Teater ini dihadiri oleh kira-kira 150 peserta yang terdiri daripada 60 penonton belum Islam, 30 orang di kalangan saudara baru manakala 60 orang di kalangan orang Islam. Teater ini telah berjaya menerangkan banyak salah tanggapan terhadap agama Islam yang selama ini dimomok-momokkan oleh media Barat.
Teater ini mengisahkan suasana yang biasa berlaku di Malaysia di kalangan masyarakat belum Islam di mana berlaku percintaan dua insan berlainan agama dan bangsa yang terhalang oleh kehendak keluarga. Setelah usaha dakwah yang berterusan dan penuh hikmah, percintaan mereka berakhir dengan sebuah keluarga yang berfahaman agama nenek moyang telah memeluk Islam.
Menariknya, dua orang penonton telah berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang agama Islam dan berhasrat memeluk agama Islam setelah menonton teater ini, iaitu seorang pelajar India berusia 17 tahun dan seorang peguam Cina yang bekerja di BAR Council. Beliau telah bersetuju untuk menjadi pelakon utama ‘Islamophobia’ untuk teater yang seterusnya. Semoga Allah memberkati kehidupan mereka.
Dengan menjadikan teater sebagai medium dakwah, pihak JAWI sangat teruja dengan teater ini dan berminat untuk menjadi penganjur bersama. Mereka telah membantu dalam memberikan cenderamata dan poster pada malam tersebut. Hidayah Centre telah menghadiahkan sebuah buku ‘Islam The Misunderstood Religion’ nukilan Dr Danial Zainal Abidin kepada para penonton. Naskhah Al-Quran terjemahan turut diedarkan kepada mereka yang berminat.
Sebagai merasmikan kerjasama dengan pihak JAWI, teater seterusnya akan diadakan di Dewan Muktamar Pusat Islam pada 7 April 2012 jam 8.00 malam. Semoga usaha dan kerjasama yang dilakukan membuahkan hasil untuk memakmurkan bumi Malaysia dengan hidayah Islam, insyaAllah.
Gambar program: [ Photos Islamophobia 1 ] [ Photos Islamophobia 2 ]