Takziah atas pemergian tokoh pendidik Almarhum Ustaz Mohd Shukry Jusoh

“Jasa Ustaz Shukry dalam bidang dakwah dan tarbiah terutama dalam membangunkan sekolah dan bidang pendidikan di negara ini khususnya di negeri Pahang Darul Makmur amat besar dan amat dihargai,” kata Setiausaha Agung IKRAM, Hj Nahar Md Nor. 

Jawatan terakhir beliau adalah sebagai CEO Sekolah Islam Al-Irsyad di Kuantan. Semoga rohnya ditempatkan bersama para syuhada’ dan solehin.

“Kepada isteri dan keluarga Almarhum, semoga bersabar dan redha atas pemergian insan yang tersayang ini,” tambah Hj Nahar.

Katanya lagi, wakil Presiden dan Jawatankuasa Pusat (JKP) IKRAM ke majlis pengkebumian dan solat jenazah Almarhum adalah Pn Hjh Kamaliah Noordin, Ahli JKP merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM Pusat.

Beliau turut menyeru supaya mendoakan agar diampunkan dosa-dosa almarhum dan rohnya dirahmati Allah s.w.t.

Almarhum meninggal dunia pada jam 3.20 pagi tadi ketika dalam tidur, setelah beberapa tahun menanggung penyakit kencing manis, buah pinggang, paru-paru dan jantung. Almarhum dilahirkan pada 10 September 1963 dan berkelulusan Ijazah BA Hons Al-Quran dan Sunnah.

Beliau meninggalkan isteri, Ustazah Khadijah Abdullah dan 15 orang anak (7 lelaki, 8 perempuan) dan 11 orang cucu. 

Beliau telah mengasaskan Sekolah Rendah Agama Al-Irsyad Kuantan pada tahun 1988 dan merupakan Mudir sekolah tersebut semenjak dari awal penubuhannya sehinggalah tahun 2000. Semenjak tahun 2000, beliau memegang jawatan CEO Al-Irsyad Kuantan sehingga sekarang.

“Alhamdulillah, berkat kepimpinan beliau, Al-Irsyad Kuantan telah mendapat sokongan dan dokongan padu ramai pihak dan telah mampu berkembang dengan amat memberangsangkan – SRI dan SMI Al-Irsyad serta Sekolah Tahfiz Al-Irsyad di Kampung Kurnia, Kuantan,” kata Prof Dr Omar Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM dalam perutusan takziahnya.

Sebuah cawangan SRI Al-Irsyad di Tanjung Lumpur, Kuantan juga telah ditubuhkan sejak tiga tahun lepas. Kini, Al-Irsyad Kuantan sudah masuk tahun ke-27 penubuhannya dengan bilangan murid seramai 1,420 orang dan 100 orang pendidik dan staf.

Menurut Dr Omar, Almarhum juga bersama-sama dengan IKRAM Pahang, telah menubuhkan SRI Al-Amin Paya Besar Kuantan tiga tahun lalu. Kini, SRI Al-Amin Paya Besar baru sahaja berpindah tempat ke premis baru. Tanah tersebut adalah amal jariah beliau kepada SRI Al-Amin Paya Besar,” jelas Dr Omar.

“Alhamdulillah, walaupun keadaan kesihatan beliau agak tenat, dengan bantuan ahli keluarga dan sahabat-sahabat, beliau telah bergerak cergas sehingga ke saat-saat akhir hayat beliau, menghadiri program-program dan melaksanakan amanah sebagai seorang murabbi, da’i, pemimpin dan pejuang – khususnya dalam medan pendidikan.

“Sumbangan beliau kepada pendidikan Islam amatlah dihargai,” ujarnya.

Sementara itu, YDP IKRAM Pahang, Hj Samsudin Abdullah berkata, seluruh ahli keluarga IKRAM Pahang merasa dukacita atas pemergian Almarhum.

Tambah beliau, walaupun menghidap pelbagai penyakit kronik sehingga kedua-dua matanya tidak lagi nampak, jasa Almarhum sangat besar kepada pendidikan Islam di Pahang di mana beliau menerajui Al-Irsyad sehingga menjadi sekolah Islam swasta terkenal di Kuantan sehingga berjaya membuka cawangan di Tanjung Lumpur.

“Beliau telah menginfaq dua ekar tanahnya di Kampung Chendering sebagai tapak SRI Al-Amin Kuantan di samping sumbangan tunai untuk Al-Amin. Bangunan baharu di tapak ini telah beroperasi mulai awal bulan ini,” kata beliau dalam perutusan takziahnya.

Menurut Hj Samsudin, semasa hayat Almarhum, walaupun beliau merupakan CEO Irsyad, beliau sering menyatakan keinginan melihat kejayaan SRI Al-Amin bahkan mengingatkan supaya segera merancang dan membangunkan SMI Al-Amin pula.

“Ustaz Shukry telah benar-benar menunaikan janjinya dengan Allah s.w.t dengan berjihad dalam berdakwah terutama dalam menjayakan sistem pendidikan Islam bersepadu mengikut kurikulum IKRAM MUSLEH.

“Tidak syak bahawa IKRAM Pahang amat merasai pemergiannya,” katanya.

“Ya Allah! Engkau ampunilah almarhum Ustaz Mohd Shukry bin Jusoh, kurniakanlah rahmat kepadanya, selamatkanlah dia, maafkanlah dia dan tempatkannya di Jannatul Firdaus, luaskanlah kuburannya, mandikan dia dengan air salju dan air ais.

“Bersihkan dia dari segala kesalahan, sebagaimana Engkau membersihkan baju yang putih dari kotoran, kurniakanlah kepadanya rumah yang lebih baik dari rumahnya di dunia yang fana ini, kurniakanlah kepadanya keluarga yang lebih baik daripada keluarganya di dunia ini, isteri yang lebih baik daripada isterinya di dunia ini, dan masukkan dia ke Jannatul Firdaus, jauhkanlah dia dari siksa kubur dan nar jahannam.”

Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia