Ubat PrEP Tangani HIV/AIDS: Fatwa Perlis Disambut Baik

Ubat PrEP Tangani HIV/AIDS: Fatwa Perlis Disambut Baik | IKRAM

1. Kami merujuk kepada fatwa Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-63/ 2023 23-24 Julai 2023/ 5-6 Muharram 1445 yang disiarkan kepada umum pada 16 November 2023 berkenaan hukum pemberian ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP) kepada golongan yang berisiko. 

Kami menyambut baik kenyataan daripada fatwa ini. Sedikit sebanyak fatwa ini memberi ketenangan serta pengiktirafan kepada para petugas perubatan Muslim yang berada dalam bidang perawatan mahupun pencegahan HIV/ AIDS di Malaysia di saat kami berhadapan dengan kes-kes yang begitu kompleks.

2. Kami percaya keputusan fatwa ini hadir di saat belum ada mana-mana institusi fatwa di seluruh dunia yang mewartakan dengan jelas satu keputusan berkenaan pemberian PrEP kepada golongan berisiko.

Fatwa ini dengan jelas menunjukkan kefahaman sudut pandang pihak pemerintah dan juga petugas kesihatan. Kami pasti akan ada ruang pembaikan dengan bertambahnya kefahaman, perbincangan dan diskusi berterusan di antara semua pihak.

3. Sebagai petugas perubatan Muslim, kami memahami dengan jelas sudut pandang agama dan hukum yang mengharamkan perbuatan zina dan homoseksual.

Namun, pengalaman kami menyantuni golongan remaja dan dewasa yang terlibat dengan pornografi dan ketagihan seksual, dan golongan terpencil seperti pekerja seks dan penagih dadah misalnya, mendorong kami untuk memahami bahawa isu ini begitu kompleks. 

Mereka terlibat kerana seribu satu faktor; antaranya seperti pengalaman zaman kanak-kanak yang buruk (Adverse Childhood Experience – ACE), penderaan sama ada fizikal, emosi mahupun seksual, pencabulan, amang seksual dan lain-lain. 

Antara faktor penyumbang ACE adalah pengabaian (neglect) di saat ibu bapa sibuk mencari rezeki, kemiskinan yang menghimpit, perceraian ibu bapa, keluarga yang tidak berfungsi dan lain-lain yang mengganggu perkembangan sosio-emosi dan akhirnya membuatkan mereka terjebak dan sukar untuk keluar dari permasalahan ini. 

Ada dalam kalangan mereka yang terjebak kerana kepompong kemiskinan kehidupan dan persekitaran.

4. Di sini kami ingin menekankan bahawa isu ketagihan ini memerlukan kefahaman dan ruang perbincangan dengan sebilangan pakar dalam bidang ketagihan (addiction specialist), pakar psikologi, pakar psikiatri dan lainnya. Ketagihan pornografi dan dadah misalnya adalah kerana terjejasnya fungsi mekanisme dopamin dan korteks prafrontal di dalam otak.

5. Di sana pastinya ada juga spektrum masyarakat yang terjebak lantaran naluri ingin tahu, pengaruh rakan sebaya dan pegangan agama yang lemah. Namun kami percaya keluasan rahmah Tuhan, dan sikap ihsan petugas kesihatan yang terus mendidik, mereka akan kembali semula ke jalan yang benar.

Etika dan amalan perubatan berdasarkan bukti-bukti (evidence-based medicine) yang mengikut kajian saintifik terkini menjadi landasan amalan pemberian PrEP di Malaysia. 

Dan pastinya tugas petugas kesihatan adalah membantu kesemua mereka dengan rahmah dan tanpa prejudis. Petugas kesihatan juga merawat semua golongan dan lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama. 

Pemberian PrEP juga boleh menjadi medium perantara untuk advokasi kesihatan menyeluruh dan mendidik.

Tuntasnya, pemberian PrEP tidak diberikan secara sembereno melainkan dengan saringan, pemantauan dan temujanji susulan tanpa melupakan seruan pencegahan yang lain (A – Abstinence, B – Be Faithful, C – Condom, D – Drug).

Di sini kami ingin menekankan keperluan untuk menambah lebih ramai pakar dan petugas perubatan Muslim dalam bidang ini untuk memberikan perkhidmatan rawatan yang holistik.

6. Kami turut tertarik untuk mengulas poin 6 fatwa yang diwartakan dari sudut kaca mata kami sebagai petugas kesihatan.

Melalui pengamatan kami sebagai petugas perubatan, kami dapati tidak semua pasangan yang kami temui memilih perceraian sebagai jalan keluar meskipun mengetahui pasangannya merupakan sama ada lesbian, gay atau biseksual mahupun yang sudah dijangkiti HIV/ AIDS. 

Kini HIV/ AIDS sudah boleh dirawat dan kita berada di era U=U (undetected = untransmitted). Ini bermakna mereka yang sudah mendapat rawatan dan paras virus mereka sudah tidak dikesan, mereka boleh menjalani kehidupan yang normal sama seperti individu lain.

Hatta, mereka tidak perlu memakai kondom atau melakukan sperm washing untuk tujuan memiliki zuriat. Dengan rawatan yang baik, mereka boleh hidup seperti individu normal yang lain.

7. Tentunya isteri atau suami mempunyai hak untuk memilih perceraian di saat mengetahui pasangan mempunyai kecenderungan yang songsang. Namun di sana ada para isteri dan suami yang bersabar dan rahmah, yang memilih untuk terus bersama kerana banyak faktor.

Isu ini bukan hanya melibatkan pasangan suami dan isteri semata-mata namun seluruh ahli keluarga termasuk anak-anak. Perceraian pastinya menjejaskan perkembangan psikologi anak-anak. Kami ingin menekankan di sini bahawa pasangan yang bertaubat dan berusaha untuk keluar daripada permasalahan ini perlu dibantu.

8. Kami turut mendapati terdapat ramai individu yang membantu penjagaan pasangan saat pasangan di fasa AIDS, bersama menemani untuk menerima bantuan psikologi dan lainnya. Ini adalah pilihan yang dibuat oleh individu tersebut dengan mengambil kira pelbagai faktor.

Kesabaran dan pengorbanan individu tersebut dengan kefahaman yang jelas mengambil kira ruang dan peluang berusaha menyelamatkan institusi keluarga yang dibina, memiliki harapan bahawa pasangan akan berubah, sangat membantu proses perawatan dan ini harus juga diraikan.

Kami juga berjumpa dengan ramai individu yang memilih untuk berumah tangga dengan pasangan yang dijangkiti HIV yang sudah stabil dan mendapat rawatan.

9. Dengan ini, kami ulangi bahawa kami percaya setiap insan perlu diberi peluang kedua untuk menjalani kehidupan baru dan setiap dari kita berperanan untuk membantu mereka.

Kami percaya setiap hela nafas pesakit-pesakit kami adalah ruang dan peluang untuk mereka pulang ke jalan Tuhan. 

Melalui pengalaman kami mengendalikan kes-kes ini, melakukan kaunseling praperkahwinan, memberikan rawatan susulan selepas perkahwinan sehingga kehamilan dan seterusnya, serta wujudnya perkembangan pesat ilmu perubatan dalam bidang HIV/ AIDS, pastinya fatwa yang segar, progresif dan kontemporari seperti ini diperlukan dalam menjawab permasalahan ummah yang kompleks ini.

9. Akhir sekali, kami percaya semua pihak perlu memainkan peranan dalam mendepani isu ini. Dengan pandangan yang sederhana, kami percaya penyelesaian untuk mencegah penularan HIV/ AIDS seharusnya bersifat sistematik dan holistik, iaitu:

a. Bekerjasama dengan semua badan dan institusi agama untuk pendidikan secara berterusan.

b. Ketegasan dan pemerkasaan undang-undang di sektor digital untuk mengawal aplikasi dan kandungan digital yang tidak sesuai.

c. Pemerkasaan kementerian wanita dan keluarga dalam memberdayakan keluarga demi pendidikan dan perlindungan anak-anak.

d. Pemberdayaan figura ibu bapa dalam setiap keluarga.

e. Pemerkasaan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, dan setiap agensi pendidikan di negara ini tentang pendidikan dan kesihatan seksual, dan memastikan setiap institusi mereka menjadi tempat yang selamat untuk anak-anak generasi kini dan seterusnya.

f. Pemerkasaan sektor kesihatan untuk terus memberi perawatan dan pencegahan HIV yang menyeluruh. Ini juga dapat direalisasikan dengan sokongan semua lapisan kakitangan kesihatan, sikap toleransi dan saling memahami pandangan dan perspektif mereka yang secara langsung terlibat dalam perawatan dan pencegahan HIV/AIDS.

Sekali lagi, kami percaya sinergi antara institusi agama dan profesional diperlukan untuk merungkai permasalahan ummah yang semakin kompleks. 

Sesungguhnya, HIV / AIDS adalah satu relung kemanusiaan yang wajar kita hayati dan peduli dalam usaha kita untuk terus mendidik dan membantu ummah.

 

Dr Ummu Afeera Zainulabid (Pakar Perubatan & Felo Penyakit Berjangkit, Aktivis Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia)

Dr Sazali Basri (Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit & PrEP Prescriber PPUM)

Dr Ahmad Faidhi Mohd Zaini (Koordinator Fiqh Perubatan, Aktivis Islamic Medical Association Malaysia – IMAM) 

Puan Hjh Azlina Roszy Mohamad Ghaffar (Pakar Psikologi Klinikal, Aktivis Psikospiritual IKRAM)

Dr Nadzirah Ahmad Basri (Pakar Psikologi Klinikal, Aktivis Psikospiritual IKRAM)

Dr Bisha Fathamah Uzir (Pensyarah, Aktivis Malaysian Against Pornography)

Dr Fatimah Ahmad Fauzi (Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pengerusi Malaysian Against Pornography)

Dr Ahmad Ramdan Zainordin (Pegawai Perubatan, PrEP Prescriber U.N.I Klinik, Aktivis Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia)

Dr Aiza Nur Izdihar Zainal Abidin (Pakar Perubatan Keluarga, Aktivis Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia)

Dr Zaitul Akmal Abdullah Zawawi (Pakar Perubatan Keluarga, Aktivis Islamic Medical Association Malaysia – IMAM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia