Toleransi Beragama Asas Pembinaan Negara Rahmah

Konsep rahmah dalam Islam merupakan teras kepada keadilan dan keharmonian sejagat. Rahmah melambangkan kasih sayang Allah SWT yang meliputi kasih sayang Allah kepada seluruh makhluk ciptaan-Nya tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang sosial.

Prinsip ini ditegaskan dalam firman Allah SWT

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ 

Terjemahannya: “Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya’ 21:107)

Berdasarkan ayat al-Quran di atas, rahmah bukan hanya bermaksud belas kasihan, tetapi mencerminkan keadilan sosial dan penghormatan terhadap maruah manusia (karāmah insāniyyah).

Al-Ghazali (1997) dalam Ihya’ ‘Ulum ad-Din  menjelaskan bahawa rahmah merupakan akhlak ilahiah yang perlu dicontohi oleh manusia dalam setiap hubungan antara sesama manusia. Kasih sayang Allah SWT kepada seluruh makhluk menjadi asas bagi pembentukan masyarakat yang berasaskan keadilan dan kesejahteraan sejagat.

Oleh itu, rahmah ialah manifestasi langsung daripada sifat Allah Yang Maha Pengasih (ar-Rahman) dan Maha Penyayang (ar-Rahim), yang menjadi asas kepada hubungan sesama manusia.

Ketuhanan sebagai asas moral toleransi antara agama 

Ketuhanan dalam Islam berpaksikan konsep kepatuhan kepada Allah SWT yang melahirkan kesedaran bahawa semua manusia adalah makhluk ciptaan Tuhan yang sama. Kesedaran ini menjadi asas moral yang menggalakkan toleransi dan saling menghormati antara penganut agama yang berbeza.

Ibn Khaldun (2005) dalam Al-Muqaddimah menegaskan bahawa kestabilan sesebuah masyarakat bergantung kepada nilai moral dan perpaduan sosial yang berpaksikan prinsip keagamaan. Dalam konteks ini, konsep  tauhid tidak hanya menuntut pengabdian kepada Allah, tetapi juga mengajarkan tanggungjawab terhadap sesama manusia.

Maka, toleransi antara agama adalah refleksi daripada keimanan kepada Tuhan yang Maha Esa, satu bentuk ketaatan yang mendorong manusia mengiktiraf hak untuk hidup, beragama dan memelihara maruah orang lain.

Pandangan ini turut dikukuhkan oleh ulama kontemporari seperti Yusuf al-Qaradawi (2009) dalam Fiqh al-Jihad, yang menegaskan bahawa Islam mengiktiraf kepelbagaian agama sebagai sunnatullah dalam kehidupan manusia.

Oleh itu, perbezaan agama bukan alasan untuk permusuhan, sebaliknya ruang untuk berbuat baik (ihsan) sesama manusia dan dapat bekerjasama dalam membuat kebaikan dan keamanan sejagat.

Piagam Madinah: Sejarah Nabi Muhammad SAW membuktikan amalan toleransi

Sejarah Nabi Muhammad SAW menjadi bukti jelas bahawa toleransi beragama adalah amalan praktikal dalam pentadbiran Islam. Pembentukan Piagam Madinah merupakan contoh unggul kepimpinan berasaskan rahmah dan keadilan.

Piagam ini mengiktiraf hak masyarakat bukan Islam khususnya kaum Yahudi untuk turut sama mengamalkan agama mereka, dan pada masa yang sama menetapkan tanggungjawab bersama dalam menjaga keamanan Kota Madinah.

Piagam Madinah menegaskan prinsip kebersamaan (ummah wahidah) tanpa menghapuskan identiti agama masing-masing. Hal ini menggambarkan bahawa Islam tidak menindas kepercayaan lain, sebaliknya melindungi hak dan kebebasan beragama atas dasar keadilan. 

Ibn Hisham (2000) dalam Sirah Nabawiyyah menjelaskan bahawa tindakan Nabi Muhammad SAW membina masyarakat berbilang agama itu berpaksikan kasih sayang dan ihsan, bukannya kekerasan.

Jelasnya, Piagam Madinah menjadi bukti dalam sejarah moden bahawa toleransi beragama merupakan dasar politik Islam yang berpaksikan keimanan kepada Allah SWT dan berpandukan nilai rahmah dalam menegakkan keadilan sosial sejagat.

Implikasi kepada Malaysia: Mendidik masyarakat menghormati kepelbagaian 

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, prinsip rahmah dan toleransi beragama amat penting dalam pembinaan Negara Rahmah yang harmoni dan sejahtera. 

Sementelahan pula Malaysia diikat oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai dasar perundangan negara yang turut menjamin kebebasan beragama. Situasi ini selaras dengan prinsip rahmatan lil-‘alamin yang diperjuangkan oleh ajaran Islam itu sendiri.

Mulyadi (2021) menegaskan bahawa masyarakat Melayu-Islam Malaysia sentiasa meraikan kepelbagaian budaya dan agama. Keutuhan hubungan sosial dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia berakar daripada nilai-nilai Islam yang menekankan keadilan, amanah dan kasih sayang.

Dalam hal ini, pendidikan Islam juga berperanan mendidik generasi muda agar memahami bahawa toleransi bukanlah kelemahan dalam beragama, tetapi memberikan kekuatan moral yang dapat menjamin perpaduan dan kestabilan negara.

Oleh itu, pembinaan Negara Rahmah di Malaysia perlu berteraskan pendidikan nilai yang menyemai kasih sayang, saling menghormati dan tanggungjawab sosial. Setiap warga perlu memahami bahawa perbezaan agama dan budaya adalah anugerah Ilahi yang perlu dipraktikkan berasaskan hikmah.

Melalui penghayatan konsep rahmah dan hikmah, Malaysia mampu menjadi model masyarakat berbilang agama yang hidup dalam suasana damai, adil dan harmoni.

Toleransi asas pembinaan Negara Rahmah

Kesimpulannya, toleransi beragama yang berpaksikan nilai ketuhanan merupakan asas penting dalam pembinaan Negara Rahmah yang aman, adil dan harmoni.

Konsep rahmah dalam Islam menggambarkan kasih sayang Allah SWT kepada seluruh manusia, dan hal ini dapat dilihat melalui amalan Nabi Muhammad SAW dalam Piagam Madinah yang menekankan keadilan serta penghormatan terhadap kepelbagaian agama dan kaum di Kota Madinah.

Daripada pandangan penulis, nilai ketuhanan perlu dijadikan panduan utama dalam membentuk perpaduan di Malaysia.

Melalui pendidikan dan dasar negara yang berteraskan prinsip rahmatan lil-‘alamin,  masyarakat dapat dididik untuk menghormati perbezaan dan hidup bersama secara damai, sejajar dengan matlamat membina sebuah negara yang sejahtera, harmoni dan  rahmah.

Dr Mohd Yusri Ibrahim
PhD (Syariah) UPSI
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

Rujukan:

Al-Ghazali. (1997). Ihya’ ‘Ulum al-Din (Vols. 1–4). Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Ibn Hisham. (2000). Al-Sirah al-Nabawiyyah. Kaherah: Dar al-Hadith.

Ibn Khaldun. (2005). Al-Muqaddimah (The Introduction to History). Beirut: Dar al-Fikr.

Ismail, M. M. (2012). Sejarah dan Tamadun Islam: EAI 2033 – Program Pensiswazahan Guru. Nilai: Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia.

Mulyadi, H. (2021). Islam dan Tamadun Melayu: Sejarah Orang Melayu dan Persentuhan Islam dengan Tamadun Melayu. Bandung: CV. DOTPLUS Publisher.

Musa, H. H. (2006). Islam dan Tamadun Melayu: Peranannya dalam Pembinaan Tamadun Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Qaradawi, Y. al-. (2009). Fiqh al-Jihad: Dirasah Muqaranah li Ahkamihi wa Falsafatihi fi Dhau’ al-Qur’an wa al-Sunnah.  Kaherah: Maktabah Wahbah.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia