Syarat-syarat mencapai kemenangan

Perasaan gembira menyambut kemenangan digambarkan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan pada ketika itu, orang-orang yang beriman akan bergembira; Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (Ar-Rum:4-5)

Namun, kemenangan yang diharap dan diimpikan itu adakah berlaku secara tiba-tiba; tanpa sebab, tanpa syarat, tanpa peraturan atau sunnah yang tetap? Allah SWT menegaskan dalam beberapa ayat bahawa kemenangan itu datang dari sisi-Nya dengan syarat-syarat tertentu mengikut peraturan dan sunnah yang tetap.

Dia yang menentukan bilakah terlaksananya kemenangan, di mana, bagaimana dan di tangan siapa. Mukmin hanya wajib berusaha memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dengan jelas dan terperinci dalam al-Quran dan as-Sunnah serta dijelmakan dalam sirah Rasulullah SAW dan nabi-nabi sebelumnya. Firman Allah Ta’ala bermaksud:

“Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Ali ‘Imran:126)

Menelitii beberapa ayat yang berkaitan dengan pertolongan Allah yang membawa kepada kemenangan, kita dapati kemenangan akan terlaksana apabila mukmin memenuhi dua syarat yang utama, iaitu:

1. Iman

Syarat pertama dan yang paling penting ialah beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman. Iman yang membuahkan amal, melaksanakan apa yang disuruh, menjauhi apa yang dilarang, sentiasa berusaha sehabis daya dalam mencari redha-Nya.

Sesungguhnya iman bukan sekadar dakwaan. Iman yang hakiki dapat disaksikan manifestasinya pada diri, akhlak dan peribadi. Firman Allah Ta’ala bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan yang menginfaqkan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang
beriman dengan sebenarbenarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).” (Al-Anfal:2-4)

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak
ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (Al-Hujurat:15)

Apabila telah terpahat iman yang hakiki, maka janji Allah tidak pernah dimungkiri.

“Dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (Ar-Rum:47)

“Dan demi sesungguhnya! Telah ada semenjak dahulu lagi, ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul – Bahawa sesungguhnya merekalah
orang-orang yang diberikan pertolongan mencapai kemenangan Dan bahawasanya tentera Kami(pengikut-pengikut Rasul), merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran).” (As-Soffat:171-173)

“Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman – dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat).” (Ghafir:51)

2. I’dad (Persediaan)

Syarat yang kedua ialah persiapan. Apa yang perlu dipersiapkan? Allah perintahkan mukmin membuat persiapan sebagaimana yang dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukanpasukan berkuda yang lengkap
sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah
mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Al-Anfal:60)

Ayat ini merupakan satu perintah. Dan perintah membawa makna wajib. Dan yang wajib dipersiapkan bukan sampai menyamai kekuatan pihak lawan. Sebaliknya mukmin dituntut membuat persiapan apa yang termampu (mastato’tum). Pertolongan Allah akan datang bila mukmin membuat persediaan sedaya mampu mereka walaupun jika dibandingkan dengan persediaan pihak lawan masih jauh berbeza.

Namun itulah rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya. Kekuatan yang sebenar bukan terletak pada apa yang ada di tangan kita. Sebaliknya kekuatan yang sebenar adalah kebergantungan kita kepada-Nya.

Kekuatan atau quwwah dalam ayat di atas disebut dengan lafaz nakirah, quwwah (tanpa alif dan lam). Menurut pakar bahasa, nakirah membawa maksud syumul, iaitu merangkumi semua jenis kekuatan, dan ia berbeza dari satu zaman dengan zaman yang lain. Jenis kekuatan yang disebut dalam ayat di atas ialah pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia. Itu bersesuaian dengan zaman itu.

Zaman sekarang, kekuatan yang diperlukan tentunya berlainan. Itulah yang mesti difikirkan oleh mukmin yang ingin mencapai kemenangan. Sebagai pendukung perjuangan Islam, khususnya ahli-ahli IKRAM tidak seharusnya melupai hakikat ini dan mengabaikan syarat kemenangan yang mesti dipenuhi.

IKRAM menyediakan manhaj tarbiah yang lengkap dan tersusun dengan wasilahnya yang pelbagai. Maka menjadi tanggungjawab setiap ahli beriltizam dengan manhaj dan mengikuti semua wasilah tahap demi tahap agar ilmu sentiasa meningkat dan iman kian mantap.

Di samping itu, IKRAM menyusun perancangan strategik, memperkemaskan organisasi, mengukuhkan jaringan dan meningkatkan prasarana yang bersesuaian dengan perkembangan zaman.

Ahli mesti memahami, mengetahui di mana sepatutnya memposisikan diri, mengoptimumkan sumbangan, memperkukuhkan barisan, menggenggam azam dan terus
melangkah ke medan. Terus mara sehingga menang atau syahid di tengah jalan.

Ditulis oleh: Ustazah Maznah Daud
Sumber: Tarbiatuna Siri 10

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia