Visi anti-rasisme Malcolm X

Siapa tidak kenal dengan susuk Malcolm X, seorang aktivis pergerakan dan tokoh Muslim Amerika yang sangat harum namanya bersama kisah perjuangan yang dilaluinya.

 

Tepatnya pada 21 Februari 1965, beliau telah dibunuh di kota New York ketika berusia 39 tahun. Tragedi itu berlaku ketika beliau berpidato di hadapan anggota Organisasi Persatuan Afro-Amerika dalam Perhimpunan Persidangan di Dewan Audubon Harlem, Manhattan.

 

Dalam kejadian itu, tiga orang lelaki telah naik ke pentas dan menembaknya dari jarak dekat sebanyak 15 das tembakan. Jenazah Malcolm X telah dimakamkan di tanah perkuburan Ferncliff, Hartsdale, New York.

 

Setelah 56 tahun peristiwa itu, baru-baru ini keluarga Malcolm X meminta pembukaan semula kes siasatan terhadap pembunuhannya berdasarkan bukti baru. Sebagaimana dilaporkan BBC, anak-anak perempuan pemimpin gerakan hak kemanusiaan itu berkata: 

 

“Kami menuntut agar siasatan pembunuhannya dibuka semula berdasarkan bukti baru yang dikemukakan.”

 

Permohonan itu dibuat berdasarkan surat keterangan daripada seorang lelaki yang merupakan polis ketika pembunuhan 1965 yang mendakwa bahawa Jabatan Polis New York (NYPD) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bersekongkol dalam operasi tersebut.

 

“Raymond Wood menulis bahawa tanggungjawabnya adalah untuk menahan pasukan keselamatan Malcolm X beberapa hari sebelum beliau ditembak di Manhattan,” kata keluarganya.

 

Tiga lelaki didapati bersalah

 

Ketiga-tiga pembunuh tokoh itu telah dinyatakan bersalah pada Mac 1966 dan dijatuhi hukuman penjara. Seorang daripadanya telah meninggal dunia, sementara dua yang lain telah dibebaskan.

 

Pada ketika beliau ditembak mati, Malcolm X dilihat sebagai pejuang dalam gerakan Islam Nation of Islam (NOI) tetapi kemudian meninggalkan gerakan itu. Kredibiliti beliau semakin terserlah apabila berjaya menarik ahli baru menyertai gerakan tersebut.

 

Hinggakan, beliau mendapat pujian kerana menjadi pemangkin kepada peningkatan keahlian daripada 500 orang pada tahun 1952 menjadi hampir 30,000 pada sepuluh tahun kemudiannya iaitu pada tahun 1963.

 

Realitinya, kontroversi yang menyelubungi Malcolm menjadikan dirinya seperti magnet kepada pihak media dan seterunya, kerajaan pada waktu itu.

 

Islam di dalam penjara

 

Pada tahun 1946 ketika usianya 21 tahun, Malcolm merasai kehidupan pertamanya di penjara setelah dirinya disabit dengan tuduhan terlibat dalam rompakan.

 

Ketika di penjara, Malcolm kemudian berkenalan dengan Elijah Muhammad, tokoh Nation Of Islam (NOI) yang anggotanya dikenali sebagai ‘Muslim Kulit Hitam’. Organisasi ini menyokong nasionalisme kulit hitam dan mengecam pemisahan warganegara antara kaum.

 

Perkenalannya dengan Elijah Muhammad mempunyai pengaruh besar terhadap Malcolm yang kemudiannya memeluk Islam dan menukar nama belakangnya menjadi X. Kenapa begitu?

 

Beliau menggelar nama keluarganya sebagai Little yang menunjukkan bahawa dirinya adalah hamba bangsa kulit putih dan bahawa nenek moyang ayahnya terpaksa menggunakan nama itu.

 

Malcolm mengatakan huruf X di belakang namanya melambangkan identiti sebagai bangsa Afrika yang hilang secara paksa. Setelah menjalani hukuman enam tahun, Malcolm dibebaskan dan menjadi ahli setia NOI di New York.

 

Walaupun begitu, beliau sangat berbeza dengan tokoh hak sivil kulit hitam yang lain seperti Martin Luther King Jr. Malcolm mengalakkan orang kulit hitam untuk mempertahankan diri dan membebaskan seluruh negara Afrika-Amerika dengan apa jua keadaan.

 

Susuk yang disegani

 

Dengan kemahiran berpidato yang dimilikinya, Malcolm X sangat disegani dan dikagumi oleh masyarakat Afrika-Amerika bukan sahaja di New York tetapi di seluruh Amerika Syarikat. Hinggakan pada awal 1960-an, beliau mula mengembangkan falsafah yang lebih lantang daripada yang digunakan oleh Elijah Muhammad, mentornya ketika bersama di NOI.

 

Menurut Malcolm, Elijah dianggap tidak cukup untuk mendukung gerakan Afrika-Amerika apalagi untuk hak-hak sivil. Pada akhir 1963, Malcolm menyuarakan bahawa Presiden John F. Kennedy dibunuh kerana tindakan dan kata-katanya sendiri.

 

Kenyataan ini membuatkan Elijah Muhammad menilai bahawa Malcolm terlalu kuat dan lantang suaranya hingga membolehkannya mengeluarkan beliau daripada NOI pada bila-bila masa. Lebih-lebih lagi sebagai pemimpin NOI, Elijah Muhammad telah melarang pengikutnya untuk memberi komentar mengenai pembunuhan Kennedy.

 

Beberapa bulan kemudian, Malcolm secara rasmi meninggalkan organisasi itu dan diikuti dengan langkahnya untuk menunaikan haji ke Mekah. Di Tanah Suci, Malcolm kagum bagaimana umat Islam di seluruh dunia dapat bersatu tanpa dipengaruhi oleh perkauman.

 

Kembali daripada menunaikan ibadah haji, beliau menukar namanya menjadi Malik El-Shabazz seterusnya mengasaskan Pertubuhan Bersatu Afrika-Amerika pada bulan Jun 1964. Organisasi ini memperjuangkan identiti bangsa Afrika-Amerika dan menegaskan bahawa perkauman, bangsa kulit putih bukanlah musuh terbesar Afrika-Amerika.

 

Gerakan yang membawa ideologi baru ini segera mendapat banyak simpati dan falsafahnya yang lebih menyerlah dan secara langsung mempengaruhi gerakan untuk perjuangan hak-hak sivil. Falsafah yang dipromosikan oleh Malcolm X banyak pengaruh terutamanya kepada para pemimpin Jawatankuasa Penyelarasan Pelajar Anti Keganasan.

 

Rentetan pandangan rasis yang diajarkan oleh Elijah Muhammad membuatkan Malcolm kemudian menyedari bahawa perkara tersebut sebagai sebuah ajaran yang tidak Rahmatan Lil Alamin dan perkara tersebut jugalah yang membuatkan beliau keluar daripada NOI dan mendirikan Organization of Afro-American Unity pada 28 Jun 1964. 

 

Tuntutan siasatan

 

Pada tahun 2020, seorang peguam Manhattan County melancarkan tinjauan terhadap sabitan tersebut, setelah bertemu dengan wakil Innocence Project, sebuah kumpulan undang-undang yang memperjuangkan keadilan bagi individu yang dikatakan telah disabitkan secara salah.

 

Apa yang dituntut dalam surat Wood?

Surat tersebut menyatakan bahawa Jabatan Polis New York dan FBI menyembunyikan perincian pembunuhan 21 Februari 1965 di Dewan Audubon Harlem, Manhattan, menurut Wood dan peguamnya.

 

Wood mendakwa, beliau ditugaskan untuk memastikan Malcolm X tidak memiliki sistem keselamatan, kerana dia dijadualkan berpidato di hadapan khalayak.

 

Pada sidang media yang diadakan, ahli keluarga Wood tidak memberikan perincian mengenai bagaimana dan bila Raymond meninggal dunia. Tetapi mereka mengatakan dirinya tidak ingin menghebahkan pesanan itu setelah kematiannya kerana takut akan kesan daripada pihak berkuasa.

 

“Segala bukti yang memberikan gambaran yang lebih mendalam mengenai kebenaran di sebalik tragedi mengerikan ini mesti disiasat secara menyeluruh,” kata Elisa Shabazz, salah seorang anak perempuan Malcolm X.

 

Respons NYPD dan FBI?

 

“Beberapa bulan yang lalu, Peguam Negara Daerah Manhattan telah mula meneliti semula kes siasatan dan pendakwaan yang menghasilkan dua sabitan atas pembunuhan Malcolm X,” kata Jabatan Polis New York (NYPD) dalam satu kenyataan.

 

Sebagaimana kenyataan itu, NYPD telah memberikan semua rekod yang ada berkaitan dengan kes ini kepada Peguam Negara. Jabatan itu tetap komited untuk membantu penelitian semula tersebut dengan cara apa pun. Namun, FBI masih belum mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini.

 

Sangat ironi, Malcom X yang memperjuangkan nilai dan hak orang Afrika-Amerika dibunuh oleh kaumnya sendiri. Tidak ada yang tahu siapa punya angkara atau apakah sebab di sebalik kematiannya itu.

 

Walaupun begitu, impian Malcolm X untuk menyebarkan visi anti-rasisme dan nilai-nilai kemanusiaan yang diajarkan Islam telah tersebar dengan jayanya di Amerika dan dunia.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia