Hari Raya Aidilfitri disambut umat Islam pada 1 Syawal setelah mereka selesai menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada 10 Zulhijjah sempena ibadah haji dan korban.
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“..Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)
Sebagai tanda syukur menyambutnya, umat Islam amat digalakkan bertakbir membesarkan dan mengagungkan Allah SWT pada hari-hari raya ini, dan melaksanakan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.
Waktu Takbir Raya
Umat Islam disunatkan melaungkan takbir raya Aidilfitri setelah terbenam matahari pada malam hari raya, iaitu apabila masuknya waktu maghrib pada 1 Syawal sehingga solat sunat Aidilfitri didirikan.
Bagi Hari Raya Aidiladha, disunatkan melaungkan takbir raya bermula pada waktu subuh Hari Arafah (9 Zulhijah) dan berterusan sehingga tamat waktu asar pada Hari Tasyrik yang ketiga (13 Zulhijah). Manakala solat sunat Aidiladha dilaksanakan pada pagi 10 Zulhijah.
Bertakbir semasa hari-hari raya ini adalah syiar Islam yang disunatkan kita melaksanakannya dan hendaklah dilakukan secara jahar (dibaca nyaring).
Jenis Takbir Raya
Ulama membahagikan takbir raya kepada dua jenis, iaitu takbir mursal dan takbir muqayyad.
1. Takbir Mursal
Takbir ini juga disebut takbir mutlak kerana pelaksanaannya tidak terikat dengan waktu solat.
Oleh itu, apabila tenggelamnya matahari pada malam hari raya sehingga takbiratulihram solat sunat Aidilfitri, kita disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa.
2. Takbir Muqayyad
Pelaksaanan takbir muqayyad terikat dengan pelaksanaan solat-solat yang diwajibkan iaitu solat fardu lima waktu.
Oleh yang demikian, apabila masuk waktu bertakbir Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk bertakbir selepas setiap kali solat fardu.
Takbir jenis ini hanya berlaku pada Hari Raya Aidiladha, ia tidak disunatkan pada malam Hari Raya Aidilfitri melainkan takbir mursal sahaja yang lebih ditekankan.
Lafaz Dan Maksud Takbir Raya
Disertakan lafaz dan maksud takbir raya seperti berikut:
اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا
Allah Maha Besar dengan sebenar-benar Kebesaran-Nya, dan pujian bagi Allah sebanyaknya.
وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang.
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ ، وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Tiada Tuhan melainkan Allah dan tidaklah kami menyembah melainkan-Nya dengan tulus ikhlas menuruti agama-Nya, sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir.
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ ، صَدَقَ وَعْدَهُ ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ
Tiada Tuhan melainkan Allah sahaja. Dia membenarkan janji-Nya, membantu hamba-Nya dan memuliakan tentera-Nya serta mengalahkan pakatan tentera Ahzab secara bersendirian.
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.
Marilah kita meraikan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha seperti yang telah disyariatkan, bertakbir membesarkan-Nya serta bersungguh-sungguh mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Saksikan takbir raya IKRAM:
https://youtu.be/xfj0MAnJoWY