahabat-sahabat mulia yang lain (radiallahuanhum) wafat kerana wabak taun di Syam. Menurut sirah, sekitar 20,000 orang terbunuh akibat dijangkiti wabak tersebut yang mana hampir separuh penduduk Syam ketika itu.

 

Tindakan Amru bin al-Ash tangani wabak

 

Wabak taun berhenti ketika sahabat baginda, Amr bin al-Ash RA memimpin disebabkan kecerdasan beliau menyelamatkan Syam, hasil daripada tadabbur (renungan) dan kedekatannya dengan alam ini.

 

Amr bin al-Ash berkata: “Wahai sekalian manusia, penyakit ini menyebar seperti maraknya api. Jauhilah dan berlindunglah dengan menempatlah di gunung-ganang.” Mereka pun berlindung dan duduk di kawasan gunung-ganang. Wabak pun berhenti sebagaimana api yang padam kerana tidak mampu lagi menemukan bahan yang dibakar.

 

Maka, inilah panduan dan sikap yang dianjurkan:

 

1. Kuarantin: Mengasingkan orang yang dijangkiti wabak di kawasan yang terkena wabak.

 

2. Bersabar. Rasulullah SAW bersabda:

 

“Wabak taun merupakan azab yang ditimpakan kepada siapa saja yang Dia kehendaki. Kemudian Dia jadikan rahmat kepada kaum mukminin. Tidaklah seorang hamba yang dijangkiti wabak lalu ia menetap dikampungnya dengan penuh kesabaran dan mengetahui bahawa tidak akan menimpanya kecuali apa yang Allah Subhanahu Wa Taala tetapkan, baginya pahala orang yang mati syahid.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Ahmad)

 

Tetaplah berbaik sangka kepada Allah dan berikhtiarlah (berusaha) menanganinya. Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah Allah SWT menurunkan sesuatu penyakit kecuali Dia juga yang menurunkan penawarnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

 

3. Solusi daripada Amru bin al-Ash iaitu menjaga jarak daripada khalayak dan menahan diri di rumah (social distancing) sehingga tempoh waktu tertentu yang disarankan pihak berkuasa.

 

4. Membaca doa.

 

بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat akan sesuatu yang di bumi dan yang dilangit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

 

رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ

 

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berdoa (Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat akan sesuatu yang di bumi dan yang di langit (selagi) bersama dengan Nama-Nya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga (3) kali, maka ia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika waktu subuh sebanyak tiga (3) kali, ia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ahmad)

 

Marilah bersama-sama kita ikuti solusi yang telah disarankan dalam sejarah Islam ketika menangani wabak penyakit. Moga situasi yang dihadapi kini akan segera berakhirnya dan kita semua kembali menjalani kehidupan seperti biasa sebagaimana sebelum hadirnya wabak ini, insya-Allah.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia