1. Apakah Malaysia perlu mengambil tindakan menggantung hubungan diplomatik dengan Syria kerana ia membabitkan kepentingan ekonomi dan politik kedua-dua negara. Mungkin Malaysia boleh menggunakan pengaruhnya untuk meminta OIC membantu menyelesaikan krisis di Syria.
Walaupun Syria merupakan rakan dagangan Malaysia yang ke-62 terbesar, namun ia berada dalam keadaan sangat tidak stabil dari sudut politiknya,ini akan turut memberi kesan kepada sektor ekonomi mereka.
Tiada gunanya mengekalkan hubungan diplomatik antara negara setelah pelbagai usaha damai yang dipelopori oleh Kofi Annan menemui kegagalan akibat kedegilan Basyar.
Sikap kita menggantung hubungan diplomatik bukan atas dasar menjaga kepentingan hubungan ekonomi dan politik semata-mata, tetapi yang lebih penting sekarang ialah menunjukkan sikap membantah tindakan kerajaan Syria sekarang, yang melakukan kekerasan kepada rakyat dengan tidak berperikemanusiaan, membunuh dan merampas hak rakyat serta mencabuli hak-hak asasi manusia terhadap rakyat sendiri amatlah dikesali. Kanak-kanak disembelih, wanita dirogol dan dibunuh merupakan kemuncak kezaliman yang berlaku di Syria.
Oleh sebab itu, Negara maju seperti Jerman,Jepun, dan Australia telah menyedari hakikat ini dan melakukan tindakan proaktif menghantar pulang Duta Syria di negara masing-masing.
Pendirian ini merupakan satu pendirian yang murni dan tegas. Ini membuktikan keprihatinan sesebuah Negara terhadap isu kemanusiaan melampaui kepentingan ekonomi dan politik.
2. Krisis di Syria dikatakan bukan sekadar revolusi kebangkitan rakyat, tetapi juga membabitkan pertembungan antara pengikut Syiah (pemimpin kerajaan) dan Ahli Sunnah Wal Jamaah (rakyat majoriti di Syria). Adakah benar begitu?
Tujuan utama kebangkitan rakyat Syria adalah perjuangan rakyat yang mahu membebaskan diri daripada cengkaman diktator yang membelenggu mereka selama 42 tahun sejak zaman bapa Basyar Al-Assad lagi, iaitu Hafez Al-Assad.
Pada Februari 1982, satu kebangkitan juga telah berlaku di Hama, dan seramai 40,000 orang telah mati di bom oleh tentera Hafez ketika itu. Isu ini melampaui pertembungan mazhab kerana ia merupakan perjuangan rakyat menuntut kebebasan.
Justeru,kita tidak campur urusan dalaman atau pertembungan mazhab. Apa yang penting ialah untuk menghentikan pembunuhan dan pencabulan hak rakyat. Semua rakyat berhak hidup bebas dan aman damai, samada syiah mahupun sunni.
Walaubagaimanapun, campur tangan luar telah berlaku di Syria. Kerajaan Iran telah mencampuri urusan dalaman Syria serta terlibat membunuh orang awam Syria amatlah dikesali dan perlu dibantah dan dihentikan segera.
Mengikut maklumat yang diterima, tentera Iran telah berada di bumi Syria bagi membantu Kerajaan Syria memerangi tentera pembebasan “Free Syrian Army”(FSA).
3. Ada teori mengatakan yang krisis di Syria adalah salah satu strategi halus tangan ghaib dan propganda dari luar khasnya Amerika Syarikat dan Israel untuk mewujudkan suasana tidak stabil di rantau Arab bagi memudahkan mereka untuk menguasai rantau itu. Adakah anggapan ini relevan?
Bagi kami teori ini adalah meleset sama sekali, faktor tercetusnya revolusi di Syria berpunca dari masalah dalaman Syria sendiri. Penangkapan sekumpulan kanak-kanak dan disiksa oleh regim Basyar serta ada yang dibunuh, merupakan punca utama kebangkitan ini. Perkara ini disahkan sendiri oleh Kesatuan dan Majlis Ulama’ Syria.
Muktamar Syria yang diadakan di Istanbul yang dianjurkan oleh Pertubuhan Ulama’ Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Qardhawi dengan kerjasama Majlis Kesatuan Ulama’ Syria di Istanbul, Turki baru-baru ini telah mengeluarkan resolusi yang jelas menyokong kebangkitan ini:
“Muktamar menegaskan bahawa revolusi rakyat Syria dari segenap sudutnya adalah revolusi yang haq/benar menentang kezaliman, revolusi yang adil menentang kejahatan dan permusuhan, revolusi untuk kebebasan melawan pelampau, diktator, kerosakan, pembunuhan dan pencerobohan, serta revolusi tuntutan yang bebas, adil dan terhormat yang berkait dengan asas ummah dan identitinya dan memelihara kesatuan bumi Syria serta rakyatnya dan mengekalkan kemerdekaannya yang total”.
Walaupun tidak dinafikan juga, keadaan bergolak di Syria mengundang campurtangan banyak pihak seperti Amerika, Israel, Rusia, Iran dan China demi kepentingan blok masing-masing.
Namun, rakyat Syria juga bijak dalam menentukan masa depan mereka. Mereka kini bersatu di bawah ‘National Syrian Council’ (NSC) yang memayungi pelbagai pertubuhan politik di Syria termasuk Pertubuhan Ikhwanul Muslimin Syria yang akan membentuk kerajaan setelah rejim Basyar jatuh kelak.
NSC mendapat dokongan daripada al-Ittihad al-Alami lil-Ulama al-Muslimin (Pertubuhan Ulama Sedunia) selaras dengan Resolusi Muktamar Ulama Sedunia pada 1-3 Julai lepas di Istanbul, Turki, Saranan ke-7 Muktamar adalah:
“Permintaan kepada pembangkang Syria agar bersatu dan bernaung di bawah payung Majlis Kebangsaan Syria (NSC) melalui perangkaan pelan strategik termasuk keperluan masa kini dan masa depan”.
Perkara ini jelas membersihkan sebarang anggapan dan tuduhan bahawa Revolusi Syria ini didalangi Amerika dan Israel jelas tidak berasas.
4. Pengalaman dan sejarah daripada kebangkitan rakyat di negara Arab seperti di Libya, Mesir dan Tunisia menuntut keadilan dan kebebasan menunjukkan ia gagal membawa perubahan yang diharapkan oleh rakyat malah ia semakin melemahkan negara itu. Apa pengajaran yang diperoleh menerusi Arab Springs?
Suasana di Negara Mesir, Libya dan Tunisia selepas revolusi kebangkitan rakyat dan pembentukan negara baru adalah jauh lebih baik dari sebelumnya.
Kejayaan di Mesir juga telah mendapat pengiktirafan Kerajaan Malaysia setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar wakilnya Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin (Menteri Pengajian Tinggi) untuk menyampaikan perutusan tahniah dari Kerajaan Malaysia dan Rakyat Malaysia kepada Presiden Baru Mesir, iaitu Dr Mohammed Mursi pada 8 Julai lepas.
Pandangan yang menyatakan mereka gagal dan lebih lemah adalah propaganda jahat Amerika. Mereka sangat takut kepada kebangkitan rakyat dan kewujudan negara baru yang demokratik melalui ‘Arab Spring’.
Ini adalah kerana, regim-regim terdahulu seperti Hosni Mubarak, Zine El Abidine Ben Ali dan Basyar Assad merupakan agen pelaksana agenda mereka di Timur Tengah telah jatuh dan digulingkan.
Mereka merupakan boneka Amerika di Timur Tengah yang menjamin kelangsungan dan kedaulatan Negara Haram Israel terpelihara.
Perkara ini juga merisaukan juga Israel yang tersepit setelah kejayaan ‘Arab Spring’ ini berlaku dan kepimpinan bertukar.
5. Apakah pengajaran berguna yang boleh diperoleh rakyat Malaysia dalam krisis di Syria khasnya dan kebangkitkan rakyat di rantau Arab, amnya. Adakah ia mampu memberi manfaat kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya?
Malaysia perlu segera menunjukkan sikap yang tegas membantu rakyat Syria bagi mendapat hak-hak mereka. Semoga usaha dan komitmen ini akan meletakkan Malaysia dalam kedudukan dan imej yang baik disisi rakyat Syria dan masyarakat dunia.
Tujuan kita hanya membela hak manusia sejagat, kita tidak menyokong sebarang bentuk keganasan dan pembunuhan serta pencabulan hak rakyat di mana-mana sahaja didunia. Sikap sambil lewa dan lengah kita akan menunjukkan imej yang tidak baik pada mata masyarakat dunia.
Sekiranya negara-negara luar yang bukan negara Islam dengan tegas menolak sikap regim, bagaimana pula dengan kita yang majoriti rakyatnya Islam dan menjunjung amalan demokrasi seperti Malaysia tidak menunjukkan sikap yang jelas dan tegas terhadap isu ini.
Jika kita membantu sekarang dan akhirnya rakyat Syria berjaya membentuk negara baru, jasa Malaysia akan dikenang oleh mereka. Dengan itu, hubungan diplomatik, ekonomi dan politik boleh terbina dengan baik lagi.
Kita juga menganjurkan agar Duta Syria di Malaysia untuk mencontohi rakan sejawat di Iraq, Nawaf Fares dan Cyprus, Limya’ El-Hariri yang telah menyokong perjuangan Revolusi.
Cukuplah dengan pengalaman kelewatan kita dalam membantu negara-negara yang bangkit sebelum ini seperti Tunisia, Libya dan Mesir, ia cukup memberi pengajaran bahawa kita agar jangan sampai terlepas kapal!
Jika kita menunjukkan sikap membantu dari sekarang, semua negara baru yang bangkit akan menunggu kehadiran kita. Dengan jelas ia akan memberi menafaat kepada negara dan rakyat Malaysia dari sudut ekonomi dan politik di peringkat antarabangsa selaku pemimpin dunia Islam.