Undi18: SPR, jangan kecewakan anak muda

Walaupun negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bahang kehangatan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mungkin akan berlaku pada tahun ini sudah tidak dapat dielakkan lagi.

 

Sesetengah parti politik menangguhkan pemilihan, sesetengah gabungan parti sudah mula menggerakkan jentera di kawasan masing-masing, pemimpin-pemimpin parti mula turun padang dan kerusi-kerusi untuk bertanding ada yang sudah dibahagi-bahagikan. Tidak kurang juga ada yang sibuk bertelagah sesama sendiri atau sesama gabungan parti, mungkin mencari keserasian dalam berpasukan untuk menghadapi PRU15.

 

Namun begitu, berbeza pula dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), apabila Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh mengatakan bahawa pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi18) dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September 2022. Ia berbeza dengan jaminan sebelumnya bahawa Undi18 boleh dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021. Eh, ini mimpi apa pula?

 

Ini benar-benar antiklimaks. Banyak pihak seperti menteri, ahli parlimen, parti-parti politik, pertubuhan masyarakat madani dan badan belia menyatakan kekecewaan dengan kenyataan ini dan mendesak supaya SPR perlu pantas dan proaktif serta menjelaskan perkembangan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 seperti yang telah dijadualkan.

 

Undi18 bukan isu matang atau belum, tetapi ia soal pengiktirafan kepada anak muda untuk memilih siapa dan parti mana yang berhak untuk memimpin, mentadbir urus negeri dan negara bagi memacu kemakmuran bersama. Jadi, SPR sewajarnya tidak berdolak-dalik dengan alasan PKP dan Covid-19 untuk menangguhkan pelaksanaannya.

 

Berdasarkan rekod terkini SPR, jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas ialah seramai 5.6 juta orang dan 1.2 juta daripadanya berusia antara 18 hingga 20 tahun. Andai PRU15 berlaku seawalnya pada September ini, sudah pasti anak-anak muda ini tidak berpeluang menjadi pemilih dan mengundi serta terpaksa menunggu empat hingga lima tahun lagi dalam PRU seterusnya.

 

Tempoh dua tahun untuk melaksanakan Undi18 selepas diluluskan di parlimen pada Julai 2019 bukanlah satu tempoh yang singkat. Dalam tempoh ini sewajarnya sudah ada perkembangan positif dalam pelaksanaan Undi18 sekurang-kurangnya 50 hingga 70 peratus, dan pada Julai 2021 sepatutnya sudah mencapai 100 peratus.

 

Jika tidak dapat mencapai 100 peratus pelaksanaan sekalipun pada Julai 2021 nanti, eloklah disertakan sebab-sebab munasabah yang terperinci mengapa ia tidak dapat dicapai. Ini tidak, awal-awal lagi sudah ‘angkat tangan’ walaupun masih ada baki beberapa bulan lagi.

 

Apa yang penting adalah ketelusan SPR dalam memberikan penjelasan yang memuaskan. Kita tidak mahu dengar desas-desus bahawa SPR mungkin dibayangi dengan agenda parti politik tertentu yang bimbang dengan kuasa undi anak muda yang mungkin akan menolak mereka pada PRU15 nanti.

 

Jika benar dakwaan ini, ia pastinya mengecewakan kerana ia memberi tanda bahawa suruhanjaya ini tidak bebas dan masih dikongkong dengan ‘tangan ghaib’ yang mungkin takut kehilangan kuasa.

 

Pelaksanaan Undi18 ini adalah simbol kematangan perjalanan demokrasi negara, jangan lengahkannya. Ayuh, benda sudah lulus, SPR jalan terus!

 

Minda Editor

[supsystic-social-sharing id='1']

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia