Berita nahas udara yang menimpa pesawat MH17 di Ukraine berhampiran Rusia semalam disambut dengan perasaan terkejut dan dukacita oleh seluruh rakyat Malaysia. Wanita IKRAM ingin merakamkan ucapan takziah kami kepada seluruh ahli keluarga penumpang dan anak-anak kapal MH17.
Kami mengharapkan ahli keluarga dan rakan-rakan penumpang dan anak kapal MH17 dapat bersabar, tabah dan cekal atas ujian besar ini.
Bagi kita yang beragama Islam marilah kita amalkan apa yang diajar oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam suasana genting.
Daripada Ummu Salamah Radiallahuanha katanya, aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:
“Apabila seseorang itu ditimpa bencana, maka hendaklah ia mengucapkan: (Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali. Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya) nescaya Allah Subhanahu wa Taala memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya, Ummu Salamah berkata lagi: “Semasa Abu Salamah meninggal dunia aku mengucapkan sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kepadaku, lalu Allah Taala menggantikan kepadanya (Ummu Salamah) seorang yang lebih baik daripada Abu Salamah (menjadi suaminya) iaitu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.” (Riwayat Muslim)
Sesungguhnya setiap sesuatu yang berlaku adalah ketentuan daripada Allah yang Maha Berkuasa dan kita meyakini bahawa pasti ada kebaikan dan hikmah daripadanya.
Doa kami untuk penumpang dan anak kapal pesawat.
Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia