Saban tahun kita tidak pernah gagal untuk menyambut kedatangan tahun baharu. Pelbagai cara manusia mengekspresikan perasaan meluhurkan kesedihan meninggalkan tahun lama dan menzahirkan rasa kesyukuran melangkah di tahun baharu.
Sama ada tahun tersebut dalam kalendar tahun Masihi atau tahun Hijrah, kita acap kali menzahirkan perasaan atas nikmat yang Allah berikan pada kita sebagai hamba-Nya.
Dalam tidak sedar, apa yang berubah adalah angka semata. Zahirnya, pertambahan angka kepada satu angka membawa makna memasuki alam baharu.
Walhal, pertambahan angka adalah peringatan jelas kepada kita bahawa dunia semakin tua, usia semakin menginjak senja dan diri semakin hampir ajalnya.
Dunia berputar meninggalkan sejarah. Benarlah firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 140 yang bermaksud:
“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran).”
Dunia yang berputar, bersilih ganti siang dan malam. Pelbagai peristiwa episod suka duka kehidupan telah dan akan kita lakarkan bersama.
Pahit manis, suka dan tawa, sedih dan pilu, semuanya rencah kehidupan yang akan menjadikan pengajaran bagi sesiapa yang mahu mengambil iktibar.
Manusia dan waktu kedua-duanya sama. Manusia juga bersifat tidak kekal selamanya. Ada yang pergi meninggalkan dunia, ada juga yang baru lahir mengenal dunia.
Begitu juga waktu. Yang lepas adalah sejarah. Yang ada ketika ini adalah peluang dan yang akan datang nanti adalah harapan. Manusia diciptakan dengan sifat kelemahan dan kedaifan.
Oleh kerana itu, Allah mengingatkan hamba-Nya tentang masa dengan bersumpah di pelbagai waktu. Allah telah bersumpah dengan waktu malam seperti firman-Nya dalam Surah al-Lail, Allah juga bersumpah dengan waktu pagi seperti firman-Nya dalam Surah al-Fajr.
Allah juga turut bersumpah dengan masa. Seperti firman-Nya dalam Surah al-Asr ayat 1-3 yang bermaksud:
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan bagi mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran, dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Allah SWT menerusi firman-Nya ini telah memberikan tentang empat ciri kesempurnaan hidup iaitu beriman kepada Allah, beramal soleh, berpesan dengan perkara yang benar dan berpesan dalam keadaan penuh kesabaran.
Imam Ibnu Qayyim dalam kitabnya Miftah Dar al-Saa’dah menerangkan bahawa kalaulah keempat martabat tersebut telah tercapai oleh manusia, maka berhasillah tujuannya menuju kesempurnaan hidup.
Maka apa yang dicari oleh manusia itu adalah kesempurnaan kehidupan. Biarpun tahun bersilih ganti, namun tujuan kita tetap sama iaitu berazam untuk menjadi lebih baik atau lebih sempurna pada setiap tahun bahkan setiap hari yang berlalu.
Inilah tujuan sebenar manusia. Sebab kesempurnaan itu ialah sempurna pada diri sendiri dan menyempurnakan pula bagi orang lain.
Oleh itu, kedatangan tahun baharu hanyalah suatu perubahan angka yang tidak akan membawa apa-apa makna bagi kita andai kita tidak belajar untuk menyempurnakan diri kita.
Malah lebih malang lagi, kita pula yang sibuk dan asyik menghitung dosa dan mencari keaiban orang lain, sedangkan diri kita terdedah kepada dosa dan aib diri sendiri. Kata Imam Asy-Syafi’i:
“Kalau manusia seanteronya sudi merenungkan surah ini (surah al Asr), sudah cukuplah baginya.”
Marilah kita melangkah hari demi hari dengan semangat memperbetulkan diri, mengislah keluarga dan memperkasakan masyarakat, di samping berdakwah menyebarkan ajaran Islam sebenar khususnya kepada rakan-rakan kita yang bukan Muslim. Semoga segala kebaikan dan amal soleh kita diterima oleh Allah SWT.
Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir JAIPs