Toleransi Antara Penganut Agama Menurut Islam

Toleransi (tasamuh) bukan sesuatu perkara yang baru dalam Islam, kerana ketika zaman Rasulullah SAW pun telah ada banyak perbezaan dalam masyarakat yang hidup di Makkah dan Madinah kala itu.

Walaupun demikian, sikap dan perilaku Nabi SAW selalu mencontohkan pada perbuatan yang baik kepada mereka yang tidak seakidah.

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (HR Ahmad [8952], Sahih)

Secara etimologi, toleransi berasal daripada bahasa Latin ‘tolerare’ yang bererti saling menanggung atau saling memikul. Makna yang dapat disimpulkan adalah sikap saling memikul walau hal atau pekerjaan itu tidak disukai. Ia boleh juga diertikan sebagai memberi tempat kepada orang lain walau mereka tidak satu pendapat. (Siagian, 1993: 115)

Toleransi mempunyai nilai yang besar dalam Islam, kerana ia bermaksud kebebasan dan kesaksamaan, tanpa diskriminasi kaum apalagi agama. Dengan kata lain, toleransi diertikan sebagai mengenali dengan saling menghormati dan mengiktiraf hak asasi serta kebebasan orang lain. 

Ia merangkumi semangat kemurahan hati yang muncul dengan pergaulan yang baik, layanan yang lemah lembut, mengambil berat terhadap jiran tetangga, kepedulian, belas kasihan dan kebajikan adalah antara perkara yang diperlukan dalam kehidupan seharian.

Kebenaran dan keadilan

Selain itu, dalam al-Quran turut menyentuh tentang kebenaran dan keadilan kepada orang-orang yang menyelisihi yang tidak memerangi orang Islam atas dasar agama.

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat mereka yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al Mumtahanah, ayat 8-9)

Dalam Al-Quran, Allah menggambarkan orang-orang yang soleh di antara hamba-hamba-Nya.

“Dan mereka memberi makan, kerana cinta kepada-Nya, orang miskin, anak yatim, dan orang tawanan.” (Al-Insan: 8)

Hakikatnya, apabila ayat itu diturunkan, asbabun nuzul atau sebab penurunannya ialah tawanan yang dimaksudkan itu hanyalah salah seorang daripada orang musyrik.

Selain itu, Muhammad bin al-Hassan meriwayatkan bahawa Nabi SAW telah menghantar wang kepada penduduk Makkah ketika mereka berada dalam kemiskinan untuk diagihkan kepada fakir miskin.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Al-Ankabut: 46)

Toleransi ini juga terbukti dalam perlakuan Rasulullah SAW kepada Ahli Kitab. Sama ada mereka Yahudi atau Nasrani, baginda selalu menziarahi mereka, memuliakan mereka, berbuat baik kepada mereka, melawat pesakit mereka, mengambil daripada mereka dan memberi kepada mereka.

Keharmonian dan pendamaian

Toleransi dalam Islam terserlah dalam perlakuan terhadap sahabat dan orang bukan Islam. Umar al-Khattab memerintahkan pembayaran pencen tetap kepada seorang Yahudi dan tanggungannya daripada perbendaharaan orang Islam, lalu Umar berkata: Allah Taala berfirman: “Sedekah itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan miskin.” (At-Taubah: 60)

Ini adalah salah seorang Ahli Kitab yang miskin. 

Al-Qarafi menjelaskan maksud kebajikan yang diperintahkan Allah kepada kaum Muslimin dalam urusan mereka, dan beliau menyebutkan; berbuat baik kepada orang yang lemah, memberi nafkah kepada orang miskin, memberi makan kepada orang yang lapar, memberi pakaian kepada orang yang telanjang dan berkata-kata dengan lemah lembut kepada mereka.

Ia sebagai satu jalan kebaikan dan belas kasihan bukan sebagai cara ketakutan dan kehinaan dan kemungkinan menyakiti hati mereka. 

Terdapat dalil yang jelas tentang toleransi yang menekankan tentang bertoleransi kepada mereka yang berlainan agama dan kepercayaan:

“Katakanlah: “Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu dan untukku agamaku.” (Surah al-Kafirun : 1-6)

Di dunia ini ada banyak jenis kepercayaan dan agama, ada yang beriman kepada al-Quran dan ada yang tidak. Namun demikian, bukan tugas manusia untuk menghakimi masalah keimanan mereka, kerana Allah SWT yang lebih mengetahui.

وَمِنْهُمْ مَنْ يُؤْمِنُ بِهِ وَمِنْهُمْ مَنْ لَا يُؤْمِنُ بِهِ ۚ وَرَبُّكَ أَعْلَمُ بِالْمُفْسِدِينَ

 “Di antara mereka ada orang-orang yang beriman kepada al-Quran, dan di antaranya ada (pula) orang-orang yang tidak beriman kepadanya. Tuhanmu lebih mengetahui tentang orang-orang yang berbuat kerusakan.” (Yunus: 40)

 وَإِنْ كَذَّبُوكَ فَقُلْ لِي عَمَلِي وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ ۖ أَنْتُمْ بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ وَأَنَا بَرِيءٌ مِمَّا تَعْمَلُونَ

“Jika mereka mendustakan kamu, maka katakanlah: “Bagiku pekerjaanku dan bagimu pekerjaanmu. Kamu berlepas diri terhadap apa yang aku kerjakan dan aku pun berlepas diri terhadap apa yang kamu kerjakan.”(Surah Yunus: 41)

Pada Surah al-Kahfi ayat 29, Allah menegaskan:

وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ ۖ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ ۚ إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا ۚ وَإِنْ يَسْتَغِيثُوا يُغَاثُوا بِمَاءٍ كَالْمُهْلِ يَشْوِي الْوُجُوهَ ۚ بِئْسَ الشَّرَابُ وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا

“Dan katakanlah: “Kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu; maka sesiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan sesiapa yang ingin (kafir), biarlah ia kafir.” Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling buruk.”

Dalam pada itu, pada surah al-Baqarah ayat 256, ia berkenaan toleransi kepada orang bukan Islam dan tidak memaksakan mereka untuk masuk Islam, kerana tidak ada paksaan dalam memasuki agama ini.

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انْفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu sesiapa yang ingkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Dalam Surah al-Hujurat ayat 10 dan 13, Allah tekankan toleransi kepada sesama Muslim, dan selalu berusaha mewujudkan perdamaian. Manakala, ayat 13 menjelaskan bahawa perbezaan suku dan bangsa yang diciptakan oleh Allah adalah untuk saling mengenal, bukan saling bertikai.

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat : 10)

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Selain itu, Surah al-Hasyr ayat 9 adalah toleransi kepada sesama Muslim walau berasal dari daerah yang berbeza, status sosial berbeza (kaya dan miskin), juga keadaan sosial lainnya. Mereka saling bantu tanpa mengharapkan balasan.

“Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.” (Surah al-Hasyr : 9)

Sangat rasional dan perikemanusiaan

Prinsip Islam yang sangat berperikemanusiaan ini adalah benteng yang akan melindungi umat Islam daripada mereka yang tamak yang mencetuskan kehancuran serta menimbulkan kerosakan di muka bumi.

Realitinya, masyarakat yang bertolak ansur menerima yang lain, berganding bahu dengannya untuk membina dan memberi, serta percaya bahawa Allah Yang Maha Esa memerintahkan kepada manusia supaya saling mengenal, tidak berselisih dan sebagaimana firman-Nya.

Oleh itu, toleransi adalah pendekatan orang yang kuat, bukan kebiasaan orang yang lemah. Mereka kuat dengan kemaafan dan dada mereka tidak disempitkan dengan menerima orang yang melampaui batas dan bermasalah.

Kembali kepada maksud toleransi itu sendiri adalah bersikap menerima dan menghargai perbezaan yang ada. Namun, ia bukanlah mencampur aduk keimanan atau keyakinan antara agama. Dalam aspek ini, toleransi tersebut bermakna menghargai kewujudan agama yang dianuti orang lain.

Maka, dapat disimpulkan bahawa konsep toleransi yang diajarkan dalam Islam sangat rasional dan praktikal, iaitu diaplikasikan dengan mengenali, menghargai, dan terbuka dengan perbezaan.

Akan tetapi, jika berkaitan aspek perbezaan agama, keyakinan umat Islam kepada Allah tentu berbeza dengan umat agama lain dan tidak dapat dicampur aduk. Islam amat tegas akan hal ini. Sebagai contoh, Allah melarang umat Islam untuk mencela keyakinan mereka yang beragama lain. Allah SWT berfirman:

“Dan janganlah kalian mencela orang-orang yang berdoa kepada selain Allah, yang menyebabkan mereka mencela Allah dengan permusuhan dengan tanpa ilmu. Demikianlah Kami menghiasi untuk setiap umat amalan mereka, lalu Dia mengkhabarkan kepada apa yang mereka lakukan.” (Surah al-An’aam: 108)

Toleransi berlaku bagi semua manusia tanpa terkecuali. Begitulah al-Quran mengingatkan penganutnya tentang toleransi.

Secara asasnya, hubungan dan kesatuan sesama manusia, adalah juga bertaut pada semangat kemanusiaan, bukan hanya pada faham ‘creedal nation’ (al-ummah al-’aqidiyyah).

Walaupun berbeza warna kulit, bangsa, politik dan agama, semua manusia, fitrah serta jiwa kemanusiaannya menginginkan kedamaian, keharmonian, kebersamaan, keadilan yang disebut sebagai toleransi.

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia