Artikel ini akan membincangkan beberapa isu terpenting sahaja dan akan cuba merungkaikan persoalan kenapakah kerajaan Malaysia begitu beria-ia untuk menyertai perjanjian TPPA ini walaupun banyak pihak menentangnya? Perlu disedari bahawa walaupun kerajaan Malaysia telah bersetuju kepada perjanjian ini, namun kerajaan Malaysia memilih untuk menjadi ahli kepada perjanjian secara rasmi hanya setelah mendapat persetujuan parlimen.
Sebenarnya perkara ini juga berlaku di negara lain termasuk Amerika di mana kerajaannya juga perlu mendapat persetujuan kongresnya sebelum ia secara rasmi menjadi ahli TPPA. Oleh itu, ramai pihak di negara yang terbabit sekarang sedang giat berusaha untuk mempengaruhi keputusan ini.
Penentangan terhadap TPPA adalah sangat lantang dalam kalangan beberapa organisasi dan persatuan. MTUC yang mewakili kesatuan buruh menyuarakan kebimbangan bahawa perjanjian ini akan menjejaskan kebajikan pekerja. Persatuan pengguna seperti CAP serta Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bimbang kos kepada pengguna terutama sekali kos ubat-ubatan akan meningkat dan menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan negara.
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) juga keras menentang TPPA kerana merasakan kebajikan usahawan dan peniaga bumiputera akan terjejas. Pengurusan syarikat dan perbadanan milik kerajaan (GLC) pula bimbang tentang kedudukan istimewa mereka akan turut terjejas kerana perjanjian ini akan membuka ruang kepada persaingan yang terbuka dan sengit dari syarikat luar negara yang lebih besar dan kuat apabila sekatan perdagangan dan pelaburan dalam banyak sektor dikurangkan atau dihapuskan terus.
Akhir sekali, satu sebab kenapa perjanjian ini ditentang ialah kerana ianya dikatakan akan menjejaskan kedaulatan negara akibat daripada peruntukan ‘Investor State Dispute Resolution’ yang membenarkan syarikat asing yang melabur menyaman kerajaan di mahkamah antarabangsa jika syarikat merasakan keuntungan pelaburan mereka terjejas akibat perubahan dalam polisi atau undang-undang negara yang terbabit.
Sebenarnya kesemua kebimbangan mereka adalah mempunyai asas yang sangat kukuh dan sukar untuk dinafikan. Namun perlu disedari juga bahawa penentangan terhadap TPPA juga lantang di negara lain termasuk di Amerika Syarikat. Sebagai contoh, antara penentang utama TPPA di Amerika Syarikat adalah AFL-CIO (American Federation of Labor and Congress of Industrial Organizations) iaitu sebuah kesatuan buruh yang dianggotai 56 kesatuan dan mewakili lebih dari 12 juta pekerja di Amerika Syarikat.
Mereka merasakan bahawa perjanjian ini akan mengakibatkan banyak peluang pekerjaan akan berpindah dari Amerika (kerana kos buruh yang tinggi) ke negara yang kos buruhnya rendah seperti Malaysia. Satu lagi persatuan dari barat yang sangat menentang perjanjian ini ialah MSF (Médecins Sans Frontières / Doctors Without Borders). Ini kerana mereka merasakan kos ubat-ubatan akan meningkat di semua negara ahli TPPA termasuk di negara barat akibat terma perjanjian yang akan menyekat proses pengeluaran ubatan generik yang lebih murah.
Akibat kempen yang giat oleh banyak organisasi yang menentang TPPA, ramai rakyat Amerika sebenarnya sangat bencikan perjanjian ini. Maka tidak hairanlah kenapa dua calon utama dalam pertandingan merebut jawatan Presiden di Amerika, iaitu Hillary Clinton dari parti Democrat dan Donald Trump dari parti Republican adalah antara penentang utama perjanjian ini, mungkin kerana menyedari bahawa pendirian menentang TPPA akan memastikan mereka akan mendapat banyak sokongan dari kalangan rakyat Amerika.
Persoalan yang timbul ialah jika kebimbangan oleh pelbagai pihak di atas adalah kukuh dan berasas, kenapakah kerajaan dari dua belas negara yang terlibat masih meneruskan perjanjian ini? Jawapannya ialah kerana terdapat satu kumpulan yang sangat berpengaruh yang sangat menyokong perjanjian ini iaitu organisasi perniagaan yang berdaya saing tinggi dan kuat dalam pasaran antarabangsa. Di Malaysia, kebanyakan mereka adalah ahli kepada FMM (Federation of Malaysian Manufacturers).
Oleh sebab itu, FMM adalah penyokong paling kuat kepada perjanjian TPPA. Sebab utama mereka menyokong perjanjian ini ialah kerana perjanjian ini akan membuka ruang eksport yang lebih luas kepada ahli FMM, terutama dari sektor tekstil, elektronik dan barangan automotif. Mereka berpendapat perjanjian ini akan membantu mereka meningkatkan pendapatan kerana pasaran baru akan terbuka untuk mereka seperti dari negara Canada, Chile, Mexico, New Zealand dan Peru.
Pelaburan juga akan bertambah dan sudah tentu juga peluang pekerjaan dalam sektor mereka. Di samping syarikat di atas, syarikat-syarikat gergasi dalam sektor minyak sawit negara juga menyokong perjanjian ini. Ini kerana mereka merasakan bahawa eksport minyak sawit akan meningkat dengan mendadak akibat peluang pemasaran di negara lain terutama sekali di Amerika Syarikat.
Di Amerika Syarikat pula, penyokong utama kepada perjanjian ini juga adalah dari kalangan syarikat perniagaan yang besar dan kuat, yang mengeskport ke luar negara seperti dari sektor farmaseutikal dan pertanian. Begitu juga, antara penyokong utama TPPA dari negara New Zealand adalah syarikat pengeskport dalam sektor tenusu sementara dari Kanada adalah syarikat pengeksport dari sektor keluaran daging.
Jelas sekali, bahawa kumpulan yang sangat akan mendapat manfaat dari TPPA adalah syarikat perniagaan, terutama sekali dari kalangan syarikat yang besar, dan kuat atau kompetitif dalam pasaran antarabangsa. Di samping itu, kebanyakan syarikat ini mempunyai beban hutang yang sangat tinggi akibat dari strategi perkembangan mereka. Beban hutang ini mewajibkan mereka membesarkan saiz pendapatan mereka dan ini hanya akan dapat dilakukan jika saiz pasaran untuk keluaran mereka juga bertambah. TPPA lah yang akan membantu meluaskan saiz pasaran mereka.
Kerajaan dari semua negara pula sangat bergantung kepada syarikat-syarikat ini untuk membantu merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi negara. Oleh itu mereka merasakan bahawa perjanjian ini bukan sahaja akan menambahkan peluang pekerjaan, malah kadar pertumbuhan ekonomi juga akan meningkat. Pendapat mereka diperkukuhkan lagi oleh dapatan dari beberapa kajian.
Sebagai contoh sebuah organisasi penyelidikan ekonomi antarabangsa yang berpengaruh iaitu ‘The Peterson Institute for International Economics’ menyatakan bahawa TPPA berupaya meningkatkan pendapatan sebanyak USD295 billion serta peningkatan perdagangan sebanyak USD1.9 trillion di negara terbabit. Ini kerana bukan sahaja akan wujud liberalisasi dalam eksport dan import bahkan juga liberalisasi dalam sektor perkhidmatan dan teknologi.
Dalam kes Malaysia, Peterson Institute meramalkan saiz ekonomi Malaysia (yakni GDP) akan meningkat lebih dari 5 peratus pada tahun 2025 akibat dari perjanjian ini. Jika beberapa negara Asia seperti Vietnam, Filipina, Korea Selatan, Taiwan dan Thailand turut menyertai perjanjian ini nanti (dan menjadikan keahlian berjumlah 17 negara), peratusan ini akan meningkat menjadi lebih dari 10 peratus. Ini sudah tentu adalah satu angka yang sangat memberangsangkan.
Sebaliknya, jika perjanjian ini tidak wujud, kesemua pemimpin politik dari kesemua 12 negara terlibat merasakan sukar untuk berlakunya pertumbuhan ekonomi di negara mereka. Tambahan pula suasana ekonomi yang terbantut bermakna pendapatan kerajaan juga akan terjejas.
Di samping itu, hampir kesemua kerajaan ini mempunyai beban hutang yang tinggi dan oleh itu suasana ekonomi yang terbantut akan bermakna kerajaan akan terpaksa melaksanakan langkah berjimat cermat atau meningkatkan kadar cukai untuk menampung perbelanjaan negara. Sudah tentu langkah tersebut adalah tidak popular. Di samping membuat rakyat semakin kecewa terhadap kerajaan, langkah tersebut juga akan tentu sekali menjejaskan sokongan politik rakyat terhadap mereka.
Jelas sekali bahawa isu pertumbuhan ekonomi lah menjadi faktor utama kenapa kerajaan di kesemua 12 negara yang terlibat dalam TPPA begitu berusaha untuk menjayakan perjanjian ini. Isu ekonomi juga akan memastikan bahawa beberapa negara lain yang belum menjadi ahli termasuk negara China, akan lambat laun memohon untuk turut serta dalam perjanjian TPPA ini. Pemimpin politik di kesemua negara ini semua sedar bahawa pada masa ini garis ukur yang digunakan oleh rakyat untuk menyokong sesebuah kerajaan adalah prestasi ekonomi semata-mata.
Walaupun kedaulatan negara akan lebih utuh jika sesebuah negara memilih untuk tidak menyertai perjanjian ini, namun sebenarnya mereka juga sedar bahawa jika rakyat merasakan suasana ekonomi adalah tidak baik dan pendapatan mereka tidak bertambah, rakyat akan masih tidak berpuas hati atau marah kepada kerajaan dan akan berusaha untuk menggantikan kerajaan yang sedia ada dengan kerajaan baru yang dirasakan akan boleh menjamin keadaan ekonomi mereka adalah lebih baik.
Sebenarnya, pertumbuhan ekonomi yang akan dialami oleh negara yang terbabit akan menguntungkan sebahagian kecil sahaja daripada masyarakat, yang terdiri daripada golongan yang sudah kaya, yang sedang mengawal sumber kewangan negara. Di samping itu, seperti yang telah terbukti berlaku di negara maju, pertumbuhan ekonomi dan kenaikan pendapatan akan juga bermakna kenaikan kos kehidupan akibat dari inflasi dan pertumbuhan tahap hutang dalam masyarakat.
Dalam erti kata yang lain, tahap kebajikan rakyat akan masih terjejas dalam jangka panjang walaupun berlakunya pertumbuhan ekonomi. Namun, ramai yang tidak menyedari hakikat ini dan oleh itu, mereka akan tetap menjadikan pertumbuhan ekonomi dan kenaikan pendapatan sebagai isu paling utama. Dan oleh sebab itulah, kerajaan di kesemua 12 negara ahli TPPA, termasuk Malaysia akan berusaha untuk mengesahkan keahlian mereka, sementara yang lain akan berusaha untuk menyertainya pada masa akan datang.
Jawaban kepada soalan kenapa kerajaan begitu beria-ia kepada TPPA ialah kerana, sama ada secara sedar atau tidak sedar, itulah sebenarnya kemahuan sebahagian besar rakyat. Selagi fokus mereka tidak berubah dari isu pertumbuhan ekonomi dan kenaikan pendapatan semata-mata, kerajaan tidak akan berganjak dari berusaha untuk menyertai TPPA.
Prof Dr Mohd Nazari Ismail
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM