Akta Pembaharuan Bandar atau Urban Renewal Act (URA) diperkenalkan dengan tujuan yang pada asasnya baik iaitu untuk memodenkan kawasan bandar lama dan usang yang dianggap tidak lagi sesuai untuk didiami.
Dalam konteks Malaysia sebagai negara yang sedang membangun pesat, langkah seperti ini dilihat selari dengan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat serta menyediakan infrastruktur moden yang mampu menandingi keperluan semasa.
Namun, di sebalik niat murni tersebut, terdapat kebimbangan besar yang tidak boleh diketepikan, khususnya berkaitan dengan hak rakyat, keadilan sosial dan masa depan komuniti bandar yang terlibat.
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) tampil menyatakan pendirian yang jelas dalam isu ini, yang menegaskan bahawa pembangunan tidak boleh dijadikan alasan untuk mengorbankan komuniti asal, menafikan hak pemilik atau menyerahkan kuasa berlebihan kepada pemaju. Bagi IKRAM, pembaharuan bandar mesti berpaksikan rakyat, bersifat inklusif, telus dan adil.
Inilah garis pemisah penting yang ingin ditekankan iaitu sokongan terhadap pembaharuan tidak semestinya bermaksud menerima pelaksanaan tanpa pertimbangan mendalam terhadap kesan sosial dan perundangan.
Antara kebimbangan utama yang telah dikenal pasti adalah kewujudan undang-undang sedia ada dan ketidakjelasan bidang kuasa, pengurangan ambang persetujuan pemilik, dominasi pemaju dan konflik kepentingan, gentrifikasi dan kehilangan identiti komuniti serta defisit kepercayaan dan ketelusan proses.
Isu hak pemilik hartanah menimbulkan persoalan besar tentang keseimbangan antara kepentingan majoriti dan perlindungan hak minoriti. Dalam draf URA, ambang persetujuan diturunkan kepada 80 peratus [1]. Hal ini bermakna pemilik minoriti berisiko dinafikan hak mereka walaupun Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas melindungi hak ke atas harta.
Bagi masyarakat yang telah lama menetap di sesuatu kawasan, tanah atau kediaman yang dimiliki bukan hanya bernilai sebagai aset ekonomi, tetapi turut menjadi lambang warisan keluarga serta saksi sejarah yang membentuk identiti komuniti. Jika suara minoriti boleh diketepikan begitu sahaja, maka jelas wujud persoalan keadilan yang serius.
Dominasi pemaju turut menjadi kebimbangan besar. Dalam pelaksanaan URA, pemaju diberi keutamaan termasuk dalam soal insentif dan kuasa perundingan. Hal ini menimbulkan persepsi bahawa pembangunan lebih condong kepada keuntungan korporat berbanding kesejahteraan rakyat.
Banyak projek pembangunan telah membuktikan kegagalan dalam mengambil kira keperluan sebenar komuniti setempat. Antara manifestasinya ialah penyediaan rumah dengan kos penyelenggaraan yang mampu milik, ketiadaan fasiliti asas yang memadai, pengusiran secara tidak langsung penduduk asal tanpa pampasan yang adil serta perubahan drastik terhadap ekosistem bandar yang akhirnya menjejaskan kelestarian alam sekitar.
Kealpaan perancang bandar juga terserlah apabila aspek penting seperti sekolah dan institusi pendidikan tidak disediakan selari dengan kepesatan pembangunan kawasan. Dalam pada itu, jalan raya dibina hanya untuk menampung kepesatan pembangunan tanpa mempertimbangkan keselamatan, kesesakan lalu lintas dan kesejahteraan penduduk.
Kawasan lapang dan padang yang selama ini menjadi nadi interaksi sosial masyarakat serta ruang rekreasi kanak-kanak turut dikorbankan demi memberi laluan kepada projek pembinaan apartmen mewah. Semua perkara ini mengurangkan kualiti hidup masyarakat.
Pengalaman di banyak negara lain menunjukkan bahawa apabila pemaju terlalu dominan, kesan sampingan seperti kenaikan kos sara hidup, peminggiran penduduk asal dan ketidakseimbangan akses terhadap kemudahan awam pasti berlaku.
Di sinilah juga timbul fenomena yang digelar gentrifikasi iaitu apabila pembangunan semula memaksa komuniti asal berundur kerana tidak mampu menanggung kos baharu, sementara kawasan itu diduduki oleh golongan berpendapatan lebih tinggi.
Gentrifikasi bukan sahaja mengubah demografi, malah memutuskan jaringan sosial yang telah lama wujud. Nilai sentimental, budaya setempat dan warisan sejarah mudah terhapus atas nama kemodenan. Akhirnya, pembangunan yang sepatutnya memakmurkan rakyat bertukar menjadi instrumen pengasingan kelas.
Selain itu, terdapat masalah besar berkaitan kepercayaan masyarakat. URA belum menunjukkan mekanisme pemantauan bebas dan data terbuka yang boleh meyakinkan orang ramai bahawa ia akan dilaksanakan dengan integriti.
Defisit kepercayaan ini semakin membarah dalam kalangan rakyat, apatah lagi selepas banyak kes rasuah dan salah guna kuasa yang pernah berlaku dalam projek mega terdahulu. Tanpa ketelusan yang menyeluruh, rakyat tidak akan yakin, malah mereka akan melihat URA sebagai alat untuk kepentingan pihak tertentu, bukannya demi kesejahteraan semua.
Pembangunan semula Perumahan Awam Razak Mansion menjadi contoh penting tentang cabaran menyeimbangkan kemajuan fizikal dengan kesejahteraan komuniti. Dari segi positif, projek ini berjaya menyediakan unit kediaman yang lebih moden, luas, selesa dan selamat.
Namun, di sebalik peningkatan kualiti fizikal dan sosioekonomi tersebut, kesan negatif turut ketara. Hubungan kejiranan yang telah terbina sekian lama musnah apabila sebahagian jiran lama tidak kembali, sementara sokongan sosial yang menjadi nadi komuniti hilang digantikan dengan suasana yang lebih individualistik.
Sebahagian keluarga berpendapatan rendah terbeban dengan kos penyelenggaraan bulanan yang lebih tinggi sehingga ada yang terpaksa berpindah keluar. Dalam masa yang sama, warga emas yang sebelum ini bergantung pada sokongan sosial kejiranan berasa terasing kerana kehilangan jaringan komuniti yang pernah mereka nikmati.
Kes Razak Mansion membuktikan bahawa pembangunan semula tidak boleh hanya diukur dengan kemodenan fizikal atau nilai pasaran semata-mata.
Lebih penting ialah memastikan keseimbangan antara pembangunan infrastruktur dengan pemeliharaan jaringan sosial, budaya setempat dan identiti komuniti. Tanpa keadilan sosial sebagai tunjang, aspirasi pembangunan berisiko mudah bertukar menjadi instrumen pengasingan kelas dan peminggiran komuniti asal di tanah mereka sendiri [2].
Menyedari semua ini, IKRAM mengemukakan beberapa cadangan strategik yang dilihat lebih realistik dan adil.
Pertama, URA wajar ditangguhkan sehingga satu kajian impak sosial dan perundangan yang holistik dijalankan oleh sebuah Jawatankuasa Penilaian Khas. Kajian ini mesti bersifat bebas, inklusif dan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk pemilik, NGO, komuniti setempat dan badan profesional.
Kedua, mekanisme rundingan komuniti yang telus mesti diwujudkan. Penduduk yang terkesan berhak bersuara dan suara itu perlu diberi nilai undang-undang, bukan sekadar formaliti dalam proses kelulusan.
Cadangan seterusnya ialah memperkukuh peranan agensi kerajaan seperti Urban Development Authority (UDA). Agensi ini seharusnya bertindak sebagai badan pelaksana utama URA untuk memastikan kepentingan awam dan komersial seimbang.
IKRAM turut mencadangkan dasar perlindungan komuniti asal melalui prinsip one-to-one replacement serta pampasan yang bukan sahaja setara dari segi nilai pasaran, tetapi juga mengambil kira nilai sentimental yang tidak boleh diukur dengan wang. Penempatan semula pula mesti memberi keutamaan kepada penduduk asal, agar mereka tidak menjadi pelarian pembangunan di tanah sendiri.
Alternatif lain yang dikemukakan IKRAM ialah menggalakkan penyelenggaraan dan pemulihan bangunan sedia ada. Dengan insentif cukai, geran dan pembiayaan mudah, banyak bangunan lama boleh dipulihkan tanpa perlu dirobohkan sepenuhnya.
Pendekatan ini bukan sahaja lebih mesra alam, malah mengekalkan identiti komuniti setempat. Dalam masa yang sama, ketelusan maklumat mesti dijamin. Setiap data impak projek URA perlu disiarkan secara berkala, disemak melalui audit terbuka dan disalurkan kepada masyarakat umum.
Akhir sekali, pemilik perlu diberi jaminan kewangan yang jelas. Setiap kos tambahan, bayaran penyelenggaraan dan implikasi kewangan lain perlu dijelaskan sejak awal. Tanpa jaminan ini, URA hanya akan menambah beban kepada pemilik yang kebanyakannya bukan golongan berada.
Kesemua cadangan ini bukanlah satu penolakan terhadap aspirasi pembangunan. Sebaliknya, ia menegaskan bahawa pembangunan hanya akan berjaya jika berpaksikan manusia, bukan semata-mata bangunan dan angka.
Hasrat membangunkan bandar lama adalah wajar, tetapi ia tidak boleh dilakukan tanpa kajian impak dan libat urus rakyat. IKRAM berkongsi kebimbangan mengenai hak pemilik dan risiko gentrifikasi, tetapi tidak menolak dasar ini secara total. Sebaliknya, IKRAM mencadangkan jalan penyelesaian yang lebih inklusif, telus dan adil.
Pembaharuan bandar boleh menjadi realiti, tetapi hanya jika prinsip keadilan sosial dijadikan tunjang. Naratif ini penting agar isu URA tidak dilihat sekadar sebagai pertembungan politik, tetapi sebagai persoalan dasar yang menyentuh kehidupan rakyat kebanyakan.
Dalam Islam sendiri, prinsip keadilan amat dititikberatkan. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 188 memberi peringatan agar manusia tidak memakan harta orang lain dengan jalan yang salah seperti berikut:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
Ayat ini menjadi peringatan bahawa pembangunan ekonomi dan fizikal tidak boleh menghalalkan pencabulan hak. Kejayaan sebenar bukanlah apabila bangunan pencakar langit bertambah, tetapi apabila rakyat jelata merasai keamanan, keadilan dan kesejahteraan hidup.
Akta Pembaharuan Bandar hanya akan menjadi alat pembangunan yang adil dan lestari jika ia dilaksanakan dengan penuh ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan sosial. Tanpa itu, URA berisiko menjadi punca ketidakpuasan hati rakyat, konflik komuniti dan peminggiran sosial.
Pembangunan tidak boleh diukur dengan berapa banyak bangunan baru yang didirikan, tetapi sejauh mana rakyat berasa dihormati, dilindungi dan diberdayakan. Inilah mesej yang cuba disampaikan.
Malaysia hanya akan mencapai kemajuan sebenar apabila pembangunan fizikal bergerak seiring dengan pembangunan insan iaitu apabila kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi pusat pertimbangan.
Hj. Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Rujukan:
[1] Ambang persetujuan URA dinaikkan 80 peratus, hak pemilik kekal terjamin – Kor Ming
[2] Ahmad Bustamam, A. F., Abdul Manaf, A., & Abdul Wahab, N. A. (2024). Impak pembangunan semula perumahan awam terhadap kualiti hidup penduduk di perumahan awam Razak Mansion, Kuala Lumpur. Geografia – Malaysian Journal of Society and Space, 20(3), 185–204. https://doi.org/10.17576/geo-2024-2003-12