Islam adalah merupakan satu agama yang paling disalahertikan. Islamophobia adalah istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi kepada Islam dan Muslim. Istilah itu sendiri sudah digunakan pada tahun 1980-an tetapi menjadi popular selepas serangan 11 September 2001.
Untuk merungkaikan salahtanggapan terhadap Islam ini, Hidayah Centre Foundation, Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Serious Comedy Studio merancang untuk menganjurkan satu teater bertajuk ‘The Islam Dilemma’ di Kuala Lumpur Performing Arts Centre, Sentul, Kuala Lumpur pada 6 Januari 2015 jam 8.30 malam*.
Teater ini arahan En Santhira Morgan, Pengarah Serious Comedy Studio yang pernah menerbitkan sebuah teater bertajuk ‘Islamophobia’ dan dipentaskan sebanyak tiga kali pada bulan Februari 2012 yang lepas. Teater ini mendapat sambutan yang baik daripada rakyat Malaysia.
Antara objektif yang ingin dicapai melalui penganjuran teater ini ialah:
- Menolak fitnah dan salah faham terhadap Islam oleh pihak tertentu sehingga Islam selalu dikaitkan dengan pelbagai perkara negatif.
- Membuka ruang interaksi dan menggalakkan perbincangan yang sihat antara Muslim dan non-Muslim.
- Menyampaikan mesej-mesej dakwah dan kebaikan dalam Islam secara lakonan santai.
Pementasan teater ‘The Islam Dilemma’ ini berkonsepkan lakonan santai dengan menampilkan para pelakon majority belum Islam supaya watak yang dilakonkan adalah ‘real’.
Ianya sarat dengan mesej dan gambaran sebenar agama Islam yang bebas daripada elemen-elemen negatif, menyalahi pelbagai tuduhan yang digambarkan oleh pelbagai pihak yang cuba memburukkan nama Islam.
Ketakutan dan kebimbangan terhadap agama Islam (Islamophobia) di kalangan bukan Islam akan mampu diatasi jika mereka mendapat gambaran dan maklumat yang benar dan tepat.
Ini akan mengelakkan berlakunya salah faham dan konflik masyarakat yang akhirnya akan merugikan semua pihak. Justeru, pementasan teater ini diharap bakal memberikan impak yang besar kepada masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, insya-Allah.
Kami mengajak rakyat Malaysia bersama-sama menonton teater serta menjemput rakan-rakan non-Muslim bersama sebagai salah satu usaha dakwah yang merupakan satu tanggungjawab semua umat Islam, selari dengan tuntutan Islam sepertimana yang diperintah oleh Allah SWT:
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.” (Surah An-Nahl: 125)
Terima kasih.
Zun Arif Hakim Abdul Rahman
Pengarah Unit Program
Hidayah Centre Foundation
017-3667126
*Nota:
Tempoh pementasan teater adalah selama satu jam 40 minit dan tiket pementasan teater berharga RM125 seorang boleh ditempah melalui KLPAC di talian 03-4047 9000.
Tiket pementasan kedua di Penang Performing Arts Centre (PenangPAC) pada Ahad 22 Mac 2015 jam 2.30 petang berharga RM130 seorang boleh ditempah melalui PenangPAC di talian 04-899 1772.