Tolak Nick Adams, Calon Duta AS ke Malaysia: Diplomasi Teruji

Pelantikan seseorang ke jawatan Duta Besar bukan sekadar urusan pentadbiran atau simbolik dalam hubungan antarabangsa. Ia adalah pengiktirafan tertinggi sesebuah negara terhadap individu yang diyakini mampu menjadi wajah negaranya di luar tanah air.

Justeru, seorang duta bukan sahaja menjadi perantara rasmi antara dua kerajaan, tetapi juga simbol nilai, prinsip dan jati diri negara yang diwakilinya.

Justeru, setiap pencalonan ke jawatan Duta Besar perlu dinilai dengan teliti dan penuh tanggungjawab. Penilaian bukan sahaja harus merangkumi aspek pengalaman diplomatik dan kecekapan pentadbiran, tetapi turut melibatkan pertimbangan terhadap kewibawaan moral, sensitiviti budaya serta kepekaan terhadap realiti sosiopolitik negara tuan rumah.

Dalam konteks ini, pengumuman nama Nick Adams sebagai calon Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia menimbulkan persoalan besar dan keresahan yang berasas dalam kalangan rakyat negara ini.

Nick Adams bukanlah tokoh diplomatik berpengalaman mahupun individu yang dikenali kerana rekod kerjasama antarabangsa yang konstruktif. Sebaliknya, beliau lebih terkenal sebagai personaliti media yang lantang daripada kalangan konservatif sayap kanan Amerika Syarikat. 

Gaya penyampaiannya sering berunsur provokatif, penuh dengan retorik rasis, anti-Islam, xenofobia. Beliau juga menyokong tindakan melampau ketenteraan Israel terhadap Palestin. Kenyataan-kenyataannya banyak tular di media sosial bukan kerana kematangan diplomatik, tetapi kerana kelantangan dan kecenderungannya menyinggung kelompok tertentu.

Lebih membimbangkan, Adams dilihat menggunakan kedudukannya dalam media dan politik untuk mengukuhkan naratif kebencian terhadap komuniti bukan kulit putih, termasuk umat Islam dan imigran.

Beliau kerap mengaitkan Islam dengan ekstremisme dan membina gambaran yang penuh prasangka terhadap dunia bukan Barat. Adams juga turut sering mengangkat nilai dominasi Barat sebagai ukuran ketamadunan dan pada masa yang sama memperlekeh usaha negara-negara lain untuk menegakkan keadilan global.

Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama mengamalkan prinsip toleransi antara agama dan kaum. Selama lebih enam dekad, Malaysia kekal sebagai suara yang konsisten dalam memperjuangkan Palestin, menolak diskriminasi agama dan mengangkat nilai-nilai diplomasi beradab.

Pendirian Malaysia digambarkan sebagai negara yang mahukan dunia yang lebih adil, bebas daripada hegemoni nilai sebelah pihak dan menolak sebarang bentuk pelampauan.

Dalam konteks itu, pelantikan Nick Adams bukan sahaja tidak membantu hubungan dua hala, malah boleh mencetuskan ketegangan diplomatik yang tidak perlu. Perlu difahami, Malaysia bukan menolak hubungan dengan Amerika Syarikat. Sebaliknya, negara ini menghargai kerjasama yang terjalin dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pendidikan, keselamatan dan teknologi.

Namun, hubungan itu hanya akan kekal sihat dan berkekalan jika diasaskan atas prinsip saling menghormati. Pelantikan individu yang secara terbuka menentang nilai yang rakyat junjung tinggi hanya akan mencemarkan asas persefahaman tersebut.

Malaysia, seperti negara-negara lain yang berdaulat, mempunyai hak penuh untuk menilai kesesuaian moral dan keperibadian mana-mana calon yang dikemukakan oleh negara luar untuk menjadi wakil diplomatik.

Perkara ini bukan bentuk campur tangan, tetapi hak kedaulatan yang dijamin di bawah Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik. Menolak pencalonan yang tidak sesuai adalah sebahagian daripada usaha mengekalkan maruah negara dan bukan satu bentuk permusuhan.

Penolakan terhadap Nick Adams tidak bermaksud Malaysia anti-Amerika. Ia juga bukan tindakan bermotif politik. Ia adalah pendirian prinsip yang berpaksikan kesedaran bahawa hubungan antarabangsa yang baik tidak boleh diasaskan atas tekanan, pemaksaan atau kompromi terhadap nilai sendiri.

Apabila seseorang calon membawa latar belakang yang secara terang-terangan bertentangan dengan dasar luar dan sensitiviti budaya negara penerima, maka menjadi tanggungjawab negara itu untuk menyatakan pendirian dengan tegas.

Seorang duta besar bukan sekadar jurucakap rasmi. Dia adalah jambatan antara dua budaya, dua masyarakat dan dua sistem nilai. Oleh itu, beliau perlu memiliki sensitiviti budaya dan keupayaan untuk menjalin hubungan atas dasar saling menghormati, bukan dominasi.

Seorang duta yang gagal membaca sensitiviti masyarakat tuan rumah berisiko mencetuskan salah faham, mengeruhkan hubungan dua hala dan lebih memburukkan keadaan, menjadi simbol kepada sikap angkuh negara asalnya.

Rekod Nick Adams menunjukkan beliau bukan sekadar kurang sesuai, tetapi boleh membawa mudarat kepada hubungan diplomatik yang selama ini dibina dengan sabar dan penuh hikmah. 

Gaya komunikasi beliau yang agresif, cenderung kepada penghinaan dan sering memperlekeh golongan minoriti adalah bertentangan sama sekali dengan keperluan asas seorang diplomat. 

Jika individu seperti ini diberi ruang dalam landskap diplomatik Malaysia, ia bukan sahaja melemahkan institusi perwakilan asing, malah memberi mesej yang salah kepada rakyat iaitu bahawa prinsip boleh dikompromi demi hubungan.

Malaysia tidak pernah berundur daripada memperjuangkan suara yang tertindas di pentas antarabangsa. Oleh itu, menerima pelantikan seorang calon yang secara terbuka menyokong penindasan dan memperlekeh budaya bukan Barat hanya akan merosakkan prinsip murni ini.

Sekiranya kerajaan Amerika benar-benar ingin mengekalkan hubungan jangka panjang yang konstruktif dan saling menguntungkan dengan Malaysia, mereka perlu mendengar suara rakyat Malaysia dan menghormatinya.

Mereka perlu mencalonkan individu yang bukan sahaja memenuhi syarat diplomatik, tetapi juga menghormati sensitiviti budaya, nilai kemanusiaan sejagat serta pendirian Malaysia dalam isu keadilan global.

Dunia hari ini sedang menyaksikan bagaimana ketegangan budaya, agama dan politik boleh tercetus hanya kerana jawatan strategik diberikan kepada individu yang tidak sesuai.

Sejarah telah menunjukkan betapa pentingnya kehalusan diplomasi, khususnya dalam dunia yang semakin terpecah oleh naratif kebencian dan retorik ekstrem. Malaysia perlu kekal menjadi suara yang berprinsip dan tidak tunduk kepada desakan luar yang mengancam nilai teras negara.

Penolakan terhadap Nick Adams bukanlah tindakan ekstrem. Ia adalah bentuk ketegasan yang diperlukan dalam dunia antarabangsa yang kompleks. Kedaulatan bukan semata-mata mengenai sempadan geografi. Ia juga tentang menjaga prinsip, maruah dan arah haluan dasar luar negara.

Malaysia perlu terus mengingatkan dunia bahawa negara bersedia bekerjasama, bersedia berdiplomasi, tetapi tidak bersedia berkompromi dengan ideologi yang mencemarkan keharmonian, mencabar perlembagaan dan memperlekeh sensitiviti budaya rakyat.

Hormat hanya akan hadir apabila kita sendiri berani mempertahankan prinsip. Dalam hal ini, Malaysia tidak menolak Amerika, tetapi berhak dan wajib menolak duta yang tidak menghormati semangat diplomasi sebenar.

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia