Pelancaran tersebut disaksikan kira-kira 400 hadirin di Dewan Utama KLSCAH. Selain itu, pengunjung yang datang secara berperingkat dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang turut berpeluang menyaksikan forum bual bicara, persembahan daripada pelbagai etnik dan tayangan filem pendek. Pelbagai pameran isu-isu masyarakat dan jualan buku, kemeja-T, cenderamata dan lain-lain juga disediakan.
Sebagai Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), salah sebuah NGO yang membentuk PoAM, Zaid (kiri) menyifatkan gabungan tersebut unik kerana ia menjurus kepada sesuatu yang positif, perjuangan yang membangun dan bukan bersifat konfrontasi. Selain itu, ciri kepelbagaian anggotanya sendiri menunjukkan ia adalah usaha gabungan masyarakat madani yang dapat diterima oleh semua agama, etnik dan ideologi.
“Gabungan ini diasaskan secara sukarela. Ia bukannya medan pertembungan tetapi medan mencari permuafakatan,” jelas Zaid. “Permuafakatan kami adalah berusaha untuk menjadikan Malaysia lebih unggul sebagaimana yang terkandung dalam piagam 15 perkara PoAM sehingga akhirnya setiap warga negara ini berasa bangga menjadi rakyat Malaysia.”
Seorang lagi Pengerusi Bersama PoAM yang juga presiden KLSCAH, Tan Yew Sing dalam ucapan alu-aluannya berkata, PoAM ditubuhkan bagi mewujudkan satu platform yang dapat mengendurkan suasana tegang dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Pesta PoAM yang dianjurkan dengan tema “Dari Perselisihan Menuju Keharmonian” itu menukilkan satu objektif iaitu “Berjuang ke arah Malaysia yang lebih baik untuk rakyatnya”.
Atas semangat insan, PoAM memperjuangkan hak perlembagaan warganegara Malaysia yang unggul berasaskan keadilan.
Pelancaran piagam diikuti sebuah program bual bicara berjudul “From Discord to Harmony” yang membincangkan isu politik, agama, ekonomi, pendidikan dan ketidakseimbangan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Forum ini menampilkan Dato’ Dr Toh Kin Woon, Datuk Ambiga Sreenevasan, Dato’ Hj Thasleem Mohamed Ibrahim Al-Haj dan Fahmi Reza sebagai ahli-ahli panel, manakala Hishamudin Rais bertindak selaku pemudah cara.
Pesta PoAM kemudiannya diisi dengan persembahan lagu-lagu satira oleh kumpulan Phei Shu Fang, tarian klasik India, nyanyian orang asal, opera Cina, nasyid, sketsa, tarian berkerusi roda dan pertunjukan kompang. Dalam acara serentak di Auditorium Tingkat Atas, tiga filem pendek, “Huruf J”, “Lot Umah Am” dan “Senyap Tersentak” ditayangkan diikuti perbincangan bersama penonton sebaik setiap tayangan berakhir.
Setakat ini, PoAM dianggotai 21 NGO iaitu:
• Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)
• Aliran
• Tamil Foundation
• Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
• Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Krisitian, Hindu, Sikh dan Tao (MPMAM)
• Negeri Sembilan Chinese Assembly Hall (NSCAH)
• Penang Chinese Town Hall (PGCTH)
• The Federation of Chinese Associations Johore State (FCAJ)
• Lim Lian Geok Cultural Development Centre (LLG)
• United Chinese School Alumni Association of Malaysia (UCSAAM)
• Muslim Professionals Forum (MPF)
• Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
• Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS)
• Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
• Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (Permas)
• Centre of Policy Initiative (CPI)
• National Interlok Action Team (NIAT)
• People’s Green Coalition (PGC)
• Anak Muda Sarawak (AMS)
• All Women’s Action Society (AWAM)
• Partners in Community Organising (Pacos Trust)
Piagam 15 perkara yang menjadi iltizam PoAM untuk dilakukan kerjasama dan pembaikan mencakupi bidang-bidang berikut:
1. Tadbir urus – mempomosi pengawasan, integriti, ketelusan dalam sektor awam, swasta dan masyarakat madani serta mewujudkan rasuah sifar.
2. Federalisme – pemencaran kuasa politik dan ekonomi supaya negeri-negeri mempunyai autonomi dan kawalan yang lebih terhadap sumber negeri masing-masing.
3. Ekonomi – mengutamakan rakyat, melestari alam sekitar, kekayaan diagih secara saksama, membanteras kemiskinan, menjaga kebajikan dan bertindak mengikut keperluan bukan etnik.
4. Hak wanita – melaksanakan keadilan gender, memberikan persamaan substantif terhadap wanita, menyediakan peluang dalam pembangunan negara dan menghapus diskriminasi serta prejudis.
5. Agama – kebebasan mengamalkan agama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, mempromosikan persefahaman dan keharmonian penganut berbilang agama.
6. Politik – sebagai khidmat untuk negara dan rakyat; pilihan raya mestilah bersih, bebas dan adil; mesti ada pemisahan jelas antara parti dengan kerajaan.
7. Kerajaan tempatan – pengamalan demokrasi diperluas ke semua peringkat termasuk mengadakan pilihan raya untuk pihak berkuasa tempatan, mukim dan kampung.
8. Alam sekitar – melahirkan masyarakat yang harmoni dengan alam; mempromosikan pembangunan yang adil dari sudut sosial, ekonomi dan ekologi.
9. Hak orang asli – mempunyai hak ke atas tanah dan sumbernya; dapat mengamalkan budaya mereka dengan bebas.
10. Media – memastikan media tidak dikawal secara berlebihan; wujud kebebasan bersuara serta bebas memperoleh dan menyiarkan maklumat.
11. Badan kehakiman – kebebasan penuh badan kehakiman demi keadilan.
12. Perkhidmatan awam – khidmat disampaikan dengan penuh integriti, profesional, cekap, dihormati dan dipercayai.
13. Pendidikan – keperluan pendidikan holistik untuk melahirkan rakyat berpengetahuan, berhemah tinggi; jaminan pendidikan dalam bahasa ibunda; layanan yang adil terhadap sekolah semua aliran bahasa.
14. Kebudayaan – menghormati kepelbagaian budaya, menggalakkan interaksi silang budaya.
15. Perpaduan nasional – disandarkan kepada masyarakat majmuk; mengamalkan prinsip persamaan atas semangat muhibah, hormat-menghormati dan saling memahami.