إِنَّا لِلّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Pertengahan 1950-an.
Seorang doktor wanita muda, anak kelahiran Klang yang membesar di bandar, tiba di Kedah untuk memulakan khidmatnya. Di kampung-kampung sekitarnya, ramai yang lebih takut kepada hospital daripada penyakit itu sendiri.
Doktor muda itu tidak menunggu mereka datang. Dia yang pergi kepada mereka.
Tujuh dekad kemudian, pada 28 September 2026, doktor itu pergi buat selama-lamanya. Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali kembali ke rahmatullah dalam usia 100 tahun.
Sejak berita pemergiannya tersebar, ramai yang mengenang beliau sebagai isteri negarawan, “Ibu Negara”, ibu dan nenek yang penuh kasih sayang.
Semuanya benar. Namun bagi kami warga kesihatan, ada satu lagi wajah yang ingin kami kenang: Seorang doktor perubatan dan kesihatan yang percaya bahawa kesihatan yang baik ialah hak setiap orang, termasuk mereka yang tinggal paling jauh dari hospital.
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) merakamkan ucapan takziah kepada YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga.
Doktor wanita perintis
Almarhumah dilahirkan di Kampung Jawa, Klang pada 12 Julai 1926. Pada tahun 1947, beliau mendaftar di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura, dan merupakan satu-satunya pelajar perempuan Melayu dalam kumpulannya. Selepas bergraduasi pada tahun 1955, beliau menjadi antara wanita Melayu terawal dalam profesion perubatan.
Beliau sering mengenang ayahandanya, yang mendidik sepuluh anaknya sama rata, lelaki dan perempuan. Kata ayahnya:
“Kalau saya didik anak lelaki, dia hanya mendidik dirinya sendiri.
Tetapi kalau saya didik anak perempuan, dia akan mendidik seluruh negara.”
Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai perubatan siswazah di Hospital Kuala Lumpur, sebelum berpindah ke Hospital Alor Setar pada tahun 1956.
Pada tahun 1965, beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai pegawai perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak, dan turut mengetuai Sekolah Latihan Kesihatan Luar Bandar di Jitra.
Beliau memperoleh diploma kesihatan awam dari University of Michigan pada tahun 1966, dan pada tahun 1974 menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak Negeri Kedah.
Bukan seorang pesakit, tetapi seluruh masyarakat
Di Kedah, Almarhumah melihat sendiri cabaran kesihatan masyarakat luar bandar: penjagaan kehamilan dan kelahiran yang tidak mencukupi, kemiskinan, pantang larang dan pengetahuan kesihatan yang terhad. Penyakit seperti batuk kering, polio, batuk kokol, difteria dan tetanus masih meragut nyawa kanak-kanak.
Dalam satu temu bual bersama BFM, beliau mengimbau bagaimana doktor ketika itu sering memarahi pesakit yang datang lambat:
Doktor: “Kenapa datang lambat sangat?”
Jawapan: “Kalau pergi hospital, nanti mati.”
Bagi masyarakat kampung ketika itu, hospital ialah tempat orang pergi untuk mati. Mereka hanya datang apabila keadaan sudah terlalu teruk, dan apabila mereka tiba terlalu lewat, ketakutan itu seolah-olah terbukti benar. Katanya:
“Jadi sebagai perintis, saya fikir inilah masanya untuk saya menyedarkan mereka bahawa kesihatan yang baik adalah hak milik mereka.”
Bersama pasukannya, beliau turun ke kampung-kampung untuk memberi rawatan, imunisasi dan pendidikan kesihatan, termasuk pemakanan, pembasmian malaria dan penjagaan kehamilan berisiko tinggi. Beliau juga memastikan bidan kampung mendapat latihan sewajarnya supaya ibu dan bayi menerima penjagaan yang lebih selamat.
Usaha ini dikaitkan dengan penurunan ketara kadar kematian bayi, sehingga beliau diundang berkongsi pengalaman kesihatan awam Malaysia di Washington. Mengenang tempoh itu, beliau berkata, beliau meninggalkan Kedah dengan rasa puas kerana rakyat telah menerima program kesihatan kerajaan dan mendapat manfaat daripadanya.
Pada Tun Dr. Siti Hasmah, kami melihat contoh terbaik erti kesihatan awam. Pada zaman ketika masyarakat belum memahami apa itu kesihatan, beliau bukan sekadar merawat penyakit, tetapi mengubah cara masyarakat memandang kesihatan.
Hari ini, cabarannya sudah berubah, tetapi kerja itu masih belum selesai. Kami yang berada dalam bidang perubatan dan kesihatan masih meneruskannya, mendidik masyarakat dan memperjuangkan dasar yang lebih sihat. Jalan yang dirintis beliau masih kami lalui.
Buat warga kesihatan, khususnya doktor muda, inilah pesanan yang kami bawa daripada kehidupan beliau: pesakit yang tidak datang juga tanggungjawab kita. Setiap suntikan imunisasi dan setiap nasihat kesihatan kepada masyarakat ialah amal untuk kebajikan ummah, walaupun hasilnya tidak akan kita lihat pada wajah seorang pesakit.
Legasi yang berterusan
Legasi beliau hidup dalam sistem kesihatan ibu dan anak yang kita warisi hari ini, yang dibina oleh generasi petugas kesihatan seperti beliau. Kata-kata beliau sendiri merumuskannya:
“Saya tiada apa-apa untuk diberikan atau ditinggalkan kepada rakyat melainkan kasih sayang dan nasihat saya. Ambillah dan amalkanlah.”
Semoga Allah SWT mengampuni segala dosanya, menerima segala amal kebajikannya, dan menempatkan rohnya bersama golongan yang beriman dan beramal soleh. Semoga Tun Dr. Mahathir Mohamad dan seluruh keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran.
Al-Fatihah.
Dr. Mohd Afiq Mohd. Nor
Pakar Perubatan Kecemasan &
Yang Dipertua
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)
Dr. Safiya Amaran
Pakar Perubatan Kesihatan Awam &
Ahli Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)
Sumber rujukan
- Bernama. Laporan dan infografik mengenai Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, 28 September 2026.
- Malay Mail. Remembering the legacy of Dr Hasmah, ‘Ibu Negara’ Malaysia, 28 September 2026.
- BFM 89.9. Temu bual BFM Uncensored bersama Tun Dr. Siti Hasmah (video, dimuat naik semula September 2026).
- Suri Hati Mahathir: The Other Half, sebagaimana dipetik oleh Bernama.




