Tindakan Tegas Henti Eksploitasi Isu Agama, Kaum

Tindakan Tegas Henti Eksploitasi Isu Agama, Kaum | IKRAM

IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tindakan tegas dan segera wajib diambil bagi menghentikan aktiviti mana-mana pihak yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu agama serta kaum melalui pandangan ekstrem.

“Pandangan ekstrem berunsur kaum dan agama berbentuk hasutan yang boleh menyemaikan rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama warga wajib dihentikan.”

Titah baginda, segala bentuk ancaman dan cabaran yang boleh mencetus pertelingkahan antara kaum, agama dan ideologi politik hendaklah diuruskan dengan berhikmah dan bijaksana, agar penyelesaian jangka panjang berjaya diolah dan dicapai. 

“Bumi ini tidak boleh dibenarkan untuk disemai dengan rumpai-rumpai beracun yang boleh membunuh pohon perpaduan. Langit di negeri ini jangan sama sekali dibenarkan untuk diselubungi awan-awan berasid (acidic) yang akan menghujani bumi dengan fahaman ekstremis berlandaskan perkauman dan berpaksikan agama,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 di Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

Baginda bertitah, kerukunan perhubungan kaum yang diasaskan sejak era pramerdeka dan terus dipupuk sepanjang era pasca merdeka, tidak boleh diperjudikan.

“Banyak negara di dunia berakhir dengan perang saudara kerana rakyatnya memilih untuk berbalah, bertelagah, bersengketa dan berkonfrontasi atas faktor-faktor perbezaan kasta, kaum, warna kulit dan agama.”

“Jika kita mahu memperbesarkan perbezaan, kita sebenarnya memilih membina tembok pemisah untuk tidak memungkinkan terbinanya masyarakat yang bersatu, menerima dan meraikan perbezaan dan menghormati realiti kepelbagaian.”

Justeru, setiap individu berperanan memastikan hubungan harmoni antara kaum terus disuburkan dan persefahaman antara pengikut pelbagai agama terus dipupuk. 

“Corak kepimpinan Rasulullah SAW sewaktu memimpin masyarakat pelbagai bangsa dan berlainan agama di Madinah, perlu dijadikan tauladan.”

Ia juga termasuk hikmah tersirat di sebalik Perjanjian Hudaibiyah yang membuka jalan kepada pembebasan Tanah Suci Makkah dan penyatuan perhubungan orang Islam dengan kabilah Arab lain yang membolehkan masyarakat hidup aman damai. 

“Islam hendaklah dilihat sifatnya sebagai rahmat bagi keseluruhan alam dengan pegangan teguh kepada prinsip keadilan sejagat, menyeru kepada keamanan dan mempelopori kedamaian.”

Titah baginda lagi, persefahaman dan hubungan harmoni antara kaum adalah faktor penentu untuk menjamin suasana hidup bernegara dan bernegeri yang aman serta harmoni.

“Oleh itu, setiap individu berperanan memastikan hubungan harmoni antara kaum terus disuburkan dan persefahaman antara pengikut pelbagai agama terus dipupuk.”

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia