“Pelbagai aktiviti masyarakat dianjurkan oleh Wanita IKRAM Kajang secara berkala di sini. Antaranya senamrobik, aerodance, pengumpulan minyak masak dan juga pengumpulan barang-barang untuk dikitar semula,” ujar Setiausaha Wanita IKRAM Kajang, Puan Sarimah Ahmad dalam ucapannya.
Beliau turut berbesar hati dan mengalu-alukan kehadiran 25 orang peserta dari Lembah Klang, Ipoh dan Melaka, dengan matlamat yang sama iaitu ingin mengenali diri seterusnya meningkatkan potensi yang ada supaya menjadi suri rumah yang hebat.
“Program TiPS ini dirancang berpandukan Modul Pembangunan Diri, satu daripada empat modul yang terkandung dalam Modul Pembangunan Suri yang telah dilancarkan sewaktu Konvensyen Suri pada Mac lalu,” jelas Pengarah Program, Puan Nurul Huda Ahmad Nawawi.
Menurutnya, dalam setiap program yang dianjurkan oleh SRR, pihak penganjur berusaha menyediakan nurseri kepada para peserta yang memerlukan kerana memahami ‘nature’ suri rumah yang sentiasa berdamping dengan anak-anak 24 jam sehari.
“Menjadi suri rumah adalah suatu tugas yang mulia kerana ia sangat dekat dengan salah satu ciri sepuluh muwasofat tarbiah iaitu bermanfaat kepada orang lain.”
Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa gembira dengan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta berikutan terdapat dalam kalangan mereka yang membawa pengasuh sendiri untuk menjaga anak-anak mereka.
“Penghargaan juga wajar diberikan kepada para suami yang menyokong para isteri untuk datang ke program dengan mengambil cuti untuk menjaga anak-anak di rumah,” jelas Huda lagi.
Tambahnya lagi, bermanfaat kepada orang lain yang dimaksudkan adalah berperanan terhadap keluarga untuk menyumbang sepenuh tenaga di rumah bagi mengasuh anak-anak dan melengkapkan keperluan keluarga adalah suatu tugas yang tidak boleh dipandang enteng oleh setiap suri rumah.
“Sudah tiba masanya segala usaha dan penat lelah para suri diangkat dan diberi pengiktirafan oleh masyarakat.”
Beliau turut berharap agar selepas tamat program ini, para suri dapat mencungkil potensi yang ada dalam diri masing-masing, seterusnya para suri dapat terus melebarkan sayap untuk lebih berperanan dalam keluarga dan masyarakat.
“Peranan aktif setiap peserta bakal menentukan kejayaan dan keberkesanan program pada hari ini,” ujar pengendali program, Puan Hazdiana serta menyatakan kepada para peserta bahawa program ini berpusatkan peserta dan akan dikendalikan secara ‘accelerated learning.’
Hazdiana turut mengingatkan para peserta sebelum memulakan sesi pertama yang diberi nama “Getting To Know Each Other” supaya memanfaatkan sesi ini sepenuhnya kerana inilah peluang yang ada untuk para suri meluahkan apa yang terbuku dan disimpan selama ini kerana di rumah mereka tiada kawan untuk berbicara.
“Saya ingin menjadi suri rumah kerana saya ingin menjadi pelengkap kepada keluarga,” kata Puan Ida.
Berasal daripada keluarga yang ibu bapanya keluar bekerja dan beliau terpaksa tinggal dengan datuk dan neneknya menyebabkan dirinya tekad untuk menjadi suri rumah.
“Perasaan sunyi dan tiada teman untuk bercerita menyebabkan saya berazam supaya perkara yang sama tidak berlaku kepada anak-anak saya pula.”
Bagi Solehah Azman pula, ia memilih untuk menjadi suri rumah kerana ingin mengasuh anaknya sendiri.
“Suri rumah ibarat peti besi kerana mereka terkurung dalam rumah, namun biasanya barang-barang yang tersimpan di dalam peti itu adalah sesuatu yang berharga,” tambahnya lagi.
Majoriti peserta mengakui bahawa menjadi suri rumah bukan sesuatu yang mudah.
“Memilih menjadi suri rumah bererti memilih meninggalkan gaji yang lumayan setiap bulan, memilih melepaskan pangkat tinggi di tempat kerja dan merestukan masa senggang bersama kawan-kawan diganti dengan mengasuh dan mengurus anak-anak sepenuh masa,” demikian ujar Roselinee.
Suri Rumah Rahmah (SRR) adalah sebuah agensi di bawah Wanita IKRAM, telah dilancarkan pada 30 Mac lalu ketika Konvensyen Suri anjuran bersama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Mega Glory Hall, Ostia Bangi.