Terusan Suez dan implikasi koridor global

Sejak perasmiannya pada tahun 1869, Terusan Suez telah melalui beberapa tahap pengubahsuaian. Kali terakhirnya ialah pada tahun 2015 untuk menstabilkan panjangnya pada 193.3 kilometer dan lebarnya sekitar 335 meter.

 

Pengubahsuaian itu bertujuan membolehkan pergerakan kapal ke dua arah pada masa yang sama, bukannya bergantung pada satu laluan sahaja pada satu-satu masa kerana ia mempengaruhi masa penghantaran.

 

Menurut Suez Canal Authority, terusan ini dapat menampung 100 peratus kapal kontena global, 93 peratus kapal pukal kering, sekitar 62 peratus kapal tangki minyak dan 100 peratus kapal-kapal lain.

 

Tamparan hebat negara piramid

 

Ketika dunia sedang mengalami ‘ujian’ besar Covid-19 yang belum nampak noktahnya, terjadi pula tragedi gangguan ‘lalu lintas’ di Terusan Suez kerana kapal MV Ever Given menghalang laluan Terusan Suez pada hari Selasa, 23 Mac lalu berikutan ribut pasir yang melanda, hingga menjadi pukulan hebat yang menyakitkan buat Mesir dan dunia.

 

Seolah-olah sudah jatuh ditimpa tangga, pandemik koronavirus tidak cukup sakit untuk ditanggung negara Mesir pada masa yang sukar ini, sehingga kapal kontena raksasa itu melintas dan terkandas di Terusan Suez yang melintasi salah satu jalan air terpenting untuk perdagangan antara Timur dan Barat dunia.

 

Pada 27 Mac 2021, bangunan 10 tingkat runtuh di timur Kaherah menyebabkan 18 terbunuh dan lebih 24 orang cedera. Manakala sebelumnya pada 26 Mac pula, seramai 32 orang terkorban dalam kemalangan kereta api di Mesir.

 

Dengan beberapa tragedi yang terjadi di Mesir dalam jangka masa yang dekat, sewajarnya negara itu bermuhasabah atas apa yang terjadi ini dan menilai kembali perjalanan tadbir urus negara sejak kudeta 2013 yang menjatuhkan Presiden yang sah, Dr Mohamed Morsi.

 

Kerugian yang terpaksa ditanggung

 

Untuk setiap hari laluan yang melalui terusan terkandas menjadikan Mesir menanggung kerugian lebih daripada 15 juta dolar untuk perjalanan kapal, kecuali kos yang terlibat dalam menghentikan perkhidmatan kapal dan anak kapal mereka dan kerja-kerja lain yang menyumbang kepada menghidupkan bandar-bandar Mesir di sepanjang jalan air ini.

 

Terusan Suez adalah salah satu daripada lima sumber pendapatan negara Mesir yang paling tinggi dengan pendapatan tahunan yang mencapai lebih USD5.6 bilion pada tahun lalu.

 

Boleh dikatakan bahawa Terusan Suez adalah salah satu sektor terpenting yang membantu Mesir mencapai sasaran pembangunannya dalam mendepani krisis ekonomi kerana pendapatannya stabil berbanding dengan pendapatan daripada pelancongan, perjalanan dan pelaburan asing serta sektor lain yang terdedah terhadap krisis seperti pandemik yang melanda ini.

 

Kestabilan pendapatan tersebut mencerminkan fakta bahawa terusan ini adalah salah satu jalan air global yang paling penting dan paling selamat untuk kapal dan kontena, yang merupakan kaedah terpenting untuk mengangkut barang dagangan ke sesebuah negara.

 

Menurut data daripada Suez Canal Authority, Terusan Suez adalah salah satu jalan air terpenting di dunia dan merupakan penghubung terpendek antara Asia dan Eropah kerana 12 peratus perdagangan global melaluinya. Manakala sekitar 24 peratus daripada keseluruhan perdagangan kontena global yang melintasi antara Asia dan Eropah melalui terusan ini.

 

Kira-kira 50 buah kapal melalui terusan tersebut setiap hari dan jumlah kapal yang melalui terusan setiap tahun sekitar antara 16,000 hingga 18,000 kapal setiap tahun. Sementara itu, jumlah kapal yang melewati terusan itu melebihi 18,000 kapal pada tahun 2018 dengan jumlah muatan hampir 1 bilion tan.

 

Menurut data utama Terusan Suez, lebih 19,000 kapal melintasi terusan pada tahun 2020 dengan jumlah muatan sekitar 1.2 bilion tan rentetan penurunan perdagangan global disebabkan oleh Covid-19 yang melanda dunia.

 

Kesan kepada perdagangan global

 

Rentetan daripada penutupan terusan ini memberi kesan yang lebih buruk kepada perdagangan global, kerana dianggarkan ia akan menjejaskan antara 6 hingga 10 bilion dolar seminggu menurut syarikat insurans Jerman, Alliance hingga boleh menyebabkan harga pengangkutan, insurans, kos pengeluaran dan bahan bakar dunia melonjak beberapa kali ganda.

 

Ini dibuktikan dengan kenaikan harga minyak sebanyak 6 peratus, kurang daripada 48 jam selepas insiden kapal tersangkut di terusan tersebut. Lalu lintas yang melalui terusan itu mewakili 10 hingga 15 peratus daripada semua barangan yang dibawa oleh kontena ke pelbagai belahan dunia.

 

Antara barang yang dibawa di laluan ini ialah dari sumber tenaga, bahan mentah, bahan perindustrian, haiwan hidup, dan lain-lain lagi.

 

Tujuan utamanya ke barat ialah ke pasaran Eropah yang dibawa oleh kapal-kapal dari Jerman, Perancis, Itali dan Sepanyol. Manakala destinasi ke timur, sebahagian besar kapalnya menuju ke China, India, Jepun, Korea Selatan dan negara-negara Asia Timur serta negara Selatan yang lain.

 

Risiko terputus bekalan

 

Menurut penganalisis data dan syarikat pengesan kapal, sekitar 206 kapal ketika ini tersekat di pintu masuk ke Terusan Suez di utara dan selatan.

 

Lebar terusan yang dianggarkan sekitar 335 meter itu tidak memungkinkan margin kapal bergerak dan berpusing setelah memasuki terusan, menyebabkan kapal-kapal lain terpaksa menunggu sehingga situasi ini selesai dengan mengapungkan kembali kapal yang terdampar dan membuka kembali laluan air tersebut.

 

Memandangkan China telah menjadi rakan dagang terpenting di Eropah setelah mengatasi kedudukan Amerika Syarikat tahun lalu, Jerman berada di barisan hadapan negara-negara yang terjejas berikutan penutupan terusan itu. Sebagai contoh, Kiel Institute for the World Economy menganggarkan bahawa 8 hingga 9 peratus eksport dan import Jerman adalah melalui laluan terusan ini. 

 

Maka, penutupan itu mempengaruhi hubungan ekonomi dengan China yang telah menjadi rakan dagang terpenting di Jerman dan menunjukkan bahawa dua pertiga barang yang ditukar antara kedua-dua pihak diangkut dengan kapal yang melalui Terusan Suez.

 

Persekutuan Industri Jerman bimbang bahawa bekalan bahan dan peralatan industri akan terganggu yang menyebabkan kekurangan bekalan banyak barang dan perkhidmatan seperti sebagai pembuatan alat elektronik, kereta, komunikasi, peralatan tenaga boleh diperbaharui dan bahan makanan.

 

“Hubungan menjadi goyah antara Asia dan Eropah berikutan  insiden yang terjadi ini berikutan tergendalanya cabang industri dengan pengeluaran yang diprogramkan seperti industri automobil,” kata TImbalan Pengarah Eksekutif Persekutuan Industri Jerman, Holger Loch.

 

Dunia Arab paling terjejas

 

Realitinya dunia Arab, negara Eropah dan Turki adalah antara wilayah yang paling terkesan dengan tragedi yang berlaku ini. Begitu juga ia memberi kesan kepada China yang menjadi pembekal barangan terpenting atau salah satu yang paling penting untuk pasaran negara-negara Afrika Utara dan Mediterranean Timur dengan kenaikan harga hingga 10 peratus dan di Maghribi hingga lebih 18 peratus.

 

Bagi negara Teluk pula, mereka mengeksport sebahagian besar minyak dan gas cecair melalui terusan itu. Dianggarkan bahawa antara 1 juta hingga 1.5 juta tong minyak setiap hari dihantar ke pasaran Eropah, Turki serta pasaran negara-negara lain.

 

Cabaran terbesar bagi negara-negara itu adalah kebergantungan pasaran mereka dengan harga antara 20 hingga 30 peratus pada barang kegunaan yang mereka import dari Eropah dan Amerika Utara melalui Terusan Suez ini.

 

Sekiranya krisis berlanjutan dan stok kilang kehabisan, kekurangan bahan mentah ini tidak dapat dielakkan, ia akan menyebabkan harga yang lebih tinggi sekali gus kuasa beli dan kehendak golongan yang memerlukannya.

 

Alternatif kepada Terusan Suez

 

Rentetan penutupan terusan tersebut menyebabkan interaksi global terjejas, terutamanya di Eropah. Pada saat getir dan pelbagai persepsi tentangnya, negara Mesir terus bekerjasama dengan kepakaran antarabangsa dan sebuah syarikat penyelamat Belanda untuk menangani musibah in walaupun ia bukan mudah dan memakan waktu yang lama.

 

Tempoh yang diperlukan untuk mengapung dan menyeret kapal tangki yang terdampar di terusan itu memakan waktu yang panjang hingga menyebabkan beberapa syarikat dan negara telah mula mengalihkan kapal yang mengangkut barangan mereka melalui Tanjung Harapan (Cape Of Good Hope), Afrika Selatan walaupun laluan itu memakan waktu tambahan tujuh hingga ke 10 hari berbanding ketika melalui Terusan Suez.

 

Keadaan itu juga akan menyebabkan kenaikan kos pengangkutan dan insurans dengan peratusan minimum 30 hingga 40 peratus. Selain Tanjung Harapan, banyak sumber melaporkan bahawa beberapa kapal mengangkut barang mereka dari Asia Timur ke Eropah melalui Rusia menggunakan pelabuhan Vladivostok dan landasan kereta api Rusia.

 

Terdapat juga alternatif lain iaitu dengan menggunakan Laut Utara untuk pengangkutan lebih besar daripada sebelumnya. Namun, ia perlu menghadapi suhu sejuk yang tinggi dan memerlukan pemecah ais untuk memudahkan perjalanan kapal-kapal kontena melaluinya.

 

Kesimpulan

 

Setelah tersekat hampir seminggu, akhirnya dunia kembali ceria apabila kapal MV Ever Given berjaya dialihkan dan Terusan Suez kembali dibuka pada Isnin, 29 Mac lalu bagi membolehkan kapal-kapal perdagangan yang terkandas menyambung semula perjalanan mereka ke destinasi di Eropah dan Asia.

 

Rasionalnya pada masa akan datang, Mesir perlu mengambil kira cabaran yang dialami ini yang menyentuh masa dan kos kerana pengangkutan jalan melalui beberapa koridor ‘Jalan Sutera’ yang baru sedang dilaksanakan dalam beberapa tahun ke depan akan lebih murah berbanding melalui Terusan Suez itu.

 

Jika cabaran dan insiden sebegini berulang dan tidak dapat ditangani dengan sebaiknya, boleh jadi lama kelamaan Terusan Suez tidak lagi menjadi laluan yang amat penting pada masa akan datang sebagaimana yang terjadi sebelumnya kepada Tanjung Harapan.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia