Tidak Sambung Belajar Lepas SPM: Duit Lebih Penting?

Tidak Sambung Belajar Lepas SPM: Duit Lebih Penting? | IKRAM

SPM 2022 telah membangkitkan beberapa isu hangat melibatkan keprihatinan terhadap masa depan generasi anak muda, pewaris negara. 

Ia adalah putaran isu berkaitan kadar keciciran pelajar daripada sistem persekolahan (0.99 peratus di peringkat sekolah menengah) dan 33,906 calon yang gagal SPM (8.4 peratus).

Manakala 30,000 yang mendaftar tetapi tidak hadir mengambil SPM dan kemerosotan pencapaian mata pelajaran matematik (seorang daripada empat calon gagal dengar kadar 24 peratus), termasuk yang hangat dibincangkan ialah trend pelajar yang memilih untuk tidak sambung belajar.

Statistik yang diperoleh menerusi sistem e-Profil Kerjaya Murid (ePKM) menunjukkan seramai 180,680 atau 48.74 peratus pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2021 memilih untuk tidak menyambung pelajaran.

Ini merupakan trend peningkatan daripada tahun sebelumnya apabila seramai 115, 939 atau 35,15 peratus pelajar direkodkan tidak melanjutkan pelajaran pada tahun 2020.

Sehubungan itu, kaji selidik yang  pernah dijalankan oleh Jabatan Perangkaan pada 31 Julai tahun lalu mendapati kira-kira 72.1 peratus pelajar lepasan SPM memilih untuk berhenti belajar setakat itu.

Apa yang sedang diceritakan oleh angka-angka ini dan apa tindakan yang patut dibuat?

Dalam pendidikan, waima seorang murid yang gagal, tercicir atau tidak sambung belajar harus dianggap isu yang perlu diberikan perhatian. Hal ini kerana pendidikan berupaya menjadi pemberat yang signifikan terhadap masa depan hidup seseorang.

Faktor Keengganan 

Banyak faktor yang bersifat multidimensi menyumbang kepada keadaan ini seperti kesulitan hidup, peluang pekerjaan menerusi ekonomi gig, pengaruh media sosial serta tanggapan bahawa pendidikan tinggi bukan jaminan hidup yang lebih baik.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying  dalam sidang parlimen pada 12 Jun lepas mengatakan punca utama keciciran pelajar di sekolah menengah berlaku kerana kebanyakan pelajar sekolah menengah daripada keluarga miskin sudah mula bekerja untuk menanggung keluarga, menyebabkan mereka memilih tidak menyambung pelajaran. 

Bersangkutan dengan itu, Naib Presiden Persatuan Penunggang P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani menganggarkan 20 peratus daripada mereka yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dijangka akan menjadi pekerja penghantaran p-hailing tahun ini.

Menurut beliau, peningkatan itu adalah berikutan tekanan ekonomi berterusan yang dihadapi rakyat Malaysia sekarang, menyebabkan ramai pemegang SPM mencari kerja segera untuk membantu keluarga mereka.

Oleh itu, keputusan sebilangan pelajar menamatkan belajar demi mencari pekerjaan bagi menampung hidup tidaklah salah sepenuhnya.

Manifestasi keperluan hidup 

Melihat dari kaca mata yang positif, tindakan ini merupakan manifestasi  yang terhasil daripada keinginan untuk berjuang memenuhi keperluan hidup dengan titik peluh sendiri berdasarkan upaya dan keadaan semasa.

Anak-anak muda seperti ini mempunyai hala hidup tersendiri, namun harus tetap dipandu.

Tatkala anak-anak muda ini memilih keputusan menamatkan belajar untuk hidup mandiri, para pemegang taruh seperti warga pendididik, pihak kerajaan, pemain industri dan masyarakat awam harus bergabung tenaga tangani situasi ini agar peluang sentiasa terbuka untuk golongan ini kembali belajar semula. 

Walau apa jua faktor, sebab dan alasan tidak menghabiskan persekolahan atau tidak menyambung pelajaran, sistem pendidikan negara ini bersedia untuk menerima pelajar-pelajar ini semula ketika telah ada kesediaan dan kemahuan untuk memakai topi pelajar semula. 

Komitmen dan tanggungjawab yang semakin meningkat dan kos hidup yang berat beriringan peningkatan usia tentunya akan menjentik pemikiran mereka untuk mengembangkan pendapatan dan ada kerjaya yang stabil. 

Wujudnya ekosistem yang kondusif bagi golongan ini untuk memasuki semula sistem pendidikan dalam situasi yang pelbagai seperti sudah ada komitmen pekerjaan dan tanggungan keluarga, dapat mengupayakan keadaan mereka untuk belajar dalam ruang dan masa yang fleksibel. 

Kesedaran tentang pentingnya pendidikan harus ditekankan dari awal lagi dengan mempromosikan saluran-saluran yang sedia ada untuk memenuhi kepelbagaian minat dan kemahiran pelajar.

TVET dan AiI

Cadangan memperkenalkan aliran TVET seawal Tingkatan 1 dilihat membuka ruang lebih luas pada pelajar untuk awal-awal lagi berfikir tentang perancangan kerjaya mereka, sama ada memilih bekerja dalam sektor industri atau melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Ini sekali gus dapat mempersiapkan minda dan menekadkan semangat mereka untuk fokus dalam bidang yang dipilih sehingga tercapai cita-cita.

Sedari awal mereka telah menanam misi kerjaya pada masa hadapan sesuai dengan minat dan kemahiran. 

Inisiatif kerajaan mahu memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dilihat sebagai langkah menarik dalam menjadikan TVET alternatif sebagai laluan untuk peningkatan kerjaya. 

Namun, program TVET masih kurang dikenali dalam masyarakat dan sering disalah tanggap sebagai tempat orang yang tiada pilihan ke institusi pengajian. Stigma ini harus diperbetulkan.

Menurut Kajian Pengesanan Graduan TVET sehingga 31 Oktober lepas, 98.29 peratus lepasan kolej vokasional telah diambil bekerja, melanjutkan pelajar ke pengajian tinggi atau menjadi usahahawan muda. Ini adalah pencapaian yang membanggakan.

Sehubungan itu, perancangan kerajaan melaksanakan program Academy in Industry (AiI) dilihat sebagai pilihan alternatif bagi pelajar lepasan SPM yang perlukan peluang pekerjaan dalam bidang yang diminati.

AiI memberi peluang kepada pelajar lepasan SPM untuk dilatih sebagai pekerja mahir dalam tempoh 18 bulan sebelum diberikan Sijil Kemahiran Malaysia dan peluang pekerjaan. 

Dalam pada itu, mereka turut boleh memilih untuk sambung pelajar mengambil kelayakan yang lebih tinggi selepas itu jika belum mahu bekerja. 

Inisiatif AiI adalah berlandaskan kepada pendekatan  demand-driven yang dilaksanakan atas dasar permintaan industri melalui konsep Place and Train dapat memenuhi ciri-ciri pekerja yang memenuhi keperluan industri.

Kembali belajar

Bagi kebanyakan orang, antara sebab utama kerja adalah kerana perlukan duit. Maka, bekerja selepas SPM tidak harus dipandang sepi.

Kita tidak boleh menghalang para pelajar ini mencari pendapatan bagi kelangsungan hidup, tetapi kita boleh mempengaruhi dan membangunkan pemikiran mereka untuk berfikir bagaimana mengembangkan pendapatan apabila semakin berusia dan tanggungan menjadi lebih berat.

Justeru itu, perlu ada formula untuk mengembalikan para pelajar ini semula ke sistem pendidikan. 

Tentunya keadaan pelajar yang sambung sejurus lepas SPM pada usia 17 tahun tidak sama dengan keadaan pelajar yang lebih berusia dengan tanggungan keluarga dan komitmen pekerjaan. 

Duit bukan segalanya, tetapi segalanya memerlukan duit. Sehubungan itu, adanya ilmu, maka duit akan datang. Tiada ilmu, duit boleh terbang.

Pendidikan bukan jaminan kepada mobilisasi sosial, tetapi ilmu dapat membangunkan pemikiran dan diperlukan dalam meneruskan kehidupan yang sejahtera.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia