Tidak Perlu Hafal Sifir Untuk Pandai Matematik?

Jujurnya, saya tidak rasa saya merupakan seorang yang begitu sesuai untuk komen berkenaan hal ini. Saya bukanlah seorang cikgu Matematik bertauliah.

Saya juga bukanlah seorang graduan Matematik mahupun graduan pendidikan dengan major atau minor dalam Matematik.

Tetapi, saya pernah juga berada pada zaman kegemilangan saya dengan subjek Matematik dan Matematik Tambahan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

Saya tidak pernah dapat bawah daripada A+ untuk Matematik sejak daripada Tingkatan 4. Manakala untuk Matematik Tambahan, saya tidak pernah dapat bawah daripada A. Sejak peperiksaan pertengahan tahun Tingkatan 4, gred Matematik Tambahan saya tidak pernah bawah daripada A+.

Mungkin itu sahajalah ‘kelayakan’ yang saya ada untuk mengulas berkenaan isu ini.

Namun begitu, mengapa tiba-tiba saya mahu timbulkan isu ini? Mengapa tiba-tiba timbul persoalan mengenai keperluan hafal sifir untuk pandai matematik?

Kecoh Di Twitter

Buat pengetahuan pembaca, pada bulan lalu, saya terbaca satu ciapan di Twitter oleh pengguna @cyrildason yang mempertahankan tindakannya menarik keizinan untuk anaknya menggunakan telefon bimbit dan komputer riba sehingga dia mampu mengingat sifir.

Salah seorang pengguna Twitter lain, @TechieKitteh kemudiannya memetik ciapan tersebut, lantas mengkritik tindakan bapa tersebut dengan mengatakan bahawa tindakannya ‘menghukum’ anak sebegitu rupa kerana tidak mampu mengingat sifir sebagai tidak patut.

Kritikan terhadap cara asuhan bapa itu mendapat perhatian ramai warga maya di laman tersebut. Sungguhpun begitu, ada segelintir sahaja individu yang tidak setuju dengan cara asuhan bapa tersebut. Sebaliknya, rata-rata warga maya di sana masih setuju dengan cara asuhan bapa itu.

Tetapi, cara asuhan bapa tersebut tidaklah terlalu menarik perhatian saya. Yang lebih menarik perhatian saya ialah kritikan pengguna @TechieKitteh yang mengatakan bahawa menghafal sifir merupakan sesuatu yang bodoh kerana pembelajaran matematik bukan terletak pada hafalan. 

Sebelum saya melanjutkan perbincangan mengenai kritikan terhadap tindakan menghafal sifir, suka saya berkongsi kenangan saya ketika sekolah rendah yang dipaksa menghafal sifir ketika zaman 2000-an. 

Kenangan Hafal Sifir

Ketika saya sekolah rendah dahulu, saya dipaksa menghafal sehingga sifir sembilan. Pada hari-hari tertentu, saya akan diuji sama ada saya telah mampu mengingat sifir-sifir tertentu. Jika saya tidak mampu membaca sifir tersebut dengan lancar, saya akan dirotan pada tapak tangan. 

Mengenang kembali sejarah lampau dipaksa menghafal sifir dan diugut dengan rotan, saya amat membenci hafal sifir. Saya tidak gemar menghafal sesuatu secara buta-buta tanpa dapat memahami sebab musabab sebalik sesuatu fakta.

Hakikatnya, dalam pengalaman saya mempelajari matematik sejak sekolah rendah hinggalah peringkat asasi universiti, saya dapati kemahiran matematik sebenarnya merupakan kemahiran yang bersifat logik yang lebih menuntut kefahaman berbanding hafalan.

Maka, bagi menjawab sebahagian daripada kritikan pengguna Twitter @TechieKitteh, saya sebenarnya bersetuju dengan kenyataan bahawa kemahiran matematik bukanlah terletak pada kaedah hafalan.

Malah kini pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan asasi di universiti saya sekalipun, rumus (formula) matematik juga sudah disediakan dalam halaman-halaman terawal kertas soalan peperiksaan. 

Benar, kebanyakan guru Matematik yang saya jumpa sendiri pun selalu menekankan pemahaman terhadap konsep matematik yang sesuai dan bukanlah pada hafalan membabi-buta. 

Seterusnya, kita amati pula satu sebahagian lagi kritikan pengguna Twitter @TechieKitteh; adakah menghafal sifir itu sesuatu tindakan yang bodoh, memandangkan pembelajaran matematik bukan berteraskan hafalan?

Respons saya bagi kritikan ini secara ringkasnya amatlah mudah. Mahu tidak mahu, sifir perlu dan wajib diingati bagi memahirkan diri dalam asas utama matematik. 

Benar, di samping memahami konsep asas pendaraban sebagai penambahan nombor yang sama secara berulang kali, mengingat sifir sebagai satu fakta Matematik juga perlu dititikberatkan bagi membolehkan seseorang individu mengorak langkah seterusnya dalam pembelajaran matematik dan untuk kemandirian kehidupan secara umumnya.

Forum Quora

Sebagai sokongan terhadap hujah saya di atas, suka saya memetik suatu balasan terhadap satu soalan dalam forum di laman Quora yang mana seorang pengguna dalam laman tersebut memberitahu bahawa beliau telah mengelak daripada terpaksa menghafal sifir ketika sekolah dahulu dan beliau bertanya sama ada kemahiran mengingat sifir itu diperlukan dalam hidup.

Satu komen balasan terhadap soalan tersebut telah menarik minat saya yang memulakan jawapannya dengan bertanya kepada pengguna Quora tersebut untuk menyatakan bilangan kotak dalam gambar di bawah tanpa mengira satu-persatu.

Beliau dengan mudah memberitahu, kebanyakan orang mampu menjawabnya dengan pantas tanpa perlu mengira satu-persatu. Mereka hanya perlu mengingat kembali berapakah jawapan bagi 5×6 iaitu 30, kerana mereka semua pernah menghafal sifir suatu ketika dahulu. 

Di samping itu, satu kelebihan ketara mengingat sifir ialah seseorang dapat mengelak daripada penipuan dalam kehidupan dewasa. 

Contohnya, apabila seseorang diberi invois caj untuk sesuatu barangan atau perkhidmatan, kemudian dikenakan pula cukai atau caj tertentu dalam bentuk peratusan, kita sering berdepan dengan kemungkinan berlaku penipuan dalam transaksi perniagaan.

Tanpa mengingat fakta dalam sifir, seseorang itu tidak mampu mencongak pendaraban dengan pantas, lantas tidak mampu menduga sama ada caj atau kos bersih sesuatu barangan atau perkhidmatan itu bersesuaian dengan peratusan cukai dan caj tambahan yang dikenakan. Hal ini kemudiannya memudahkan individu tersebut terdedah dengan penipuan peniaga. 

Jelaslah kini bahawa mengingat sifir merupakan sesuatu yang amatlah penting bagi mempelajari Matematik dan untuk kita hidup di alam nyata secara umumnya.

Hafal Sifir Tindakan Bodoh?

Baik, kini kita lanjutkan kepada perbincangan kita pada tahap seterusnya; adakah menghafal sifir ini tindakan yang bodoh?

Mengenang kembali pengalaman saya ketika kecil yang terpaksa menghafal sifir membabi buta, sehingga diugut dengan rotan dan pernah dirotan dan juga mengambil kira bahawa kebanyakan kemahiran matematik lebih berteraskan kefahaman konsep, saya dapat lihat rasionalnya pandangan sinis pada amalan menghafal sifir.

Namun, melihat pada pengalaman saya yang pernah mengajar rakan-rakan saya dan pengalaman saya mengajar anak-anak kecil, saya dengan mudah menjawab, tindakan menghafal sifir bulat-bulat sebagai suatu fakta matematik bukanlah suatu tindakan bodoh dalam sesetengah situasi. 

Sesuatu yang kita perlu faham di sini ialah, sifir perlu dikuasai seawal dan secepat mungkin, tanpa perlu menyeksa anak-anak secara fizikal, mental, mahupun emosi.

Maka, yang perlu diperdebatkan ialah bukannya sama ada menghafal sifir itu perlu atau tidak, tetapi sebenarnya cara yang sesuai bagi seseorang individu itu mampu menguasai sifir.

Prinsipnya mudah sahaja, gunakan apa-apa sahaja kaedah hafalan yang sesuai untuk anak murid anda dan mengikut kelapangan anda sebagai seorang pengajar dan guru. 

Berbalik kepada soalan kontroversi, adakah menghafal sifir secara membabi buta itu tindakan bodoh? Pada saya tidak. 

Bagi saya, kaedah ini kaedah yang pantas dan sesuai untuk kanak-kanak yang dianugerahkan memori fotografik ataupun memori yang kuat secara umumnya. Jika dia ada anugerah Tuhan tersebut, maka manfaatkanlah sebaik-baiknya.

Selain itu, kaedah menghafal bulat-bulat ini juga sesuai digunakan untuk sesetengah kanak-kanak dan individu agar dapat didorong dengan jenis-jenis pendorong tertentu. Contohnya, sama ada dengan dorongan hadiah ataupun sekatan ringan terhadap hiburan yang tidak terlalu menyeksa anak-anak.

Contohnya, dalam kes pengguna Twitter @cyrildason, beliau menyekat anaknya daripada menggunakan telefon bimbit dan komputer riba sehingga anaknya mampu menguasai sifir dengan baik. 

Pada pendapat saya, jika anak tersebut tidak terlalu tertekan menghafal sifir akibat sekatan tersebut dan anak itu juga akhirnya menunjukkan peningkatan dalam pencapaiannya, tidak ada masalah untuk ibu bapa mengimplementasi kaedah tersebut. 

Kaedah Lain Ingat Sifir

Jika seseorang individu itu dilihat mempunyai kemampuan ingatan yang agak lemah, sebenarnya ada kaedah lain dalam bagi mengingat sifir iaitu dengan kaedah memperkukuh pemahaman dalam konsep pendaraban.

Seorang penulis blog dalam alam maya telah berkongsi beberapa kaedah menguasai pendaraban tanpa perlu menghafal sifir berdasarkan konsep matematik ‘Common Core’ di Amerika Syarikat (AS).

Konsep ini berteraskan aplikasi konsep pendaraban dalam alam nyata yang melibatkan beberapa aktiviti menggunakan objek-objek dan latihan bersifat aktif.

Antara contoh aktiviti yang dilakukan ialah membahagikan sekumpulan objek dalam beberapa kumpulan secara sama rata. Contohnya, seorang murid pada mulanya diberi 12 ketul objek, kemudian diarahkan membahagikannya secara sama rata kepada enam kumpulan, dan seterusnya kepada empat, tiga dan dua kumpulan, sehinggalah mereka mahir konsep tersebut.

Aktiviti yang diterangkan di atas hanyalah satu sahaja daripada berbagai-bagai lagi aktiviti pengukuhan konsep pendaraban yang diterangkan olehnya. 

Namun pada pendapat saya, meskipun kaedah ini dapat mengelak anak murid daripada menghafal sifir dan mengukuhkan kefahaman matematik, selari dengan semangat pembelajaran matematik yang sebenar, kaedah ini sebenarnya tidak realistik untuk diaplikasikan oleh kebanyakan guru yang mempunyai anak murid yang ramai dan untuk ibu bapa yang bekerja.

Hal ini disebabkan oleh keperluan kaedah ini yang menuntut pengajar untuk sentiasa membimbing anak-anak murid mereka secara aktif dan keperluan meluangkan masa yang amat banyak bersama anak-anak dengan impak yang sedikit sahaja.

Petua dan Helah 

Maka, saya mencadangkan, jika seseorang individu itu tidak mampu menghafal sifir secara bulat-bulat secara bersendirian, ibu bapa atau guru boleh mengguna kaedah mengajar sifir dengan menggunakan petua dan helah (tips and tricks) yang tertentu. 

Contohnya, terdapat banyak video di YouTube yang mengajar petua dah helah menguasai sifir. Salah satu video menerangkan bahawa penguasaan sifir tidak semestinya perlu dilakukan bulat-bulat mengikut urutan iaitu mula daripada sifir satu, kemudian dua, tiga, empat dan seterusnya. 

Dalam video tersebut, beliau menceritakan dahulu bahawa anak-anak boleh diajar sifir satu dan sepuluh dengan mudah tanpa perlu apa-apa petua.

Sifir dua dan tiga pula boleh diperkasakan dengan kaedah pengiraan gandaan dua dan tiga secara berurutan. Sifir sembilan pula mempunyai helah yang amat mudah untuk dikuasai. Sifir lima juga amat mudah kerana hujungnya hanya akan berakhir dengan lima atau sifar.

Kaedah ini saya amati dilihat lebih sesuai untuk anak-anak yang memorinya tidaklah begitu kuat dan tidak atau belum mampu berdikari untuk belajar sendiri dan tidak mampu didorong dengan hadiah atau sekatan keistimewaan (privileges) tertentu. 

Dengan menggunakan petua dan helah yang banyak terdapat dalam YouTube, ibu bapa boleh memandu anak-anak mereka menghafal sifir secara aktif di samping ibu bapa itu juga dapat meluangkan masa bersama-sama anak dan akhirnya, mempercepatkan anak-anak mereka memahirkan diri menguasai sifir.

Sifir Wajib Dihafal 

Kesimpulannya di sini, mahu tidak mahu, sifir wajib dihafal untuk pandai matematik dan kemandirian hidup. 

Tindakan menghafal sifir itu pula bukanlah sesuatu yang bodoh, malah merupakan salah satu cara yang boleh jadi berkesan untuk anak-anak yang kuat memorinya atau mampu didorong dengan dorongan tertentu. 

Bagi anak-anak yang agak lemah pula, ibu bapa atau guru perlu bersifat aktif mengajar anak murid mereka menguasai sifir dengan petua dan helah tertentu bagi mempercepatkan mereka menguasai sifir. 

Mahu tidak mahu, untuk hidup, sifir ini perlu dihafal. Tidak kiralah cara apa sekalipun, asalkan ia menjadi, sesuai dengan individu tersebut dan tidak menyeksa fizikal, mental dan emosi, tiada masalah pun malah wajib untuk semua individu yang berkemampuan mental untuk menghafal sifir. 

Wan Salman Wan Sallam ialah aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia. 




3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia