Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik!
Kejayaan mereka merangkul pingat emas pertama Malaysia dalam Kejohanan Badminton Dunia pada 27 Ogos 2022 di Tokyo, Jepun amat membanggakan.
Walaupun negara kita mempunyai kepelbagaian etnik dan budaya yang membawa cabaran tersendiri, rakyat Malaysia yang sejati akan sentiasa bersatu hati dalam membangun dan memartabatkan negara tercinta. Antara yang menjadi titik temu kita semua adalah yang melibatkan makanan dan sukan.
Setiap kali jaguh sukan beraksi di pentas antarabangsa, warga Malaysia, baik yang menetap di dalam negara mahupun di luar negara, pasti akan bersorak di bawah kibaran Jalur Gemilang.
Ini adalah suatu keindahan yang menyaksikan hakikat manusia yang pelbagai rupa dan bangsa, terikat atas tujuan yang sama.
Semoga titik-titik perpaduan seperti ini terus ternukil dalam sejarah Malaysia, bukan sahaja dalam bidang sukan, tetapi juga dalam bidang-bidang kemasyarakatan yang lain.
Semestinya kejayaan ini merupakan hadiah istimewa buat kita dalam menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-65!
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia