Beliau menyatakannya semasa merasmikan Konvensyen Mahasiswa IKRAM Internasional (KONSISTEN 2015) yang telah berjaya dilangsungkan pada 7-10 Ogos yang lalu di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) mengumpulkan hampir 350 aktivis dakwah dalam kalangan mahasiswa Malaysia dari serata dunia yang sedang kembali bercuti di Malaysia.
Katanya, metodologi dakwah yang telah digunakan oleh baginda s.a.w. untuk mewujudkan perubahan dan pengislahan merupakan metodologi yang paling tepat dan paling pantas untuk merungkai pelbagai persoalan dan kemelut yang dihadapi umat manusia.
“Nabi kita sebagai nabi akhir zaman, telah menunjukkan kepada kita dan kepada dunia, dan membuktikan kepada sejarah, bahawa laluan atau metodologi yang telah digunakan untuk mewujudkan perubahan, pengislahan, dengan realiti yang dihadapi, (iaitu) realiti jahiliah zaman baginda merupakan satu pendekatan metodologi yang paling tepat, paling pantas, untuk merungkai persoalan-persoalan dan kemelut yang wujud yang dihadapi umat manusia pada zaman itu,” jelas beliau.
Tambah beliau, sebahagian daripada misi perubahan dan pengislahan yang telah dilaksanakan oleh oleh para anbia’ dan mujaddid, mestilah disempurnakan oleh para duat yang menjadi penyambung kepada lisan mereka serta pewaris kepada perjuangan mereka.
“Kita ingin meletakkan diri kita sebagai golongan tersebut, golongan mujaddidun (pembaharuan), bukan golongan qa’idun, golongan yang duduk (tidak buat apa-apa),” ujar beliau.
Menurut Dr Parid, golongan pendakwah mesti memiliki kualiti-kualiti yang tertentu, dan perkara itu tidak boleh dicapai melainkan menerusi satu proses pembinaan manusia yang mesti dilakukan (tarbiah).
“Itulah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., dan itulah tugas utamanya, (iaitu) untuk membina manusia sebelum membina negara, sebelum membina tamadun,” jelas beliau lagi.
Bagi beliau, sesebuah negara dalam bentuk baru yang membawa ufuk baru kepada manusia dan kemanusiaan, tidak akan berjaya dibina jika manusia baru, pembinanya tidak dibina terlebih dahulu.
Katanya, inilah yang telah dilakukan oleh baginda Rasululullah s.a.w. sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Jumua’ah ayat 2 yang bermaksud:
“Dia-lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak)…”
Konvensyen tahunan selama empat hari anjuran oleh Biro Seberang Laut (BSL) Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ini bukan sahaja untuk merapatkan ukhuwah antara benua, tetapi juga bagi membimbing, melatih dan menyatukan fikrah serta gerak kerja dakwah sesama anak muda ini.
Menurut Pengarah KONSISTEN 2015 Mohamad Khairul Anuar Deris, konvensyen ini diharapkan menjadi medan perbincangan dan perkongsian pengalaman para mahasiswa Malaysia di luar negara antaranya berkaitan pengurusan organisasi, pembinaan kader-kader dakwah, permulaan dakwah di tempat baru dan pengurusan masyarakat yang berbeza ragam dan pendapat.
Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Timbalan Presiden IKRAM Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus merangkap Pengerusi BSL, Ketua Wanita Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dan beberapa Ahli Jawatankuasa Pusat (JKP) IKRAM dan Wanita IKRAM. Setelah perasmian, para peserta bersoal jawab bersama Ahli JKP IKRAM dan Wanita IKRAM mengenai pelbagai persoalan dakwah dan ummah.
Menggabungkan mahasiswa Malaysia dari pelbagai negara, para peserta KONSISTEN 2015 mengambil peluang untuk saling bertaaruf dengan lebih dekat melalui pembahagian kumpulan, mengikuti daurah mengenai tanggungjawab dakwah, bengkel kemahiran kepimpinan dan berorganisasi, berkongsi pengalaman dakwah dan juga mengikuti forum mengenai peranan pemuda dalam mencapai negara rahmah.
Dalam konvensyen ini, aktiviti fizikal sepeti permainan dan explorace turut diadakan bagi membentuk mahasiswa yang sentiasa cergas menjalankan aktviti dakwah antaranya menyampaikan ‘box of rahmah’ kepada golongan memerlukan, menyebarkan pamflet dan bercerita tentang islam kepada non-Muslim di sekitar Gombak.
Nilai rabbani turut diterapkan kepada para peserta sepanjang konvensyen ini di mana mereka solat fardu berjamaah, solat sunat dhuha, membaca al-Quran, membaca zikir ma’thurat, mendengar tazkirah dan melakukan qiyamullail.
Semoga bekalan yang dibawa oleh para peserta dalam kalangan mahasiswa dapat diaplikasikan dan dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti dakwah apabila pulang ke negara tempat belajar masing-masing nanti, insya-Allah.