Ulama yang tidak sanggup menjual kitab-kitabnya

Selalu kita dengarkan kisah-kisah para ulama yang terpaksa menjual kitab-kitab kesayangan mereka semasa hidup kerana kesempitan wang dan faktor kemiskinan seperti Syeikh Abul Hasan Ali bin Muhammad bin Tsabit al-Khaulani.

 

Sering juga kita disajikan kisah ulama yang sanggup menjual pakaian sendiri hanya kerana hendak membeli sebuah kitab seperti kisah seorang ulama di Aleppo, Ahmad bin al-Hajjar.

 

Untuk pengetahuan umum juga, terdapat kisah sebahagian ulama lain  pula yang tidak rela menjual kitab-kitab kepunyaan milik sendiri sepanjang dalam sejarah Islam yang pernah direkodkan.

 

Antara salah seorang daripada kisah alim ulama tersebut ialah Ibrahim bin Ishaq al-Harbi. Kisah beliau dinukilkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam kitabnya berjudul Tarikh Baghdad.

 

Ibrahim al-Harbi dilahirkan pada tahun 198H dan wafat pada 285H di Baghdad. Beliau merupakan ahli hadis dan ulama tersohor yang cukup dikenali di kota Baghdad. Disebutkan dalam Mukhtasar Siyar A’lam an-Nubala:

 

“Mas’udi berkata, “Al-Harbi, ahli hadis dan fikah, wafat di sebelah Barat, wafat dalam usia 80 sekian tahun. Ia perawi yang dipercayai, fasih, mulia, menjaga diri, zuhud, ahli ibadah, berkeperibadian baik, tidak sombong dan congkak, dan kadang bercanda bersama teman-temannya dengan sesuatu yang menurutnya baik namun tidak bagi orang lain. Ia adalah guru penduduk Baghdad pada masanya, susuk yang cerdas, zuhud, ahli ibadah dan sandaran mereka dalam bidang hadis.”

 

Ibrahim al-Harbi sudah berumah tangga, mempunyai isteri dan dua orang anak perempuan. Kehidupan mereka sangatlah papa kedana dan setiap hari hanya berlaukkan sekeping roti kering dan kurma, kadang-kadang langsung tidak menjamah apa-apa makanan! 

 

Ibrahim al-Harbi merupakan bapa yang bertanggungjawab. Beliau juga rajin membaca dan menulis sehingga melahirkan karya hasil tulisan tangannya.

 

Tibalah suatu hari ketika keperitan dan kesusahan datang menjengah keluarga kecil Ibrahim al-Harbi. Isterinya berkata:

 

“Anggaplah aku dan dirimu boleh bersabar, akan tetapi bagaimana dengan kedua-dua anak perempuan kita? Ambillah sedikit kitabmu untuk kita jual atau kita gadaikan.”

 

Aku sebenarnya merasa berat akan hal itu tetapi kemudian aku berkata kepadanya, “Berhutanglah sesuatu untuk kedua-dua anak kita dan berilah aku waktu selama sehari semalam.”

 

Isterinya menyarankan suaminya Ibrahim menjual atau menggadaikan sebahagian kitabnya bagi mengisi kekosongan perut anak-anak yang sedang kelaparan. Namun, Ibrahim berat hati kerana kitab-kitab itu sudah dianggap seperti nyawanya.

 

Mustahil beliau cuba melepaskan harta benda paling dicintainya. Kitab-kitab itu adalah bukti kerja kerasnya dalam menuntut ilmu. Ibrahim lantas meminta kepada isterinya berhutang buat sementara waktu daripada memilih kitab-kitabnya untuk dijual.

 

Pada malam itu, datang seseorang membawa makanan dan wang. Ibrahim tidak mengetahui siapakah gerangan orang tersebut. Usai lampu dinyalakan, ternyata ada 50 bungkus isi bermacam makanan dan wang 1,000 dinar ditinggalkan.

 

Isterinya tidak sempat berhutang malahan dapat melunaskan seluruh hutang-hutang yang tertunggak sebelumnya. Kitab-kitab beliau pun masih terjaga dan selamat daripada dilepaskan kepada orang lain.

 

Ketika Ibrahim al-Harbi dilanda sakit yang parah, beliau sempat berpesan kepada puterinya yang bimbang akan kemiskinan yang menimpa mereka sekeluarga. Kata Ibrahim al-Harbi:

 

“Wahai anak perempuanku apakah engkau sungguh-sungguh khuatir miskin?” Dia menjawab, “Ya.” 

 

Ibrahim berkata, “Lihatlah di hujung sana.” Anak perempuannya lalu melihat ke sana ternyata di sana ada kitab-kitab. 

 

Ibrahim lalu berkata, “Di sana ada dua belas ribu jilid tentang bahasa dan yang unik. Aku menulis dengan tulisan tanganku sendiri. Apabila aku mati, maka juallah satu jilid setiap hari dengan harga satu dirham. Orang yang memiliki dua belas ribu dirham maka dia bukanlah orang miskin.”

 

Kitab ialah sebahagian daripada nadi kehidupan. Dengannya, ia merawat luka-luka yang parah menjadi sembuh sediakala. Ibrahim al-Harbi tidak tega menyaksikan kitab-kitab yang beliau kumpul dijual dalam keadaan dia masih lagi bernafas, hanya akan merelakannya setelah hari kewafatannya.

 

Jarang kita jumpai kisah-kisah ulama sebegini kerana nama mereka sendiri tidaklah masyhur. Namun, apabila kita menyelak kitab-kitab rujukan ulama dan para cendekiawan yang lain,kita dapati bahawa kisah ulama Ibrahim al-Harbi ada terpahat dan menitipkan ibrah yang sangat mengesankan, antaranya:

 

1. Tiada harta benda lagi penting berbanding kitab.

Kita lihat sendiri sikap Ibrahim al-Harbi tatkala tiada pilihan lain melainkan meminta isterinya berhutang berbanding menjual kitab-kitabnya. Buku ataupun kitab adalah harta paling berharga di sisi para ulama. Ulama akan sepi dan suram  tanpa ada buku yang telaah pada setiap hari. Bagaimana dengan kita?

 

2. Ulama menjaga pemakanan.

Selain daripada miskin disebabkan kekangan bagi mendapatkan makanan yang lazat, majoriti para ulama amat menjaga sesuatu yang masuk ke dalam perut. Mereka sangat memelihara makan dan minum kerana bimbang akan mengurangkan kualiti ibadah jika terlalu kenyang lalu melemahkan hafalan.

 

3. Tidak mudah melepaskan ‘ilmu’.

Menjual kitab yang dipunya seolah-olah seperti melepaskan ilmu. Kitab ataupun buku mengandungi samudera ilmu yang luas, dibanjiri hikmah dan petunjuk bagi sesiapa yang membaca tanpa meninggalkannya.

 

Mungkin, segelintir pembaca ada yang terbiasa melepaskan buku-buku yang pernah dibeli. Alasannya, sudah jemu, telah habis dibaca dan hendak membeli buku baharu dengan cara menjualnya pada harga yang murah ataupun kita gelarkan ia sebagai buku prelove.

 

Ada pula yang menjualnya disebabkan ketiadaan wang dan sebagainya. Walau bagaimanapun, bukan dalam kisah Ibrahim al-Harbi.

 

Cinta ulama kepada ilmu tidak mampu kita bayangkan betapa tinggi kasih sayang kepada makhluk yang bernama kitab.

 

Barangkali kita boleh belajar mempertahankan kitab ataupun buku yang kita miliki seperti kisah Ibrahim al-Harbi. Pun begitu, anda tentulah mempunyai alasan masing-masing sekiranya suatu hari nanti anda memutuskan untuk menyerahkan buku-buku kesayangan anda kepada pemilik yang lain.

 

Namun, jangan sampai di pengakhiran jalan membuahkan kekesalan ya. Ayuh! tambahkan koleksi bacaan buku pelbagai genre di rumah. Semoga kita mampu membina madrasah kecil ataupun perpustakaan peribadi di rumah sebagaimana saranan Syeikh Shalih al-Munajjid hafizahullah.

 

Rujukan:

  • Lihat kisah penuh Ibrahim al-Harbi dalam Kisah-kisah Ulama dalam Menuntut Ilmu, hal. 163-168 (edisi terjemahan). Penerbit: Pustaka Al-Kautsar. Cetakan Pertama Oktober 2016. Penulis: Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah.
  • Biografi Ibrahim al-Harbi dalam Ringkasan Siyar A’lam An-Nubala, hal. 208-210, jilid 3. Penerbit Pustaka Azzam. Penulis: Imam Adz-Dzahabi.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia