Travelog A2G13-ER: Kesan kemusnahan, semarak perjuangan

Kilang roti Malaysian-Palestinian Friendship Bakery

Tempat pertama lawatan anggota misi ialah kilang roti yang terletak di kawasan pangsapuri Tal Al-Islam, selatan Gaza City tajaan Aqsa Syarif dengan kerjasama Islamic Society of Jabalia (ISJ) yang menelan kos sebanyak USD 230,000. Aqsa Syarif turut menaja satu lagi pembinaan kilang roti di Khan Younis dengan jumlah yang sama. Dengan memberikan roti percuma kepada keluarga miskin, kilang roti ini juga mengaut keuntungan hasil jualan roti.


Sebungkus roti yang mengandungi sekitar 30 keping roti cuma berharga RM6. Anggota misi turut menikmati sarapan pagi dengan roti keluaran kilang tersebut bersama hidangan kepingan daging, timun, tomato, jeruk dan sebagainya. Anggota misi tidak melepaskan peluang untuk menempah 40 bungkus roti untuk dibawa pulang.

Lawatan ke tapak kemusnahan di Gaza City

Selesai sarapan pagi, anggota misi dibawa ke bangunan empat tingkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang musnah dibom dalam serangan Zionis pada hari ketiga Hijaratus Sijjil tahun lalu. Kemudian anggota  misi dibawa ke Pejabat Perdana Menteri yang musnah dibom Zionis dengan empat bom 1 tan pada hari kedua serangan selepas lawatan Perdana Menteri Mesir, Hisyam Qandil ke sana.

Bangunan KDN (foto 1) dan Pejabat PM

Anggota misi seterusnya melawat kesan runtuhan rumah orang awam empat tingkat yang musnah dibom Zionis. Tiada kehilangan nyawa berlaku di sini kerana bom amaran (kecil) telah digugurkan sebelum gugurnya bom besar. Selain itu, kami dibawa ke Stadium Gaza dan taman kanak-kanak yang musnah apabila digugurkan dengan 11 biji bom pada hari kelima serangan.


Sebelum solat Jumaat di masjid terbesar di Gaza, Masjid Umari, anggota misi dibawa ke tapak kemusnahan rumah Ad-Dalwu yang dibom Zionis tanpa bom amaran dan lebih menyayat hati, 10 orang ahli keluarganya terbunuh ketika makan tengahari. Rasa terancam keselamatan dengan keadaan perang di sempadan Israel, empat cucunya dibawa ke Gaza City. Namun, ajal tidak mengenal tempat. Empat cucunya itu termasuk antara 10 yang terbunuh di rumahnya.

Solat Jumaat di Masjid al-Umari al-Kabir

Anggota misi melaksanakan solat Jumaat di masjid yang tertua dan terbesar di Gaza, Masjid Jami’ al-Umari al-Kabir. Masjid ini diberi nama Umari sempena mengambil nama Khalifah Umar al-Khattab RA yang singgah di sini sebelum menuju ke Masjid al-Aqsa untuk membuka kota Baitul Maqdis yang telah dibebaskan oleh tentera Islam.


Umar RA turut bersolat di sini dan menukar gereja Romawi yang berusia 200 tahun ini kepada masjid. Menurut sejarah, sebelum kedatangan kerajaan Romawi, ia adalah tempat ibadah kaum Majusi.

Lawatan ke sempadan Jabalia-Israel (Saa’dah)

Jika sebelumnya 1.5 km dari sempadan Israel dijadikan ‘buffer zone’ oleh Israel, kini zon itu sudah bebas hasil gencatan senjata Hamas-Israel selepas perang 8 hari Hijaratus Sijjil. Seorang pemilik kebun, Muhammad Al-Sultan kelihatan begitu gembira dapat menjejakkan kakinya ke kebunnya buat kali pertama di sana selepas 10 tahun tidak dapat memasukinya.

Pekebun dan pemandangan di sempadan

Kelihatan remaja dan belia Gaza berkelah di sempadan tersebut, masih meraikan kemenangan rakyat Gaza hasil gencatan senjata tersebut. Sebahagian anggota misi mendengar tembakan amaran askar Zionis terhadap mereka semasa meninggalkan sempadan, kerana remaja tersebut berada terlalu hampir dengan sempadan Israel, sambil berlari-lari.

Lawatan ke rumah Asy-Syahid Ahmad Said Al-Ja’bari

Anggota misi seterusnya  dibawa rumah keluarga Ahmad Said Al-Ja’bari, Panglima Briged Izzuddin al-Qassam yang syahid bersama seorang anak lelakinya, dibom keretanya oleh Jet F16 Zionis. Al-Ja’bari bertanggungjawab merancang operasi penculikan tentera Zionis, Gillat Shalit di sempadan Khan Younis-Israel. Gilad Shalit ditawan al-Qassam dan dijaga dengan baik selama 6 tahun di Gaza sebelum ditukar dengan 1,045 tahanan Palestin di penjara Israel pada November 2011.

Ja’bari dulunya adalah aktivis Fatah yang pernah dipenjarakan bersama Sheikh Ahmad Yasin. Selepas dibebaskan, beliau menyertai Hamas dan bergiat aktif untuk membebaskan bumi Gaza melalui Briged Izzuddin al-Qassam. Anak-anak Gaza menangisi pemergian beliau, yang berjasa mengembalikan ayah-ayah mereka daripada penjara.


Meskipun sedih dengan pemergian Ja’bari, ahli keluarganya tetap redha dengan ajal dan ketentuan Ilahi. Mereka dan masyarakat Gaza akan terus berjuang. Buktinya, roket M75 milik Briged al-Qassam gugur mengenai Tel Aviv kali pertama dalam sejarah, selepas enam jam kesyahidan beliau. Semarak perjuangan mereka tidak pernah berhenti!

Peristiwa ini menimbulkan kejutan terhadap Israel, yang segera meminta gencatan senjata daripada Hamas selepas lapan hari peperangan. Menurut ahli keluarganya, Israel merasakan tindakan mengebom al-Ja’bari sebagai satu kesilapan. Jika boleh, mereka akan mengundurkan masa untuk tidak mengebom kereta al-Ja’bari, yang menimbulkan kesan luar jangka bagi Israel.

Terkenal sebagai pemimpin masyarakat di bandar Gaza, al-Ja’bari turut mengasaskan Masjid al-Murabithin berdekatan rumahnya, yang aktif mendidik kanak-kanak dan generasi muda Gaza dengan al-Quran dan kelas pengajian agama.

Lawatan ke rumah Asy-Syahid Sheikh Ahmad Yasin

Lawatan anggota misi dikira tidak lengkap jika tidak melawat rumah pengasas Hamas, Asy-Syahid Syeikh Ahmad Yasin yang menjadi sumber kebangkitan rakyat Gaza melawan penjajahan Zionis melalui Gerakan Intifadhah pada hujung 1987, yang mengejutkan dunia.

Rumahnya sederhana mempunyai tiga bilik di tingkat bawah yang sudah menjadi tempat pameran bagi pelawat Gaza; ruang tamu yang mempamerkan gambar-gambar beliau dan penggerak Hamas, bilik tidurnya dan pejabatnya di bahagian belakang. Turut berada di ruang tamu adalah rak-rak buku beliau, kerusi roda beliau dan plak-plak kenangan lawatan ke rumah tersebut.

Ruang tamu, bilik tidur dan pejabat

Hasil usaha tarbiah dan dakwah beliau, Hamas kini sangat menggerunkan Zionis dan membanggakan rakyat Gaza di mana anak-anak didiknya telah menjadi pemimpin dan tokoh masyarakat di samping turut berjuang mempertahankan Gaza dan menangkis serangan Zionis melalui sayap tenteranya, Briged Izzuddin al-Qassam.

Kesyahidan beliau tidak mematahkan semangat Hamas untuk menentang Israel. Setiap kesyahidan tokoh mereka, akan muncul tokoh yang baru. Bak kata pepatah, patah tumbuh hilang berganti. Itulah berkat keikhlasan perjuangan Hamas di Gaza, benih tarbiah Syeikh Ahmad Yasin!

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia