Sebagai individu Muslim, kita faham bahawa dakwah merupakan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sama ada secara peribadi atau umum.
Malaysia adalah negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai etnik dan agama. Oleh itu, dakwah perlu dilaksanakan dengan berhati-hati dan bijaksana.
Dalam usaha menyebarkan ilmu dan nilai Islam yang sebenar, selain individu, agensi kerajaan seperti YADIM dan JAKIM serta NGO Islam seperti IKRAM, ABIM dan HALUAN mesti berperanan bagi memastikan dakwah berlaku dan sampai kepada sasaran dengan lebih efisien dan efektif.
Pemanfaatan teknologi Artificial Intelligence (AI) dalam dakwah Islam semakin menjadi perhatian penting pada era digital. Di dunia yang serba laju seperti sekarang, maklumat datang dalam pelbagai bentuk, dan AI wajar menjadi penyelesaian bagi menyaring serta memproses maklumat tersebut dengan lebih cepat dan tepat.
Bagi para dai, hal ini bererti kemampuan untuk menyampaikan mesej dakwah dengan lebih mesra dan tepat pada sasarannya. Teknologi AI, seperti Machine Learning dan Natural Language Processing (NLP), memungkinkan pengembangan kandungan dakwah yang mampu berinteraksi dengan audiens dalam skala yang lebih besar tanpa hilang maksud sebenar mesej tersebut.
Bayangkan ada aplikasi chatbot pintar seperti ChatGPT yang boleh menjawab kemusykilan hal-hal Islam selama 24 jam dan mengenal pasti topik-topik dakwah yang sedang popular di media massa.
AI bukan hanya mempermudah proses dakwah, tapi juga berkaitan dengan memberikan layanan yang sesuai dengan keperluan audiens semasa pada bila-bila waktu.
Potensi penggunaan AI dalam menerbitkan kandungan audio dan visual secara automatik pastinya menjimatkan masa dan tenaga para dai, khususnya content creator Muslim.
Teknologi AI boleh membantu dalam mengubah ceramah menjadi bentuk teks atau sarikata dalam berbagai-bagai bahasa, memungkinkan dakwah menjangkau audiens melintas negara dan budaya.
Dengan bantuan AI, kita dapat mengeluarkan kandungan dalam pelbagai format secara lebih efisien. Hal ini bermakna, banyak masa boleh diberi untuk fokus kepada peningkatan gaya persembahan dan kualiti mesej dakwah yang ingin disampaikan.
Beberapa aspek dakwah AI praktikal boleh diusahakan oleh kerajaan, NGO Islam dan individu dalam berhadapan dengan masyarakat majmuk serta kejahilan umat Islam sendiri dengan lebih cepat.
1. Pembangunan infrastruktur dakwah AI yang inklusif
Kerajaan mesti meningkatkan prasarana AI untuk Pengajian Islam di institusi pengajian tinggi awam. Latihan-latihan intensif dan praktikal dianjurkankan untuk staf khususnya tenaga pengajar. Modul AI ditambah dalam kurikulum.
Berbekalkan ilmu dan kemahiran yang digarap dan diaplikasi oleh pengajar dan pelajar, maka capaian dakwah yang lebih luas untuk memahami Islam secara ilmiah dan menyeluruh akan tercapai tanpa had sempadan kawasan dan masa.
Pembelajaran dan pendidikan Islam yang lebih mendalam mengenai fiqh, akidah, akhlak, serta penghayatan terhadap al-Quran dan as-Sunnah perlu diterapkan melalui pelbagai medium.
Dakwah yang bertujuan untuk membetulkan pemahaman yang salah tentang Islam adalah sangat penting. Ia termasuklah menjawab persoalan berkaitan dengan isu-isu sensitif dalam masyarakat seperti poligami, hukum hudud dan isu-isu semasa lain.
Dalam hal ini, agensi kerajaan berkaitan boleh bekerjasama dengan korporat AI bagi melibatkan seramai mungkin agamawan dalam pembangunan pengisian chatbot seperti ChatGPT bagi memastikan kandungan dakwah dan hal-hal Islam yang dibangunkan adalah benar dan sahih mengikut al-Quran dan al-Hadis.
Penerangan yang jelas dan berdasarkan nas yang benar adalah penting untuk mengelakkan kekeliruan baik dalam kalangan bukan Muslim bahkan Muslim sendiri.
2. Pemerkasaan dakwah AI melalui aktivisme dan pendidikan
Dalam memastikan kempen dakwah secara berterusan, NGO Islam boleh mengaktifkannya melalui media sosial bagi menyentuh pelbagai aspek kehidupan masyarakat seperti akhlak, tanggungjawab sosial dan pembangunan diri menurut perspektif Islam.
Penggunaan aplikasi digital akan mempermudah penyampaian dakwah kepada golongan muda dan mereka yang sukar diakses secara fizikal.
Bagi masyarakat majmuk seperti di Malaysia, selain mengadakan dialog antara agama, adalah penting bagi NGO Islam untuk memperbanyak kandungan-kandungan dakwah yang membincangkan isu-isu keagamaan secara terbuka demi mewujudkan persefahaman yang lebih baik dan mengurangkan prejudis antara agama.
Ahli-ahli NGO Islam boleh membantu berkongsi kandungan-kandungan dakwah digital yang berilmu dan bermanfaat kepada seramai mungkin capaian mereka.
3. Dakwah digital dalam kehidupan Muslim seharian
Individu Muslim perlu menjadi contoh teladan yang baik kepada orang lain dengan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan harian mereka, termasuk dalam cara berinteraksi dengan masyarakat majmuk.
Peranan ini dapat dimainkan oleh individu dengan menonjolkan sikap lemah lembut, adil dan bersikap inklusif dalam menghadapi perbezaan agama dan budaya.
Melalui dakwah digital, ia boleh diimplementasi dengan teknik penyampaian penulisan dan verbal serta metode dakwah yang penuh berhikmah. Komen-komen positif dalam chat box media sosial juga membantu.
Kesimpulan
Semua pihak perlu bekerjasama dalam usaha memperluas dakwah, mengatasi kejahilan umat Islam dan menggalakkan keharmonian antara agama.
Dengan kerjasama yang efektif dan pelaksanaan dakwah yang praktikal dan inklusif, kita dapat membina masyarakat yang lebih berpengetahuan, berdaya saing dan penuh dengan nilai-nilai Islam yang sejati.
“Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.” (An-Najm:39)
Kesedaran dan pemahaman bahawa AI dapat mempercepat proses dan menyebarluaskan capaian dakwah tanpa sempadan tempat dan had waktu menuntut kita supaya mengubah pendekatan berdakwah.
Kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk belajar, menghayati dan mengaplikasikannya dalam dakwah kini. Hasil yang hebat adalah rahmat Ilahi yang akan memberikan keberkatan kepada kita semua.
Dr Hajah Azmi Aminuddin
Dungun, Terengganu