Sumbang Mahram: Pelindung Jadi Perosak Kanak-kanak

Sumbang Mahram: Pelindung Jadi Perosak Kanak-kanak | IKRAM

Harapkan pagar, pagar makan padi. Begitulah perumpamaan kepada orang dewasa yang diletakkan peranan melindungi tetapi sebaliknya menjatuhkan maruah dirinya sendiri dengan hina sekali melalui jenayah sumbang mahram.

Lazimnya bukan dengan sekali perbuatan itu, tetapi berulang kali sehingga agak terlambat apabila kes dilaporkan. Mengapa?

Ia terlambat kerana kecederaan fizikal, emosi telah berparut dan malang sekali, kesan trauma yang terjadi akan menghantui mangsa sepanjang hidup. Kitaran jenayah tersebut berpotensi untuk berulang jika tidak dihalang mahupun ditangani dengan teliti. 

Sumbang mahram atau inses adalah hubungan jenis antara seorang individu dengan individu lain yang mempunyai pertalian persaudaraan berstatus mahram yang mana perkahwinan sesama individu ini dilarang, tidak sah di sisi undang-undang atau dilarang oleh adat resam.

Ini termasuk perhubungan antara ibu bapa, adik-beradik kandung atau susuan, datuk, bapa saudara dan sebagainya. 

Sisi Gelap Sumbang Mahram

Seorang aktivis pusat bimbingan remaja puteri Raudhatus Sakinah (RS), Abdullah Omar berkata, “Hakikatnya, terbawanya kes sumbang mahram ke muka pengadilan hanyalah tips of the iceberg iaitu sebahagian kecil daripada bongkah ais yang terapung.”

Terselindung di sebaliknya adalah sisi gelap yang berliku-liku ceritanya untuk dirungkaikan dan diselesaikan angkara sikap durjana manusia yang ‘bertuhankan’ nafsu. Kes sumbang mahram di negara ini tidak pernah berkesudahan dan seperti tiada titik noktah.

Dari masa ke masa, kes-kes ini akan terbit di ruang dada akhbar dan ini tidak termasuk kes-kes yang didiamkan atau tidak dilaporkan, lantas gagal memberikan gambaran sebenar realiti kerosakan kes sumbang mahram di negara ini.

“Malang sekali, apabila sebahagian kes-kes yang akhirnya dilaporkan ditarik balik semula atas pelbagai sebab seperti demi memelihara maruah keluarga, diugut hilang sumber pencarian atau dinafikan sendiri oleh ahli keluarga yang menjadi ‘penjaga’ mangsa,” tambah Abdullah Omar yang juga Ahli Lembaga Induk RS.

Sewajarnya kekesalan harus timbul apabila pemangsa dibiarkan terlepas begitu sahaja tanpa pembelaan pada mangsa terluka yang sudah tentunya akan melalui kehidupan yang tidak menentu selepas itu.

Bagaimana tergamak untuk membiarkan pemangsa terlepas begitu sahaja? Tiada jaminan perbuatan kejinya akan terhenti, malah terbiarnya terlepas akan sentiasa menghantui kehidupan mangsa.

Kanak-kanak Paling Berisiko

Golongan yang paling berisiko menjadi mangsa sumbang mahram ialah kanak-kanak terutamanya yang menjadi mangsa perceraian atau tinggal dalam keluarga yang berkonflik.  

Pada usia naif ini, mereka adalah golongan yang paling lemah dan tidak berdaya. Sepatutnya mereka diberikan pembelaan dan penjagaan penuh kasih sayang, jauh dari kezaliman agar membesar sebagai permata nusa, bangsa dan negara.

Sekiranya pada usia ini masa depan mereka telah dirosakkan, apa lagi yang mahu kita harapkan jika orang dewasa gagal membela mereka dengan sewajarnya?

Lebih bimbang dan menggerunkan, dianggarkan seramai enam kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa jenayah seksual setiap hari.

Statistik ini berdasarkan simpanan rekod daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh tiga tahun antara 2018 dan 2020 yang mana sebanyak 6,897 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan.

Daripada jumlah itu, 708 kes melibatkan kes sumbang mahram. Ini merupakan angka yang sepatutnya menekan butang kecemasan terhadap generasi yang bakal memegang masa depan negara. 

Fakta ini menggambarkan betapa rosaknya nilai masyarakat sekarang ini. Apakah akan terus dibiarkan tanpa tindakan untuk menoktahkannya? 

Sangat keji apabila seorang bapa yang sepatutnya menjadi pelindung rumah tangga menjadi dalang utama kepada kejadian sumbang mahram di negara ini.

Berdasarkan rekod PDRM dari 2018 hingga  2021, sebanyak 225 kes sumbang mahram dilakukan oleh bapa kandung sebagai dalang penjenayah utama. Ini diikuti dengan bapa tiri yang mencatatkan sebanyak 159 kes dan abang kandung 90 kes.

Berdasarkan analisis kes dan kajian yang dilakukan oleh pihak berkuasa, aktivis sosial dan para penyelidik, beberapa faktor utama menjadi penyumbang kepada kejadian sumbang mahram. 

Gagalnya Institusi Kekeluargaan

Pertama, kegagalan institusi kekeluargaan sebagai sumber mendapatkan keharmonian dan kedamaian. Hubungan suami isteri yang celaru, lemahnya peranan ibu bapa sebagai pelindung rumah tangga, perceraian menjadi antara penyebab utama. 

Anak-anak dibiarkan membesar sendiri tanpa pengawasan, perlindungan dan didikan yang sewajarnya berkenaan gaya hidup mulia dan terpelihara, komunikasi serta sentuhan selamat. 

Pada usia mumaiyiz (mengenali perbuatan baik dan buruk), kanak-kanak harus dipisahkan tempat tidur, belajar tentang adab memasuki bilik ibu bapa, mengetahui adab berpakaian dan batas pergaulan sesama ahli keluarga. 

“Pengukuhan institusi keluarga berpandukan teras agama amat penting bagi menangani gejala sumbang mahram. Perceraian ibu bapa dan perkahwinan semula ibu dengan lelaki lain mendedahkan anak perempuan kepada gejala inses.” ujar pensyarah IPG Kampus Pendidikan Islam, Dr Nabiroh Kassim. 

“Rumah tangga yang bahagia dapat menyekat pelbagai gejala negatif termasuk inses.”

Ekonomi pendapatan keluarga yang rendah serta tidak menentu telah memaksa tiga generasi mendiami rumah sempit sehingga merampas hak privasi anak-anak perempuan dan ibu bapa. 

Keadaan rumah yang didiami menjadi tidak selesa. Ketiadaan bilik yang sesuai untuk memelihara aurat dan privasi anak-anak perempuan serta wanita dewasa mendedahkan mangsa kepada risiko kegiatan sumbang mahram.

Terjebak Pornografi

Faktor seterusnya yang terkait adalah tahap kawalan diri yang lemah dan terjebak dengan pornografi. Kajian yang dijalankan oleh Foubert, Brosi dan Bonnon (2011) mendedahkan, kecenderungan untuk merogol berkait rapat dengan pendedahan bahan lucah.

Lebih malang dan memalukan, rakyat Malaysia direkodkan sebagai pengguna laman lucah yang tertinggi di Asia dan keempat tertinggi di dunia ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun 2020. 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dalam sidang Dewan Rakyat pada 1 Mac menyatakan, sebanyak 58 peratus aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam tempoh 2009 hingga 1 Mac adalah kesalahan yang melibatkan penyebaran kandungan berunsur lucah.

Langkah kerajaan untuk menubuhkan sebuah unit khas di bawah D11 bagi membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak sempena Belanjawan 2023 merupakan inisiatif yang sangat diraikan dan menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam membanteras isu pornografi kanak-kanak. 

Kerajaan juga disarankan untuk menimbang langkah-langkah yang lebih agresif dan berkesan untuk menyekat bahan-bahan pornografi daripada tersebar luas dengan mudah dalam talian dan menghukum pelaku dengan lebih keras.

Membingungkan, apa sebenarnya yang terjadi dengan nilai sosial masyarakat kita? Ironinya penggunaan perkataan ‘kemaluan’ pada bahasa Melayu telah dengan sendirinya menunjukkan betapa tinggi harga diri untuk memelihara aurat dan maruah diri suatu ketika dulu.

Pornografi diibaratkan sebagai suatu ketagihan seperti dadah yang boleh mengambil alih kawalan fungsi otak lalu. Ia mampu mencetuskan nafsu luar tabii, merosakkan hubungan suami isteri dan menjadikan pengguna bahan lucah tidak dapat mengawal diri untuk menyalurkan nafsu rakus pada mahramnya. 

Pendidikan Sentuhan Selamat

Tidak dapat tidak, lemahnya ilmu dan amalan hidup beragama serta gaya hidup yang jauh daripada norma Islam atau agama menjadi dorongan kepada seseorang untuk hilang pertimbangan akal yang waras bagi memelihara diri daripada kejahatan maksiat.

Hilangnya malu dan rasa takut pada Tuhan akan melemahkan iman yang menjadi faktor kekebalannya daripada berani melakukan perbuatan sumbangan mahram. 

Kebanyakan kejadian sumbang mahram berlaku secara tersembunyi di dalam rumah sendiri, menyukarkannya untuk dihidu umum.

Di sini pentingnya pendidikan jenayah seksual dan sentuhan selamat didedahkan kepada kanak-kanak yang selalunya menjadi mangsa yang utama. Sering kali kanak-kanak naif ini tidak menyedari mereka dipancing untuk hajat-hajat seksual orang dewasa secara halus.

Maka, kanak-kanak harus ada perisai diri sebagai pembenteng pertama apabila institusi keluarga yang didiami telah rosak. Mereka harus tahu keadaan tidak selamat, harus melaporkan kepada orang yang dipercayai dan menjauhi keadaan tersebut. 

Tanggungjawab Bersama

Isu sumbang mahram harus menjadi tanggungjawab bersama seluruh anggota masyarakat untuk menyelesaikannya tanpa sesiapa terkecuali.

Tidak sepatutnya wujud isu ‘jaga tepi kain masing-masing’ dalam soal jenayah yang memberi kemudaratan serta ancaman kepada masyarakat dan negara. Undang-undang dan hukuman adalah jalan terakhir.  

Apabila institusi rumah tangga yang sepatutnya memelihara ahli keluarga daripada kenistaan menjadi rosak, tanggungjawab telah beralih kepada jiran tentangga dan lapisan masyarakat seterusnya.

Media sepatutnya berperanan mendidik dan menyebarkan kesedaran. Hiburan itu sepatutnya tidak melekakan dan memancing kejahatan bagi tujuan kepentingan tertentu.

Para kaunselor, ahli psikologi, pegawai perubatan hospital dan pegawai polis yang terlibat menjadi pemegang taruh terpenting untuk mengawal dan menghindarkan daripada isu ini terus menular. 

Dalam rangka untuk mengatasi perilaku sumbang mahram, perlu ada kerjasama yang baik dan komitmen yang tinggi antara masyarakat, keluarga, pihak berkuasa, aktivis masyarakat dan institusi yang berkaitan.

Selain itu, penting juga untuk memastikan bahwa nilai-nilai agama dan etika yang dijunjung tinggi dan dihormati.

Dengan demikian, kita dapat membina masyarakat yang sihat dan bermoral, menghormati dan menghargai antara satu sama lain.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia